Lepas tercetusnya pandemik, kita dah mulai memperkemas polisi kita terhadap pelbagai lapisan masyarakat. Yang bekerja, kita lihat sendiri kesengsaraan mereka. Yang belajar, kita dah lihat sendiri bagaimana kesulitan mereka. Yang suri rumah dan anak kecil di rumah, kita pun dah sedar cabaran-cabaran mereka apabila terpaksa berhadapan dengan penderaan domestik. Yang bertugas di barisan hadapan, mereka masih terima kecaman dan ditakuti ramai.
Kami di Orangkata konsisten menuliskan isu-isu segenap lapisan masyarakat, daripada isu tekanan kewangan hingga ke penderaan domestik, seterusnya kepada tekanan kelas online dan perlunya polisi yang sesuai untuk pekerja asing. Namun kami rasa tak wajar sekiranya kita tak menyantuni satu lagi lapisan masyarakat yang jarang disentuh; warga pinggiran seperti gelandangan dan ‘palauh’.
Gelandangan terus tersisih dan mungkin meningkat, siapa yang salah sebenarnya?
Di Malaysia ni, kami yakin hampir setiap negeri mempunyai masalah gelandangan. Yang kerapkali muncul di kaca televisyen selalunya gelandangan kota Kuala Lumpur, terutamanya di kawasan-kawasan tumpuan ramai seperti Bukit Bintang. Jika korang masih ingat lagi, tindakan kerajaan yang berjaya menempatkan gelandangan sebagai langkah memutuskan rantai jangkitan tahun lalu membuktikan bahawa kerajaan sebenarnya boleh menyelesaikan isu gelandangan.
Seperti yang kita lihat, gelandangan banyak meneruskan hidup dengan ihsan orang ramai baik dari segi makanan dan tempat tinggal. Terdapat banyak pertubuhan kebajikan yang memberi bantuan kepada mereka, dan semasa waktu Ramadhan pulak, mereka akan menjadi tumpuan segelintir masyarakat untuk menderma makanan walaupun makanan tu dah nak basi. Walaupun begitu, kehadiran pertubuhan kebajikan yang sudi nak bantu tak bermakna kerajaan boleh lepaskan tanggungjawab mencari solusi terbaik untuk mereka.
Kami tak menolak dengan krisis kewangan yang berlaku ketika ni, ada antara yang dahulunya cukup makan tiba-tiba tak lagi mampu meneruskan pembayaran rumah ataupun harta bendanya yang lain. Oleh sebab ni, jumlah gelandangan boleh meningkat berbanding tahun lalu. Ikut pandangan Sofea Azahar, sorang penyelidik di EMIR Research; wujud jugak persepsi massa yang mengaitkan golongan gelandangan ni sebagai ‘pembawa masalah’ dan menentang pemberian bantuan kepada gelandangan.
Gelandangan jugak turut berhadapan dengan isu lain, misalnya isu penerimaan gaji yang rendah, pengangguran dan kekurangan perumahan kos rendah. Nak dikatakan kerajaan tak buat apa-apa, pun tak sesuai jugak. Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut memberikan bantuan kepada gelandangan. Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) jugak ada buat program-program tersasar untuk gelandangan.
Dalam sebuah artikel temubual bersama gelandangan yang tersiar di Wilayahku.com.my, ada sesetengah gelandangan yang dah dibantu oleh kerajaan termasuklah dah ditempatkan dalam Pusat Gelandangan Sementara (PGS) ni mengakui mereka lebih memilih untuk jadi gelandangan. Alasan mereka, bila jadi gelandangan ni tak perlu nak fikir pasal komitmen bulanan dan sebagainya macam orang lain. Makanan pulak biasanya diberikan secara percuma oleh pihak persatuan kebajikan dan masjid, jadi ringan sikitlah hati nak hidup seminimal boleh.
Dalam keadaan ni, siapa sebenarnya yang salah? Kami memberikan korang dua sisi yang berbeza, supaya dapat kita perhatikan macam mana nak tentukan pendekatan dan polisi yang sesuai untuk golongan gelandangan ni. Mungkin untuk segelintir gelandangan, mereka perlu diberi peluang yang lebih baik dan untuk segelintir lagi, harus kita bina semangat mereka untuk memulakan hidup yang lebih baik.
Gelandangan takde dokumen pun ada, golongan palauh pulak dikhuatiri pembawa virus COVID-19
Kita beralih pulak daripada kisah golongan gelandangan di ibu kota, kepada golongan gelandangan dan palauh di Sabah. Mungkin tak ramai mengetahui bahawa satu-satunya negeri yang ada kelompok digelar ‘palauh’ ni hanya ada di Sabah. Secara umumnya, palauh ni gelaran yang longgar diberikan kepada kelompok warga terapung. Warga terapung ni maksudnya warga yang berumah dalam perahu atau lepa, seperti kaum Bajau Laut.
Oleh sebab mereka sentiasa bergerak, maka amatlah sukar untuk mereka dapatkan dokumen pengenalan walaupun secara sejarahnya, mereka boleh disebutkan sebagai rakyat Malaysia. Ditambah lagi dengan kawalan sempadan yang sedikit longgar dan eratnya hubungan silaturahim antara negara jiran seperti Indonesia dan Filipina, kadangkala kewarganegaraan seseorang ‘palauh’ ni tak diketahui – boleh je mereka ni datangnya dari selatan Filipina.
Isu gelandangan tanpa dokumen dan golongan palauh ni akhirnya menjadi perhatian semasa berlangsungnya wabak tersebut. Golongan palauh ni pernah dilaporkan oleh Sinar Harian, malah beberapa kali ditularkan dengan penuh bimbang oleh warga Kota Kinabalu. Kanak-kanak yang tak diketahui kewarganegaraannya dikatakan mundar-mandir meminta sedekah di sebuah jalan raya ibu negeri tersebut. Ni mendapat reaksi Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya;
“Berkenaan dengan kanak-kanak merayau meminta sedekah atau ke tempat buangan sampah ini, sebenarnya akan diuruskan kalau di Kota Kinabalu pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) atau pihak berkuasa tempatan bersama Jabatan Kebajikan. Sekiranya warganegara, mereka akan dibawa ke Intitusi Desa Bina Diri untuk memulihkan keadaan mereka manakala jika bukan warganegara, kita akan serahkan kepada JIM (Jabatan Imigresen Malaysia) atau pihak berkuasa yang relevan,”- seperti yang dilaporkan Sabahnews pada 22 Disember 2020
Dalam isu yang sama, Masidi Manjun selaku Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah mengambil maklum tentang laporan gelandangan dan kanak-kanak yang dikatakan ‘golongan palauh’ ni. Katanya, kerajaan negeri akan mengambil pendekatan menyeluruh yang selaras dengan Akta Orang-orang Papa (AOP) 1977. Bagi gelandangan tanpa dokumen pulak, pihak Imigresen akan dilibatkan sekali dalam operasi pengurusan gelandangan.
Namun begitu, amatlah wajar kita kenang kembali bagaimana pengurusan pihak berkuasa terhadap warga asing yang ditahan dulu. ‘Rumah merah’, atau nama rasminya Pusat Tahanan Sementara (PTS) dahulunya menjadi punca penularan jangkitan COVID-19 lepas PRN dulu. Kluster Rumah Merah di Menggatal misalnya meningkatkan catatan laporan kes negeri tersebut sebanyak 2 kali ganda, melonjakkan kiraan kes ketika tu sebanyak 532 kes.
Penularan virus pandemik tersebut mendesak kita memikirkan semula bagaimana nasib gelandangan tanpa kewarganegaraan yang ditahan oleh pihak berkuasa, lalu dimasukkan ke dalam ‘rumah merah’ ni. Pusat gelandangan pulak belum lagi diwujudkan (setakat dalam carian kami), walaupun cadangan tersebut sudahpun diutarakan sejak 2017. Ni bermaksud isu gelandangan di Sabah langsung terbiar dan hanya berharapkan usaha daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta persatuan kebajikan di negeri tu.
Isu kebajikan gelandangan dan golongan palauh ni wajar ditangani dengan penuh perikemanusiaan, walaupun mereka takde dokumen disebabkan cara dan adat hidup mereka. Polisi dan pendekatan sesuai dengan konteks dan situasi mereka jugak harus dirangka, termasuklah kesedaran terhadap masalah dan cabaran yang dilalui mereka ni. Apatah lagi dalam era COVID-19 dan norma baharu, tentulah keperluan kebajikan mereka jugak semakin penting.