‘Joker’ adalah karakter fiksyen yang ramai orang suka, walaupun dia ni sorang yang jahat. Dah bermacam filem ditayangkan mengenai Joker. Kami ingat lagi, penangan karakter Joker ni jadi lebih hebat apabila filem Joker (2019) lakonan Joaquin Phoenix ditayangkan. Keperitan dan rasa hati Joker menyentuh hati ramai penonton, berkat bakat Joaquin. Karakter Joker jadi lebih terkenal kerana filem
Namun begitu, karakter Joker sebagai penjahat yang tersakiti turut menimbulkan reaksi yang kita harapkan tak berlaku. Sementara kat filem tu, dia boleh suka hati buat onar; tapi lain pulak situasinya kalau perilaku Joker tu dilakukan dalam realiti sebenar. Hal ni malangnya, terjadi kat Jepun. Lebih teruk, pelaku tu macam takde rasa bersalah nak cederakan orang lain.
Serangan dilakukan dalam kereta api, ramai terpaksa selamatkan diri ikut tingkap
Pada 31 Oktober lalu, sorang lelaki berpakaian ala Joker bertindak cuba membakar dan menyerang para penumpang dalam sebuah kereta api di Jepun. Serangan tu bermula apabila lelaki tu dilaporkan menyembur racun serangga ke mata sorang lelaki yang duduk di sebelahnya, sebelum menikamnya di dada. Dia kemudiannya berpindah ke gerabak lain dan tuang cecair pemetik api supaya dapat mulakan kebakaran dalam gerabak tersebut.
Melihatkan tindakan lelaki tersebut, masih ada yang ingat ni cumalah satu jenaka sambutan Halloween je, sehingga ada penumpang lain dilihat larikan dulu dan lelaki tu dah pegang pisau yang berlumuran darah. Apabila kereta api tu melintasi Stesen Fuda, salah sorang penumpang tekan butang kecemasan.
Jadi, kereta api tu nak buat perhentian kecemasan di Stesen Kokuryo. Ketika kereta api tu dah nak dekat 2 hingga 3 meter lagi daripada lokasi perhentian yang ditetapkan, pemegang pintu kecemasan ditarik. Ni menyebabkan kereta api tu berhenti serta-merta… tapi pintu pulak tak terbuka.
Rakaman daripada penumpang lain menunjukkan ramai penumpang kat dalam kereta api tu terpaksa selamatkan diri daripada serangan tersebut dengan panjat keluar tingkap kereta api tu. Masa tu, suasana cemas semakin mencengkam lagi-lagi bila kebakaran mula merebak dalam gerabak tadi. Penjenayah acah Joker tu duduk chill je kat kerusi penumpang, dan berjaya ditahan.
Joker tu mengaku memang nak bunuh orang sebab ada masalah di tempat kerja, nak dihukum gantung
Selepas ditahan, suspek berumur 24 tahun tu dikenal pasti sebagai Kyota Hattori. Dia dilaporkan mengaku dengan polis bahawa dia nak mati sebab dia ada masalah kerja pada Jun 2021 dan tak lagi bersefahaman dengan kawan-kawannya. Dia jugak dikatakan kalau dia bunuh sekurangnya 2 orang, dia akan dihukum gantung.
Kyodo News melaporkan susulan kejadian ni, seramai 17 orang cedera manakala lelaki yang ditikam, berumur 72 tahun tu masih lagi dalam keadaan kritikal. Yang lain, dikenal pasti dalam lingkungan umur 16 hingga 60 tahun cedera ringan, termasuklah tersedut asap kebakaran dalam gerabak tu.
Kira-kira dua jam sebelum kejadian tu, Hattori pergi ke Shibuya dulu. Pada waktu tu, daerah Shibuya jadi tumpuan ramai yang nak raikan sambutan Halloween dengan kostum-kostum diorang. Menurut sumber, dia menjejakkan kaki ke Tokyo, dia beli kostum Joker, 5 pemetik api Zippo dan lebih dari 10 tin cecair pemetik api. Cecair tu kemudiannya diletakkan dalam lima botol plastik – 1 berukuran 2 liter, dan yang lain 500 mililiter.
Polis menemui sebilah pisau, empat botol plastik yang diisikan cecair pemetik api dan tin aerosol dalam kereta api tersebut. Dipercayai, sebotol berukuran 2 liter tu dah digunakan dalam serangan tersebut. Dia jugak dipetik berkata, dia nak bunuh orang dan dihukum mati, dan menjangka bulan Jun tahun depan, dia dah dihukum gantung.
Manakala Tech Times melaporkan, Hattori ni baru je sampai di Tokyo pada lewat September tahun ni. Dia bukan penduduk Tokyo, sebaliknya dari Fukuoka selepas berhenti kerja dari sebuah syarikat setelah 3 tahun di sana. Beberapa bulan lepas tu, dia memutuskan untuk tinggal di hotel kat Kobe dan Nagoya sambil menanggung hutang yang semakin banyak.
Rupanya ni jugak bukan kali pertama ada orang cuba serang penumpang kat dalam kereta api. Pada Ogos lalu, sorang lelaki mencederakan 10 penumpang dalam sebuah komuter Odakyu. Berikutan serangan-serangan ni, pihak kerajaan dah arahkan syarikat pengangkutan agar terus buka pintu jika ada kecemasan walaupun kereta api tu tak berhenti kat tempat yang betul.
Bila kita dah tau latar belakang Hattori, kita boleh simpulkan bahawa Hattori ni mungkin sedang alami tekanan perasaan yang tinggi. Namun tu tak seharusnya jadi alasan yang cukup sehingga nak bunuh ramai orang supaya boleh dihukum gantung. Buat masa ni, kes tersebut masih lagi dalam siasatan dan belum lagi didakwa kat mahkamah. Boleh jadi hukuman gantung tu tetap diteruskan, ataupun boleh jadi dia hanya dipenjarakan.