Kisah Rahmah, warga Malaysia yang bekerja sebagai wartawan di UK

Kita selalu dengar orang berhijrah ke negara luar untuk sambung belajar, bekerja dan sebagainya. Ada yang berjaya memperkembangkan kerjaya di negara luar dalam bidang seperti perbankan, kejuruteraan, kedoktoran. Ada juga yang tertipu hingga terpaksa mengemis di negara orang. Tapi kami tak nak lah cerita yang itu, ni kami nak fokus yang boleh jadi inspirasi.

Baru-baru ini ORANGKATA dapat tahu seorang warga Malaysia yang pernah berkhidmat sebagai wartawan di Malaysia, Rahmah Ghazali, telah berjaya mendapat kerja sebagai wartawan multimedia di The Star (Sheffield), United Kingdom. Ikuti wawancara kami dengan Rahmah:

Rahmah Ghazali wartawan The Star (Sheffield). Via Twitter

1. Boleh ceritakan sikit latarbelakang Rahmah ketika menjadi wartawan di Malaysia?

Saya mulakan kerjaya sebagai wartawan tahun 2008 di Malaysiakini selepas menamatkan pengajian sarjana muda di South Australia dalam bidang kewartawanan. Saya bekerja di Malaysiakini selama dua tahun sebelum berpindah ke Free Malaysia Today (FMT) selama setahun. Kemudian saya berpindah ke media arus perdana, New Straits Times (NST) di mana saya bekerja selama dua tahun dan kemudiannya di The Star, selama hampir 5 tahun.

Image result for counting gif
Banyak pengalaman tu… Via Tenor

Kemudian saya bertugas sebagai penerbit lokasi (field producer) untuk beberapa agensi antarabangsa antaranya Media Corp dan TRT World. Sepanjang kerjaya sebagai wartawan, saya ditugaskan di meja politik (selain jenayah dan mahkamah) dan boleh saya katakan itu adalah ‘rentak’ pilihan saya.

2. Tak silap lepas tu bekerja dengan Menteri pula…Macam mana pengalaman kerja dengan Kerajaan Malaysia Baharu?

Saya sangat berbesar hati dapat menyumbang kepada negara dalam era Malaysia Baharu bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebagai pegawai media beliau. Walaupun jangka masa bertugas hanya empat bulan namun pengalaman yang saya timba sepanjang bekerja sangat berharga.

Walaupun sangat tegas dan ‘workaholic’ YB Lim masih mengambil berat terhadap kebajikan pekerjanya meskipun di jabatan yang lain. Beliau sangat mesra dan ramah serta sentiasa rendah diri dengan penjawat awam yang lain.

Lim Guan Eng Via Euromoney

Kerja sebagai pegawai media terutamanya kepada menteri yang memegang jawatan yang sangat penting amat demanding bagi saya kerana saya diperlukan sepanjang masa. Tetapi beliau sangat memahami tugas saya di rumah iaitu seorang ibu dan isteri. Di mana khidmat saya tidak diperlukan ketika beliau pulang ke kawasan, saya dapat meluangkan masa bersama keluarga.

3. Selepas itu memang pindah untuk mencari kerja di luar negara atau ada sebab lain?

Saya berpindah ke UK kerana suami dapat tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana di salah satu universiti di Sheffield bulan September tahun lalu. (Tentang kerja ni) pada mulanya saya tidak mempunyai cadangan untuk bekerja sebagai wartawan, cukup sekadar bekerja untuk ‘cari makan’ tak kira bidang.

UK. Via Giphy

Tapi syarat visa mengatakan bahawa saya hanya boleh bekerja dalam bidang profesional, dan sebab itulah saya mula mencari kerja yang sesuai dengan pengalaman dan kemahiran saya. Beberapa bulan yang pertama di UK agak sukar bagi saya kerana tidak mempunyai ‘network’ atau ‘contact’ untuk mulakan pencarian kerja. Saya pernah ke agensi mencari kerja tapi mereka kata saya perlukan pengalaman bekerja sekurang-kurangnya enam bulan di UK.

4. Jadi bagaimana boleh dapat kerja sebagai wartawan tempatan?

Saya mula membuat carian di Google dan membuat research mengenai semua akhbar tempatan di sekitar Sheffield dan South Yorkshire (negeri) dan mula menghantar email pengenalan dan CV saya terus kepada pengarang walaupun tiada kekosongan. Selepas menghantar email dan CV saya kepada beberapa agensi media, saya tidak mendengar khabar daripada mereka untuk beberapa bulan dan saya fikir, mungkin mereka tidak berminat.

Image result for disappointed ron burgundy gif
Perasaan Rahmah pada masa tu barangkali… Via Tenor

Tetapi pada bulan Mac tahun ni, saya terima email dari salah satu agensi di mana saya dijemput untuk mendapatkan pengalaman bekerja bersama mereka selama satu hari. Pada hari tersebut, saya diberikan beberapa tugas dan kemudian dipanggil untuk ditemuramah. Secara jujurnya, saya tidak sangka akan ditawarkan kerja kerana ada beberapa calon lain yang dipanggil pada hari yang sama. Saya juga tak sangka dengan kewarganegaraan yang berlainan, mereka akan tawarkan saya jawatan tu.

Via Facebook

5. Dari The Star (Malaysia) ke The Star (Sheffield), apa perbezaan yang boleh dilihat antara bekerja di UK dan di Malaysia?

(Di UK) mereka sangat menepati masa. Di Malaysia kalau program tu kata mula pukul 10, pukul 11 baru VIP datang. Di sini jika upacara bermula pukul 12, mereka akan datang sejam lebih awal. Tapi saya rasa masih juga terlalu awal untuk saya untuk memberikan pendapat saya tetapi setakat ini, semuanya baik. Jika saya ingin menulis tentang jenayah, polis akan memberikan kenyataan dalam berbentuk email dan mereka akan memberikan jawapan yang cepat.

Berita penulisan Rahmah yang telah dimuatnaik Via thestar.co.uk

Benda yang paling seronok tentang menjadi seorang wartawan ni adalah saya dapat bertemu dengan ramai orang daripada pelbagai latarbelakang. Walaupun keadaan di sini agak bersahaja (laid back) berbanding dengan Malaysia kerana ini adalah suratkhabar tempatan, saya tetap rasa sedikit kerdil (inferior). Bayangkan dalam balai berita (newsroom), anda seorang yang menyerlah disebabkan warna kulit dan rasa rendah diri itu memang ada. Tapi dengan boss yang baik dan rakan sekerja yang sangat membantu, saya rasa saya boleh menyesuaikan diri dengan cepat.

6. Pengalaman Rahmah di Malaysia pun sangat luas, ada tak yang menarik sepanjang hampir 10 tahun berkhidmat?

Di Malaysia, banyak pengalaman yang saya tidak dapat lupakan. Beberapa kali saya sudah menerima ugutan saman daripada beberapa ahli politik dan ada juga kes yang pergi ke mahkamah, tapi Alhamdulillah dapat diselesaikan di luar mahkamah.

Bekerja di Malaysia juga lebih ‘thrilling’ bagi saya kerana dulu jika membuat liputan berita untuk protes atau demonstrasi, sudah pasti semburan ‘water cannon’ dan bedilan gas pemedih mata menjadi kebiasaan para wartawan dan jurukamera berita. Tetapi pada yang sama memberi kepuasan kepada saya dan pengalaman yang berharga dalam diri saya.

Image result for reporter gif
Harap tak kena macam ni pula di UK Via Cheezburger

7. Setelah berjaya mengorak langkah sebagai wartawan di negara asing, apa matlamat Rahmah untuk masa akan datang?

Pada masa ni, saya hendak memberi fokus pada kerja di The Star (Sheffield). Semua orang kata susah nak dapat kerja di sini, tapi saya percaya dengan sikap yang betul dan pengalaman yang ada ni, tak ada apa yang mustahil. Sudah tentu saya juga ada cita-cita nak bekerja dengan institusi media seperti BBC dan saya rasa bermula kerjaya di suratkhabar tempatan di UK sudah bagus untuk menjadi batu loncatan dan motivasi kepada saya.

8. Ada pesanan bagi mereka yang nak mencuba?

Kena yakin, tunjuk kita boleh buat kerja, jangan takut atau rasa rendah diri dengan keupayaan. Pada masa yang sama kita mesti sedar yang kita mempunyai banyak yang masih perlu dipelajari walaupun dah dikira berpengalaman. Satu lagi, jangan takut ambil risiko.


Selain melaporkan berita di Sheffield, Rahmah juga boleh dihubungi di Twitter @rahmahghazali

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *