Bagaimana Kapal Ever Given diapungkan? Nampaknya ia tidak menggunakan Myvi

f1

Bayangkan jika kerana korang, seluruh perdagangan dunia terjejas? Kargo-kargo yang ditunggu lambat tiba dari yang dijangka, manakala syarikat-syarikat terpaksa menanggung kos yang tinggi kerana kelambatan kargo diorang di pelabuhan. Akibat korang jugak, sebahagian kapal kargo lain turut menukar laluan ke laluan yang lebih panjang daripada sebelum ni. Akibat korang jugaklah, seluruh komuniti maya dah tau dan cuba ulas kejadian yang berlaku?

728 X 90

Agaknya begitulah nasib kapten sebuah kapal yang baru-baru ni trending kat alam maya; ramai jugak cuba mempertikaikan kemahiran kapten tersebut. Tak kurang pulak, ada cuba memberi solusi tentang macam mana nak keluarkan kapal tersebut daripada terus tersekat. Segelintir masih tertanya-tanya bagaimana sebuah kapal besar tu boleh tersekat pada awalnya. Kami cuba ulas perkembangan kapal kontena tersebut dari hari pertama hinggalah ke penghujung kejadian tu.

evergreen
Via Sinar Harian

Sebuah kapal kontena jadi perhatian antarabangsa, rupanya ramai masih tak tau kewujudan Terusan Suez

Lazimnya, kita tak fikir sangat bagaimana bungkusan korang boleh sampai ke rumah korang. Prosesnya sebenarnya agak panjang jugak dan bergantung kepada destinasi bungkusan korang dihantar serta kat mana korang nak ia dihantar. Selain dari perkhidmatan pos yang korang kenal seperti Pos Laju atau J&T, kadangkala ada jugak bungkusan yang dihantar menerusi jalan laut. Ribuan kapal bergerak setiap hari demi memastikan bungkusan tu sampai ke tempat yang dituju, daripada bungkusan sekecil pemadam sekolah sehinggalah barang bersaiz kereta atau mungkin lebih besar dari tu.

Terusan Suez adalah laluan yang paling sibuk di dunia. Bila kami tengok reaksi warganet, ada jugak sesetengahnya baru tau Terusan Suez ni wujud kat Mesir. Sebenarnya, ia jugak boleh dikatakan sebagai terusan yang dah lama dibina dan amat penting untuk menghubungkan Laut Mediterranean ke Laut Merah sejak 1869. Isu pembinaan Terusan Suez jugak agak penting dalam sejarah, khususnya dalam sejarah rantau Asia Barat. Mesir sendiri terpaksa ‘gaduh’ dengan Britain dan Perancis untuk mendapatkan semula laluan Terusan Suez tu. Ia akhirnya dijadikan antara sumber pendapatan utama kerajaan Mesir kerana kapal-kapal yang belayar melaluinya kena bayar tol kepada kerajaan Mesir.

terusan suez dari atas
Terusan Suez dari pandangan atas.. Via Wikimedia

Pada 24 Mac lalu, sebuah kapal kontena dilaporkan langgar tebing di Terusan Suez. Nasib baiklah perlanggaran ni takde mengakibatkan kehilangan nyawa, tetapi ia dah rencatkan masa dan aliran trafik marin. Kapal tersebut dikenali sebagai kapal MV Ever Given, dikatakan milik Taiwan dan memiliki kepanjangan 400 meter serta kelebaran 58 meter. Ia dilihat tersekat dalam kedudukan mengiring merentangi laluan tersebut. Susulan kedudukan kapal kontena tu yang betul-betul menghalang laluan Terusan Suez, lebih 100 kapal yang berada di tempat kejadian masa tu terpaksa berhenti sehinggalah dah jadi sesak.

“Syarikat menggesa pemilik kapal untuk melaporkan punca kejadian dan sedang berbincang dengan pihak berkaitan, termasuk pihak berkuasa pengurusan terusan bagi membantu kapal itu secepat mungkin,”- Operator kapal Evergreen Marine Corp, seperti yang dilaporkan Utusan.com

suez canal incident
Insiden Terusan Suez.. Via Visual Capitalist

Pihak berkuasa pengurusan terusan tersebut segera minta Leth Agencies, sebuah syarikat perkhidmatan tu untuk uruskan kapal tunda bagi apungkan semula kapal berkenaan. Walaupun begitu, usaha nak kerahkan kapal tunda ni tak sehangat dan meluas ditularkan dengan gambar sebuah jentera pengorek tanah sedang berusaha nak korek tebing terusan tu, dipercayai untuk melebarkannya dan cipta sedikit ruang yang membolehkan kapal tu ‘bebas’ dari terus tersekat.

Dekat seminggu dikecam ramai, kapal Ever Given akhirnya ‘memberi’ laluan kepada kapal lain

Memandangkan Terusan Suez tak dapat beroperasi seperti sediakala, ramai pemilik kapal lain memutuskan untuk ambil laluan lain iaitu di selatan benua Afrika dengan singgah ke Tanjung Harapan. Laluan tu pun sebenarnya laluan lama para pedagang di masa dulu, sebelum Terusan Suez benar-benar dibuka. Walaupun ni bukanlah pertama kalinya Terusan Suez ditutup sementara, ni boleh dikatakan kali pertama ada kapal sebesar dan sepanjang tu tersekat merentangi laluan trafik tersebut.

CNBC Indonesia pada 30 Mac berkongsi macam mana kapal Ever Given tu akhirnya terbebas jugak. Kumpulan penyelamat terpaksa korek pasir sebanyak 30 ribu meter kubik di sekitar kapal. 11 kapal kecil dan 2 kapal laut yang besar turut digunakan untuk menunda kapal Ever Given. Operasi penyelamatan ni jugak sebenarnya agak luar biasa, kerana kumpulan penyelamat terpaksa bertarung dengan waktu.

“Tekanan waktu untuk menyelesaikan operasi ini terbukti dan belum pernah terjadi sebelumnya”- Peter Berdowski, CEO Smit Salvage, seperti yang dikutip CNBC Indonesia

Hasil kerjasama Smit Salvage dan pihak berkuasa Terusan Suez akhirnya membuahkan hasil apabila misi tersebut berjaya membebaskan kapal Ever Given dari terus tersekat merentangi Terusan Suez dalam masa 6 hari. Ia jugak berjaya diapungkan dan diluruskan sesuai dengan jalur terusan tersebut. Selain tu, operasi ni dibantu dengan faktor alam semulajadi seperti kejadian air pasang dan faktor tarikan graviti bulan (fenomena bulan perigee).

Tetapi tu bukanlah pengakhiran sebenar. Usai je kapal kontena tersebut berjaya dibebaskan, Mesir pulak dilaporkan akan tuntut pampasan daripada pemilik Ever Given. Meskipun ramai yang kata kapal tersebut tersekat kerana faktor angin ribut kuat, ada jugak berpendapat faktor kecuaian jugak boleh diambil kira.

“Kami akan menuntut ganti rugi daripada pemilik kapal akibat daripada sekatan kapal itu termasuk penggunaan kapal tunda, kami akan menuntut kos sepenuhnya,”- Laksamana Mohab Mamish, pembantu Presiden Mesir mengenai pembangunan pelabuhan dan Terusan Suez, seperti yang dipetik oleh Sinar Harian

mesir rosak suez
Via The Conversation

Berkaitrapat dengan isu ni jugak, sorang kapten kapal wanita pertama di Mesir, Marwa Elsehdar pulak yang diheret sekali dalam hal ni. Ramai warganet dakwa ni semua salah kapten wanita tersebut, walhal dia bertugas di atas kapal lain, kat perairan Iskandariah serta berada amat jauh dari lokasi kejadian. Setakat ni, identiti kapten kapal MV Ever Given belum didedahkan… tetapi ada segelintir misoginis ni rasa tak perlu fikir dua kali dah bila nak fitnah orang lain. Apatah lagi apabila melibatkan isu jantina, sehingga ia mampu menjejaskan reputasi sorang kapten wanita yang disegani. Siap ada artikel palsu yang ditulis hanya untuk menjadikannya sebagai kambing hitam atau sekadar lawak jenaka seksis.

“Saya terkejut dan fikir mungkin mereka menjadikan saya sebagai sasaran hanya kerana saya merupakan seorang kapten wanita pertama yang berjaya dalam industri ini. Atau mungkin juga kerana saya orang Mesir, saya tidak begitu pasti.

Saya berusaha keras menafikan apa yang ditulis dalam artikel itu kerana ia menjejaskan reputasi saya serta semua usaha keras saya untuk sampai ke tahap ini. Komen-komen pada artikel itu juga berbaur negatif dan kasar, namun saya juga ada menerima komen yang positif daripada individu yang bekerja dengan saya,”-Marwa Elselehdar, seperti yang dipetik Kosmo.com

egypt female captain
Kapten wanita pertama di Mesir, Marwa Elselehdar.. -Via Kosmo

Melihatkan perkembangan isu ni, kami akan terus setia mengikutinya dari semasa ke semasa. Sememangnya peristiwa buruk sebegini di luar sangkaan kita, tetapi ia jugak membuktikan bahawa kita perlu meneliti semula prosedur penyelamatan yang mencakupi situasi-situasi sebegini. Persediaan di masa akan datang memungkinkan kita dapat menghadapi cabaran seperti ni dengan lebih mudah dan lebih pantas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *