ORANGKATA dah genap setahun, ini soalan yang sering diajukan pada editor…

S1

Ketika saya diundang untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ORANGKATA, saya tahu ia adalah peluang yang saya sedang nantikan. Sebenarnya sebelum menyertai ORANGKATA – saya pernah bertemu dengan beberapa individu untuk berkongsi idea tentang pembinaan platform berbahasa Melayu. Bezanya, cadangan saya ketika itu – platform Melayu yang lebih niche; seperti sukan dan teknologi.

Iaf 3
Editor ORANGKATA.

Malangnya, apabila anda seorang yang muda; ramai akan memandang enteng akan kebolehan anda. Kebanyakan orang yang saya temui melayan saya seolah-olah saya jenaka, hari ini saya percaya ada sesetengah daripada mereka sedang mencari-cari orang untuk membina platform Melayu. Saya tak terlalu gemar menjadi muda, ia buatkan orang sering melihat anda sebagai seorang yang dangkal, dan tak berpengalaman.

1. Mengapa memilih ORANGKATA sebagai tempat untuk bekerja?

Tiada soalan yang lebih klise berbanding soalan ini. Cuma ia sudah menjadi kebiasaan untuk kita bertanya soalan yang ringan. Sebab itu saya sudah jarang menonton forum atau rancangan bual bicara Melayu. Soalan seperti ini tidak salah untuk permulaan, tapi selalunya ia akan disusuli dengan beberapa siri soalan tak berisi.

Via Giphy

Soalan ini mudah, saya mengikuti ORANGKATA kerana mereka memberikan gaji yang baik. Ia adalah pekerjaan yang seronok, dan peluang yang besar, peluang yang mustahil saya akan lepaskan. Saya tak gemar berbunga-bunga dalam persoalan pekerjaan – kita semua bekerja untuk dapatkan wang; supaya boleh hidup dengan lebih baik, membayar liabiliti kehidupan. Hal-hal lain akan datang kemudian.

Seperti yang saya kata awal-awal tadi – anak muda sukar untuk mendapatkan kepercayaan. Cuba lihat pada kebanyakan jemaah Islamiyah; mereka sering jadikan Muhammad al-Fatih sebagai contoh, ironinya anak muda mereka jarang diberi ruang untuk berfungsi dengan lebih baik. Apabila ORANGKATA memberikan saya kepercayaan, saya berikan tenaga sepenuhnya untuk mereka.

2. Ada yang kata anak muda seperti anda angkuh, benarkah?

Apabila anda bercakap dengan penuh keyakinan, orang kerap mengatakan anda angkuh atau narsistik. Ia adalah hal biasa. Saya seorang yang gemar bermain catur – jika anda melihat bekas juara catur dunia dari Amerika Syarikat; Bobby Fischer, sudah tentu anda akan kata dia amat angkuh. Bagi saya tidak, bagi saya dia yakin dengan kemampuan dirinya.

Saya tak pernah menilai orang yang yakin pada kemampuan dirinya sebagai bongkak, bagi saya ia bagus untuk memiliki keyakinan diri. Apa yang tak baik adalah terlalu yakin sehingga enggan untuk memperbaiki diri. Ramai anak muda yang bercakap idea yang besar dengan yakin, malangnya mereka sering dijawab; anda masih mentah dan angkuh.

2. Siapa sebenarnya disebalik ORANGKATA? Dan dari mana korang dapatkan wang?

Tidak banyak yang saya boleh dedahkan tentang pasukan ORANGKATA, apa yang saya boleh katakan – kami datang daripada latar yang berbeza, dan berkongsi beberapa prinsip dan matlamat bersama. Kami sering berbicara tentang meraikan perbezaan, sudah tentu perbezaan dalam kalangan kami tidak menjadi isu. Selepas beberapa bulan bersama ORANGKATA, saya amat selesa dengan mereka.

S1 Copy
Dah like belum fanpage kami?

Berkenaan persoalan wang; seperti persoalan pasukan, tidak banyak yang saya boleh dedahkan. Apa yang pasti – kami tak ‘dibeli’ oleh mana-mana parti politik atau orang berkepentingan. Pemberi dana berkongsi matlamat yang sama dengan apa yang kami ingin lakukan. Dalam dunia ini; idea dan kepercayaan adalah dua hal yang mahal, kami memiliki keduanya untuk mengundang wang.

3. Adakah anda merasa bertuah kerana bekerja dengan ORANGKATA?

Saya mungkin percaya pada perancangan tuhan, tapi saya tidak percayakan tuah. Saya melihat ‘tuah’ cumalah alasan untuk orang yang malas. Ya, di beberapa tempat – kita mungkin pernah mendapat tuah, seperti Hang Tuah yang tak dibunuh, tapi disembunyikan. Saya percaya pada usaha dan kerja keras. Apa yang dimiliki oleh ORANGKATA pada hari ini adalah hasil kerja keras semua orang.

Ini tuah. Via Giphy

Kami bekerja dengan begitu keras pada tahun 2019, untuk memastikan kami mengakhiri tahun ini dengan baik. Secara umumnya, anda sendiri boleh melihat bagaimana ORANGKATA berkembang untuk tahun pertama. Pada tahun hadapan, saya fikir kami akan bekerja dengan lebih keras lagi, supaya perancangan jangka masa panjang dapat dicapai.

4. Mengapa memilih industri media? Bukankah dah banyak syarikat media yang lingkup?

Saya simpati dengan nasib rakan-rakan pengamal media yang terpaksa berhenti kerja kerana syarikat mereka gulung tikar. Jika kita perhatikan; syarikat yang tutup kebanyakan adalah syarikat media cetak. Saya percaya media digital sedang berkembang, buktinya – setelah syarikat ini gulung tikar; mereka mengalihkan operasi sepenuhnya ke arah media digital.

S1
Via MSN

Dengan teknologi yang semakin berkembang, dan akses Internet yang semakin murah; saya percaya pasaran dalam digital marketing kian berkembang. Atas sebab ini pelbagai digital platform telah muncul.

Kemudian ia juga sering terkait dengan persoalan editorial direction. Misalnya pada UTUSAN; saya tidak fikir semua pekerja mereka mahu menulis apa yang mereka tulis. Ia adalah dilema bagi penggiat media – apabila mereka terpaksa memilih di antara prinsip dan sepinggan nasi.

5. Apa sebenarnya yang ORANGKATA cuba berikan kepada para pembaca?

Salah satu cita-cita yang kami kongsikan di ORANGKATA – kami mahu pembaca kami membaca lebih daripada satu sumber dan sudut pandang. Kami sering berikan sudut pandangan yang berbeza, dan sedaya upaya menjadikan mana-mana artikel kami, adil. Kami mahu pembaca kami tak bersifat ekstrem apabila berhadapan dengan isu-isu panas; selalunya isu yang melibatkan agama dan bangsa.

Kami juga ingin beri kesedaran pada pembaca tentang indahnya hidup di Malaysia. Jika ada tuah yang saya percaya, ia adalah ‘tuah’ lahir di Malaysia. Kita hidup dalam kepelbagaian bangsa, agama dan budaya, ia harus disyukuri dan dipertahankan. Nilai-nilai inilah yang sering kami selitkan pada artikel yang kami terbitkan.

Selamat jalan tahun 2019, semoga tahun 2020 akan lebih berjaya

Saya berterima kasih kepada semua pembaca ORANGKATA, dalam media ia adalah hal biasa untuk dilabel. Misalnya; apabila kami menerbitkan artikel mengkritik PH, kami akan dikatakan dibayar BN, begitu jugak sebaliknya. Kami tahu akan hakikat ini, kami langsung tak berkecil hati, jika kami mahu menggembirakan semua orang, sudah tentu kami akan menjual ais krim, bukan menyediakan platform bacaan.

Pujian juga harus kita berikan kepada pasukan ORANGKATA. Mereka bekerja dengan keras untuk memastikan maklumat yang cuba kami sampaikan dapat dihadam dengan mudah oleh anda. Selamat tinggal 2019, semoga tahun 2020 akan lebih baik untuk ORANGKATA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *