Syurga bukan lagi di bawah tapak kaki ibu, ini sebabnya

Ibu, mengandungkan sembilan bulan, menyusukan dan membesarkan kita. Bertarung separuh nyawa untuk membawa kita ke dunia, menyusukan kita sehingga luka dan berdarah dadanya, bersusah payah melakukan banyak perkara kepada kita dalam membesarkan, semuanya Ibu, emak, mother. Hahh, nak bahasa apa lagi?

Nabi Muhammad S.A.W dalam hadith (HR. Bukhari no. 5971 dan Muslim no. 2548) ada menyebut bila dia ditanya kepada siapakah harus seorang anak berbakti, baginda menjawab ibumu, ditanya lagi kemudian ditanya lagi dijawab juga ibumu sebanyak dua kali sebelum akhirnya berkata ayahmu.

Ibu sentiasa menyelamatkan. Via 4Gifs

Imam al-Qurthubi menjelaskan hadith itu menunjukkan bahawa kasih sayang seorang anak kepada seorang ibu harus tiga kali ganda besarnya berbanding kepada seorang ayah. Kerana dalam surah al-Imran 13:14, ayat ni menyebut bahawa ibu mengalami tiga macam kepayahan, yang pertama adalah mengandungkan, kedua melahirkan dan ketiga menyusukan anak sehingga dua tahun.

Asyik bincang hak-hak ibu je, hak anak-anak macam mana pulak tu?

Hak ibu bapa terhadap anak biasa didengari dalam ceramah dan kuliah agama namun jarang sekali kita mendengar tentang hak anak terhadap ibu-bapa dibincangkan. Mungkin juga kerana ramai yang menganggap hubungan ibu bapa dengan anak ini sebagai sesuatu pemilikan ataupun mungkin saja dianggap seperti harta. Mana mungkin harta ada hak keatas orang yang memilikinya?

Sama gak hubungan di antara lelaki dan wanita, suami dan isteri, yang biasa dilazimi lelaki tu lebih kuat daripada wanita, seringkali disebutkan syurga itu dibawah tapak kaki suami, hak suami ke atas isteri, tanggungjawab isteri ke atas suami, isteri nusyuz dan sebagainya sehingga kita melupakan hak isteri ke atas suami, tanggungjawab suami kepada isteri dan konsep-konsep lain yang dimomokkan hanya terpakai ke atas isteri, juga terpakai ke atas suami.

Via IC

Artikel ni bukanlah nak bincangkan kesamarataan gender atau kesamarataan ibu bapa dan anak, namun ingin menerokai ruang-ruang baru dalam hubungan keibu-bapaan dan anak. Terutamanya, bila zaman berubah, semestinya konsep ini perlu ditanggapi dalam kaca mata yang berbeza.

Di dalam artikel Hak Anak-Anak Dalam Islam, meletakkan 27 panduan sebagai hak seorang anak kepada ibu bapa. Antaranya, termasuklah menghargai dan menghormatinya sebagai seorang manusia dan tidak memanggilnya dengan gelaran-gelaran yang tidak baik, memerhatikan perkembangan mental dan spiritualnya, berlaku adil terhadap semua anak-anak, memberikan semangat kepadanya untuk dapat hidup berdikari, termasuklah menjaga kesuciannya sebagai seorang dewasa.

Mengapa syurga bukan lagi di bawah tapak kaki ibu? Masa dia tidur tak nampak pun syurga di kaki

Berkaitan tentang hak-hak anak terhadap ibu bapa yang disebutkan di atas, jarang-jarang juga dibahaskan ibu yang bagaimanakah yang di bawah tapak kakinya ada syurga buat anak? Zaman sekarang ni selalu je kita dengar anak-anak dizalimi oleh ibu bapanya.

Ibu. Via TK

Saban hari ada je bayi yang dibuang dalam keadaan yang menyedihkan dijumpai mati di sungai, di masjid, tong sampah dan lubang tandas. Sejak tahun 2013 sehingga Oktober 2018 dengan jumlah yang meningkat setiap tahun, sekurang-kurangnya 478 kes pembuangan bayi dilaporkan, belum lagi termasuk kes-kes yang tidak dilaporkan dan kes anak tidak sah taraf.

Bukan setakat tu, ada banyak kejadian yang libatkan anak-anak perempuan yang dirogol oleh bapa, bapa tiri, datuk atau saudara mara yang tak dilaporkan oleh ibu mereka kerana tidak percaya atau tidak ingin memalukan nama keluarga. Lebih teruk, anak-anak perempuan disuruh menikah kerana tidak mampu lagi ditanggung oleh keluarga – sebab tulah kes perkahwinan kanak-kanak makin meruncing dengan menggunakan nama agama.

Ramai ibu bapa yang hanya fokus benda-benda yang salah tentang anak-anak mereka

Jika dilihat kepada garis panduan yang diletakkan dalam artikel yang disebut di atas, salah satu panduan yang diletakkan adalah memerhatikan perkembangan mental dan spiritualnya. Hari ni terlalu ramai ibu bapa yang mementingkan pencapaian anak-anak dari segi kebendaan, jika anak itu masih kecil, ianya tentang kecemerlangan mereka di sekolah, jika sudah meningkat dewasa, kursus apa yang mereka ambil di universiti, seterusnya apa pekerjaan mereka, dengan anak orang berada yang mana akan mereka kahwini, kereta apa yang mereka pandu dan berapa buah rumah yang mereka harus miliki.

Hal ni tidak lah salah kerana tak ada ibu bapa yang ingin lihat anak mereka berada dalam kesusahan, namun janganlah sampai menafikan sisi-sisi kemanusiaan anak-anak. Contohnya kita inginkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan namun sehingga menghukum anak-anak yang tidak mampu dari segi akademik.

Stress ahhh. Via Giphy

Apabila anak tu dewasa dan bekerjaya kita sentiasa bertanyakan kerja mereka kerana itu adalah sesuatu yang kita banggakan namun kita jarang bertanya apa khabar mereka, bagaimana keadaan kehidupan mereka dan kesihatan mental dan juga fizikal mereka.

Kita terlupa bertanya apakah yang mereka mahukan dalam kehidupan atau adakah mereka gembira?

Jika anda pernah dengar tentang kes Jennifer Pan, yang disabitkan dengan pembunuhan ibunya kerana tidak tahan dikurung oleh ibu bapanya selepas mereka mendapat tahu dia telah menipu mereka seumur hidupnya. Ini kerana Jennifer tidak dapat mencapai apa yang ibu-bapanya idamkan untuk Jennifer, iaitu untuk menjadi atlet Olimpik dan gred cemerlang A bagi setiap mata pelajaran.

Ini adalah kes yang ekstrim namun inilah yang dimaksudkan dengan perlunya untuk memberi perhatian kepada sisi-sisi kemanusiaan yang disebutkan tadi. Kita sibuk menanamkan dalam fikiran mereka dengan apa pencapaian yang harus mereka realisasikan sehingga kita lupa tentang kebajikan mereka sebagai seorang manusia.

Via 4gif

Ini juga terpakai di dalam kes pendidikan seksual contohnya, kita beranggapan bahawa anak-anak tidak akan tahu dan tidak patut tahu tentang itu namun zaman sudah berubah, mereka terdedah kepada rakan-rakan yang tidak baik, media massa, internet dan sebagainya. Dua kemungkinan yang akan berlaku, mereka mendapat tahu dari sumber yang tidak baik dan mencuba melakukannya atau mereka mungkin dicabul dan didera secara seksual namun tidak mengetahuinya kerana mereka tidak diberi pendidikan tentang perkara tersebut.

Tak adalah semuanya salah ibu kan, nanti ada orang triggered pulak

Artikel ini bukan bertujuan untuk menyalahkan kaum ibu, mungkin ramai feminis di luar sana yang tidak akan bersetuju. Kerana kami pun faham, ada banyak sebab kenapa perkara-perkara di atas terjadi, keadaan sosioekonomi, penceraian ibu bapa, tahap pendidikan dan kesempitan hidup.

Seorang anak yang dilahirkan juga punyai hak terhadap ibu-bapanya. Ikutilah sunnah nabi dalam mendidik anak, manjailah dan bermainlah dengan mereka ketika usia mereka 0-6 tahun, disiplinkanlah mereka dari usia 7-14 tahun dan jadilah rakan mereka ketika usia mereka 15-21 tahun. Kami bukan pakar keibu-bapaan, namun ada bezanya di antara merasakan kita seorang ibu yang baik dan berusaha menjadi ibu yang baik. Semoga kita tergolong dalam golongan ibu yang menjadi syurga buat anak-anak.

Your children are not your children.
They are the sons and daughters of Life’s longing for itself.
They come through you but not from you,
And though they are with you yet they belong not to you.
– Kahlil Gibran

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *