Tutup premis perniagaan masa Tarawih, ini kata MB Terengganu

Tutup premis perniagaan masa Tarawih, ini kata MB Terengganu

Baru-baru ini tular satu arahan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, yang mengarahkan agar premis perniagaan makanan menutup kedai mereka dari jam 8.30 malam hingga 10 malam, bagi membolehkan umat Islam menunaikan Solat Tarawih. Arahan kepada pihak berkuasa tempatan di Kelantan itu telah menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak, kerana dilihat sebagai satu paksaan.

Mufti Pulau Pinang kata benda tu takkan jadi di negerinya

Sebagai respon, Mufti Pulau Pinang, SS Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menyatakan bahawa Pulau Pinang tidak akan melaksanakan arahan seperti itu.

Beliau menekankan bahawa sudah tentu jika mempunyai masa rehat atau terluang yang lebih, akan membolehkan para peniaga menunaikan 20 rakaat. Namun, beliau menyerahkan kepada budi bicara serta hak para pemilik perniagaan, untuk menutup atau membuka premis mereka, pada waktu tersebut. Beliau juga menggalakkan umat Islam untuk menggandakan amal ibadah pada bulan yang mulia ini.

Isu penutupan premis ketika Tarawih ini jadi meletup bila YB Nik Abduh Nik Aziz mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan tindakan Kerajaan PAS Kelantan itu.

Saya ditunjukkan surat arahan ini selepas solat Tarawih tadi. Selepas sahkan kebenarannya, saya dengan ini berharap dan…

Posted by Nik Mohamad Abduh on Isnin, 6 Mei 2019

Kemudian, ia jadi lagi mendidih bila Ustaz Zaharuddin (menantu kepada Presiden PAS) tampil menyangkal kenyataan Ustaz Nik Abduh.

Walaupun Terengganu ditadbir PAS, mereka tak akan ikut cara Kelantan

Kronologi jadi lebih padu bila Kerajaan PAS Terengganu pula, menerusi Menteri Besarnya, menyatakan bahawa mereka tidak akan menyusuli tindakan Kerajaan Kelantan itu. Perbezaan pandangan antara dua Kerajaan Negeri yang ditadbir oleh PAS ini memberi pencerahan kepada kita semua, bahawa hal ehwal dan tadbir urus negara, negeri mahupun parti bukanlah hal remeh yang boleh diselesaikan secara pukal dan mudah, dalam ‘group’ WhatsApp.

Kelantan dan Terengganu, meskipun ditadbir oleh parti yang sama, menggunakan pendekatan yang berbeza. Demikianlah real politik, yang tak boleh dinilai hanya semudah menulis status atau komen di Facebook.

Menteri Besar Terangganu. Via Utusan

Perbalahan Ustaz Zaharuddin yang terkenal dengan gelaran ‘Din Ayam’ dengan Ustaz Nik Abduh tak berhenti setakat itu saja. Ia kemudiannya merebak kepada pendedahan kewujudan ‘Kartel Dedak’ di dalam parti PAS, sebelum diikuti oleh perbalahan yang bergentayangan di media sosial oleh para musuh, pemerhati serta aktivis parti itu sendiri. Sudah tentu ini berikat rapat dengan isu audio ‘Ana Tahu’ yang masih segar dalam ingatan kita semua.

Juga, adalah kurang tepat bila tindakan mengkritik arahan SUK Kelantan dilihat sebagai menghentam PAS. Ini akan menimbulkan persoalan: adakah mereka tidak boleh dikritik langsung?

Solat Tarawih ni sebenarnya tak wajib pun

Berbalik kepada isu pokok – apa itu Solat Tarawih? Adakah ia wajib dilaksanakan, dan wajibkah ia dilakukan di masjid? Sebenarnya, Solat Tarawih itu hukumnya sunat, dan tidak wajib pun dilaksanakan di masjid mahupun surau.

Arahan penutupan premis oleh SUK Negeri Kelantan ini, meskipun sudah ditarik balik, menunjukkan kepada kita tentang salah faham agama boleh berlaku bukan sahaja kepada rakyat marhaen, tetapi juga kepada pemerintah daripada golongan agamawan. Meskipun tujuan asalnya baik (menggalakkan rakyat solat berjemaah di masjid), realitinya tidak ada dalil yang mewajibkan Solat Sunat Tarawih di masjid.

Via Utusan

Sebaliknya, ia adalah tafsiran kepada ‘Qiyam Ramadan’, iaitu menghidupkan malam-malam pada bulan Ramadan, dengan amal serta ibadah, berdasarkan hadith.

Ini adalah bersandarkan kepada Sahih Muslim: “Sesiapa yang berdiri (beribadat) pada malam Ramadan kerana iman dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.”

Menunaikan Solat Sunat Tarawih di masjid tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW (melainkan hanya beberapa malam). Ia juga tidak diwajibkan ketika era pemerintahan Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Khalifah Islam Pertama. Namun, ia digalakkan (bukan diwajibkan) ketika era pentadbiran Saidina Umar al-Khattab.

Ini adalah bersesuaian dengan maksud Tarawih itu sendiri, yang berasal daripada bahasa Arab, bermaksud ‘rehat’.

Bersesuaian dengan konsep ‘Qiyam Ramadan’ iaitu menghidupkan Ramadan dengan amal ibadah, maka ia memang boleh dilakukan di mana-mana, termasuklah di rumah. Ia adalah bergantung kepada kekangan serta kemampuan masing-masing, dalam mencari keampunan serta keredhaan Allah SWT.

Walaupun kita nak dapat pahala, perlu hati-hati dalam buat undang-undang

Ibadat Tarawih, walau betapa ditekan dan dituntut sekalipun, ianya tetap sunat. Justeru, tindakan implementasi perundangan boleh memberikan persepsi yang buruk kepada Islam, malah memberi kesan kepada para peniaga marhaen yang mencari rezeki yang halal.

Terawih itu sunat, Isyak itu wajib. Sahur itu sunat, Subuh itu wajib. Sedekah itu sunat, zakat itu wajib. Paling utama, semoga dapat berhenti merokok selepas Ramadan, tuan-tuan. Aminnn insyaAllah boleh!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top