Di tengah-tengah riuh jaguh negara kita berentap kalungan pingat untuk negara, wakil negara kita dalam bidang lakonan dan komedi dah berjaya mengharumkan Malaysia dan drama bersiri Melayu di tengah-tengah pentas Asia Pasifik. Bukan selalu nak dengar sebuah rancangan drama bersiri dari Malaysia dicalonkan dan menang!
Bertanding sebaris dengan New Zealand dan Australia…
Sejak 2018, Asian Academy Creative Awards (AAA) dah mulakan usaha nak tonjolkan dunia perfileman dan drama TV yang lahir dari tangan anak seni Asia Pasifik. Antara negara yang disenaraikan tercalon dalam pertandingan ni termasuklah New Zealand, Australia, Indonesia, Thailand, South Korea dan Jepun.
Bertempat di Singapura, AAA ni adalah sebahagian dari Festival Media Singapura dan mempertandingkan lebih dari 30 kategori anugerah yang merangkumi aspek teknikal seperti sinematografi hinggalah ke persembahan jenis immersive dengan teknologi 360 darjah atau virtual reality (VR). Nak dicalonkan masuk dalam AAA pun ada syaratnya, barulah dapat lulus untuk pusingan seterusnya.
Dah lepas syarat pencalonan, barulah pusingan penilaian dibuat. Ada dua pusingan, iaitu pusingan penilaian dari para panel juri hakim yang memang otai dalam industri perfileman dan drama. Pusingan pertama ni dilakukan oleh para panel hakim tempatan dulu. Lepas tu, barulah masuk pusing kedua iaitu filem dan drama yang dah tercalon tadi akan dinilai lagi oleh para panel juri hakim dalam peringkat antarabangsa.
Dulu Nabil dan Remy, kini Jihan Muse naikkan Malaysia…
Kalau korang ikuti Gegar Vaganza, Nabil dan Jihan ni antara pasangan pengacara yang sentiasa berjaya cipta suasana yang buatkan orang tak nak jauh pun dari kaca televisyen. Apa tidaknya, bakat mereka ni pun akhirnya terserlah jua oleh AAA, apabila Nabil dinobatkan pengacara hiburan terbaik untuk Gegar Vaganza 4 yang disiarkan di Astro Ria pada AAA 2018!
Remy Ishak turut berjaya merangkul gelaran Pelakon Pembantu Terbaik dalam siri original Dosa dalam anugerah yang sama. Kami pasti kerana berkat bekerjasama dan sokongan tak putus sesama anak-anak seni kita yang berbakat, tahun ni Jihan Muse pula menaikkan nama Malaysia dalam kategori Anugerah Persembahan Komedi Terbaik 2019. Nampaknya memang kena tonton drama bersiri Keluarga Baha Don ni…
Kalau korang perasan, Nabil dan Jihan dah digandingkan bersama supaya nak hidupkan suasana, manakala dalam keluarga Baha Don ni pula, Remy Ishak pun antara barisan pelakon utama jugak dan turut bergandingan sebagai pasangan fiksyen antara Jo Don (Remy) dan Kesuma (Jihan). Wow… terbuktilah yang kita memang kaya dengan anak-anak seni yang berbakat serta power.
Takpe tak menang di pentas tempatan, rezeki antarabangsa menanti…
Rezeki ni kat mana-mana, yang penting kena usaha cari. Haa… ni yang terjadi kat Jihan Muse yang berjaya memiliki gelaran pemenang anugerah berprestij tu. Pada Oktober lalu, dia pun merangkul anugerah yang sama di Cannes, Perancis.
https://www.instagram.com/p/B3qwbeigjZK/?utm_source=ig_web_options_share_sheet
Walaupun pernah memenangi Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada 2013 dalam kategori Anugerah Artis Komedi Wanita Popular (APBH) dan telah mengacarakan Anugerah Meletop Era 2019 (AME), dia tak tersenarai sebagai calon pemenang pada tahun ni. Rupanya rezekinya berada di pentas antarabangsa, kali ni sebaris dengan penggiat seni seluruh Asia Pasifik.
“Satu penghargaan apabila kerja keras kita dilihat di platform besar dan bertaraf antarabangsa sebegini. Memenangi anugerah yang membariskan ramai calon berbakat adalah satu yang tidak saya jangkakan,”- Jihan Muse, seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro pada 12 Disember 2019.
https://www.youtube.com/watch?v=wTT_mzy2vh8
Drama bersiri Keluarga Baha Don pun menang Anugerah Program Komedi Terbaik dalam acara tersebut, jadi kami nak ambil kesempatan ni untuk ucapkan tahniah dan syabas kepada Jihan Muse dan seluruh keluarga dalam “Keluarga Baha Don” ni. Kalau kat dalam drama pun diaorang dah rapat, kami rasa tak perlulah nak bayang macam mana kukuhnya silaturahimnya pulak.
Nak buktikan wanita boleh berjaya dalam komedi…
Salah satu kami nak angkat kisah Jihan Muse ni pun kerana secara langsung, kejayaan Jihan ni buktikan bahawa wanita pun boleh tempatkan diri mereka dalam dunia komedi.
“Apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang kategori itu, pengarah Keluarga Baha Don yang menjadi wakil saya untuk menerima anugerah itu memberitahu, ramai tercari-cari siapa wanita misteri bertudung yang kelakar itu…”- Jihan Muse, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian pada 10 Disember 2019
Jihan menyambung lagi, jika ada yang tidak gemar akan lawak-lawaknya maka itu tak menjadi masalah buatnya. Baginya, dia optimis dengan kalangan hatersnya yang pasti akan menyukainya suatu hari nanti. Memang tak senang jadi pelawak ni, apatah lagi sebagai pelawak wanita.
Bila kita tengok sendiri pun, lanskap program pertandingan komedi macam Raja Lawak rata-rata dipelopori lelaki. Bukan kami je perasan, Erra Fazira pun perasan. Program terbaharu yang menampilkan 18 peserta wanita dalam Miss Lawak 2019 ni bermatlamat nak cari pelawak wanita pula.
“Kami cuba melahirkan pelawak wanita memandangkan kita pun tak ramai pelawak wanita. Tapi, paling penting adalah kualiti yang diberikan… Selain itu, kami juga mencari pelawak wanita yang ‘presentable’ dan pandai menjawab soalan yang diberikan kerana konsepnya ala pertandingan ratu cantik versi komedi,”- Erra Fazira, seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro pada 9 Mac 2019.
https://www.youtube.com/watch?v=jgTh1B1eiVQ
Peluang dan ruang tu penting, jangan malapkan potensi…
Kejayaan Jihan ni buatkan ramai lebih faham macam mana jatuh bangun dan cabaran bakat seni, khususnya dalam dunia komedi. Sebab tu lah, kami sokong jugak wujudnya usaha nak cungkil bakat-bakat baharu agar boleh jadi macam Jihan Muse, Didie Alias, Nor Khairiah yang seterusnya… yang untung pun kita jugak sebagai rakyat Malaysia, dan sebagai penyokong pertama kepada industri seni negara.