Di sebalik kegusaran ramai hinggakan ada yang desak Malaysia buat total lockdown macam negara lain, negara lain termasuklah China berusaha sekerasnya nak cipta vaksin untuk menghalang jangkitan tersebut dari berterusan mengancam dunia.
Penyebaran COVID-19 kat China dikatakan dah berhenti, terus fokus buat vaksin…
Satu khabar baik yang harus kita raikan ketika ni adalah penyebaran COVID-19 dekat China dikatakan dah berhenti. Pada 12 Mac lalu, China umumkan wabak tersebut dah capai puncak penyebaran dan dijangkakan boleh dikawal sepenuhnya menjelang Jun tahun ni.
Dahulunya menjadi titik pertama asal virus tersebut dengan jumlah kes yang amat tinggi, sekarang ni jumlah kes tersebut dah makin berkurang. Ni membuktikan kadar penularan keseluruhan turut berkurang dan kekal di paras rendah. Zhong Nanshan, Penasihat Kanan Perubatan China kata:
“Sekiranya semua negara mengambil langkah membendung wabak ini secara serius, penularan boleh ditamatkan dalam tempoh beberapa bulan lagi. Nasihat ialah semua negara harus mematuhi arahan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan melakukan langkah pencegahan pada peringkat kebangsaan. Jika semua negara menyelaras usaha bersepadu ini, wabak berkenaan boleh selesai menjelang Jun ini,”- Seperti yang dipetik oleh Berita Harian pada 13 Mac 2020
Sementara tu, China turut mengusahakan vaksin untuk melawan jangkitan virus tu. Menurut New York Post, sebanyak 8 institut penyelidikan terlibat dalam usaha ni dan dijangka boleh digunakan pada bulan April. Dah bermacam bahan asas kajian mereka guna; daripada sel stem (stem cells), ubat HIV hinggalah ke bahan ubatan tradisional.
Namun begitu, vaksin tersebut perlu melalui ujian klinikal terhadap manusia terlebih dahulu sebelum diberikan kepada orang ramai. Setakat ni, vaksin tu diuji kat haiwan makmal je dan masih kena perbaiki lagi supaya dijamin selamat untuk manusia.
Menurut Zheng Zhongwei, akses orang awam kepada vaksin tu perlu tunggu sehingga 12 hingga 18 bulan lagi kerana mereka perlu pastikan keselamatan vaksin tersebut untuk kegunaan ramai.
Saintis Kanada tak ketinggalan buat vaksin, lebih banyak pilihan untuk diuji…
Bukan sekadar China, Kanada pun ikut buat jugak vaksin mereka sendiri. Lebih banyak pilihan vaksin, lebih baik sebenarnya sebab kita boleh uji kaedah dan bahan mana satu yang boleh selesaikan masalah virus COVID-19.
Medicago, sebuah syarikat biofarmaseutikal mendakwa idea pembuatan vaksin mereka mungkin lebih sesuai kerana berbeza dengan vaksin lain, mereka pula berasaskan tumbuhan dan bukannya dari embryo telur ayam. Malah, mereka kata dalam masa 20 hari je, mereka dah boleh kenalpasti gene virus tersebut.
“Kami ada vaksin selesema yang tengah dikaji oleh pihak kesihatan Kanada, dan teknologi yang kami guna untuk vaksin COVID-19 ni hampir sama (dengan vaksin selesema) dimana dah terbukti berkesan…” – Bruce Clark, CEO Medicago, seperti yang dilaporkan oleh Global News pada 13 Mac 2020
Walaupun kami teruja jugak dengar dakwaan mereka, China sebenarnya agak aktif keluarkan kertas kajian-kajian saintifik sambil menjalankan rawatan ke atas para pesakit dulu. Boleh jadi jugak kajian mereka pun meminjam sikit dari dapatan saintis China, di samping kemudahan teknologi yang canggih kat sana.
Lebih awal lagi, Universiti Saskatchewan dah dapat kebenaran dan geran berjumlah sejuta dollar dari kerajaan sejak Januari 2020 lagi untuk cipta vaksin COVID-19. Vaksin dari universiti tersebut pun sama jugak; masih dalam tahap ujian klinik ke atas haiwan makmal.
A #USask research team and collaborating scientists from across the country have been awarded $1 million to develop animal models and test vaccine candidates for effectiveness and safety against the new #coronavirus. @VIDOInterVac https://t.co/SXanfcxgvs
— U of Saskatchewan (@usask) March 6, 2020
Lebih 20 pilihan vaksin lain tengah dalam fasa ujian, tapi Amerika Syarikat pula didakwa upah Jerman buat vaksin?
Beberapa negara maju lain seperti Amerika Syarikat dan Perancis pun sibuk jugak nak buat vaksin. Kat Perancis, sebuah syarikat bernama Sanofi dah bina sebuah institut penyelidikan vaksin yang khas untuk influenza di Val de Reuil pada 2017 dan merupakan satu-satunya institut penyelidikan vaksin yang dimiliki oleh Sanofi Pasteur.
Di Amerika pulak, dilaporkan terdapat dua syarikat yang mendakwa vaksin mereka dah boleh lepas fasa untuk ujian terhadap manusia iaitu Moderna Inc. dan Inovio Pharmaceuticals Inc. Dua-dua pun bekerjasama dengan pihak lain jugak…
Kerjasama syarikat bioteknologi Moderna Inc. dengan National Institute of Allergy dan Infectitious Diseases dikatakan bakal menguji vaksin kumpulan pertama mereka terhadap 45 sukarelawan yang sihat dengan dos yang berbeza. Mereka takkan terkena COVID-19 sebab suntikan tu tak mengandungi virus COVID-19 dan hanya nak tengok jika suntikan tu ada kesan sampingan ke tak. Keputusan ujian tu akan diketahui pada bulan Julai atau Ogos.
Inovio Pharmaceuticals pula bekerjasama dengan China untuk cipta vaksin (INO-4800) termasuklah alat penghantaran pintar untuk vaksin tersebut iaitu CELLECTRA 3PSP. Fungsi gajet tu adalah untuk nak jaga ‘kesegaran’ vaksin tu dengan lebih mudah. Vaksin INO-4800 pun dijangka masuk ke fasa klinikal ke atas 30 sukarelawan pada April nanti.
Walaupun dah ada percubaan vaksin kat negaranya, Amerika masih lagi nakkan sebuah syarikat Jerman bernama CureVac untuk buatkan vaksin. Benda ni sampai dah masuk ke pengetahuan kerajaan Jerman dan terus dihalang sebab dikatakan, Trump minta hak ekslusif ke atas vaksin tersebut hanya untuk Amerika je jika terima tajaan tersebut.
“Kerajaan Jerman sangat berminat ingin pastikan vaksin dan bahan aktif melawan koronavirus baharu ni turut dibangunkan di Jerman dan Eropah. Dalam hal ini, kerajaan tengah dalam kerjasama yang intensif dengan syarikat CureVac”- Jurucakap Kementerian Kesihatan Jerman, seperti yang dilaporkan oleh Reuters pada 15 Mac 2020
Vaksin tengah dalam proses ujian ke atas manusia, tak lama lagi kita boleh guna…
Proses nak buat vaksin ni pun kena dilakukan secara berperingkat dan mempunyai peraturan tertentu. Ye lah, benda ni kan melibatkan kesihatan orang awam. Kalaulah vaksin yang dicipta oleh sesebuah syarikat tu tak menjadi, boleh jatuh teruk reputasinya tau!
Bercakap pasal vaksin ni pun, kami tertanya-tanya di mana posisi golongan anti-vaksin dalam hal COVID-19 ni. Mereka bolehlah kata “penyakit tu takkan muncul semula”, tapi kini kita dah tengok dan alami sendiri kegusaran akibat virus tersebut. Vaksin boleh bantu kawal jangkitan COVID-19 daripada muncul semula, sama macam polio jugak.
Kami harap kat Malaysia pulak, kita pun boleh ada institut penyelidikan dan pembuatan vaksin yang banyak macam kat negara-negara maju. Buat masa ni, perkara paling penting adalah kita nak jamin keselamatan dan perlindungan kesihatan pada rakyat dahulu. Mungkin lepas habisnya ancaman COVID-19 ni, kita boleh fikirkan semula nak tarik minat para pelabur untuk buat kilang pembuatan vaksin mereka kat sini kan…