Bangkai kapal lama ditemukan penduduk kampung selepas banjir, dipercayai berusia 150 tahun

F1

Banjir besar yang berlangsung dari akhir tahun 2020 hingga awal tahun ni akhirnya perlahan surut jua. Walaupun begitu, tak bermakna kesan banjir tersebut ikut ‘surut’. Beberapa kesan yang kena terus dibangkitkan adalah punca dan cara menanganinya supaya ia tak jadi lebih buruk untuk masa hadapan. Sebelum ni pun kami dah sentuh sikit berkenaan kenyataan kerajaan negeri Pahang yang menafikan punca banjir ni ada kaitan dengan pembalakan.

728 X 90

Selain dari tu, ada jugak kesan baik yang timbul lepas banjir ni. Sebuah penemuan besar berjaya diselamatkan oleh para penduduk seterusnya diserahkan kepada jabatan yang bertanggungjawab untuk buat kajian dan berusaha memelihara peninggalan sejarah ni. Nak tau lebih lanjut, teruskan baca…

Bangkai Kapal Lipis
Via Sinar Harian

Bangkai kapal lama bersalut tembaga ditemukan penduduk kampung lepas banjir, dipercayai sekitar lebih 150 tahun

Pada 16 Januari, Sinar Harian melaporkan penemuan sebuah bangkai kapal lama yang dijumpai para penduduk kampung di Kampung Penjom, Lipis. Kapal tersebut dianggarkan dibina sekitar abad ke-18 dan 19 dan ditemukan ketika usaha pembersihan kawasan yang dilakukan oleh para penduduk lepas banjir. Menurut salah sorang penduduk kampung yang terawal menemui kapal tersebut kata kapal tu mungkin karam lepas mengalami kerosakan serius akibat ditembak.

Kapal tersebut jugak dipercayai menjadi kapal pengangkutan barangan berharga, ditambah lagi dengan penemuan sekeping plat tembaga bertulis “Vivian & Sons 16 Oz”. Untuk pengetahuan korang, syarikat tersebut agak popular pada zamannya sebab ia menjadi salah sebuah syarikat British yang mengendalikan operasi peleburan tembaga daripada 1809-1820. Ia kemudiannya diperbesarkan lagi menjadi British Copper Manufacturers Limited lepas 1824, dan diambil alih oleh Yorkshire Imperial Metals pada 1926.

Bangkai Vivian And Sons
Kepingan logam dengan tulisan tertera Vivian and Sons.. -Via Sinar Harian

Salah satu kemungkinan bagaimana kapal dagang British ni ada Pahang adalah ia menjadi kapal yang digunakan oleh para pembesar dahulu untuk mengangkut bahan mentah yang dah dijual. Jika diperhatikan, ni bukanlah kali pertama Pahang ada penemuan-penemuan bersejarah yang besar nilainya. Dulu pada 2014, rangka-rangka tulang dinosaur ditemui di Pahang. Bahan mentah termasuklah sumber kayu pun banyak di Pahang. Boleh dikatakan negeri tersebut ni ‘kaya’ nilainya sama ada secara komersialnya mahupun sejarahnya.

Hal ni seiring dengan maklumat rasmi berkaitan sejarah penubuhan daerah Lipis sendiri, di mana ia menjadi antara daerah utama hasil bumi dijarah oleh pihak British sehingga beberapa jenis pengangkutan dibangunkan khas untuk membawa keluar hasil tersebut seperti jalan raya dan landasan kereta api. Asal usul Kuala Lipis pun ada kaitan dengan sungai, maka tentulah pengangkutan air antara cara perhubungan yang terus digunakan pada zaman sebelum dan semasa penjajahan.

Kuala Lipis
Via PDT Lipis

Beberapa kepingan didakwa dah dicuri dan dijual, sebenarnya ada akta khas untuk penemuan macam ni

Walaupun begitu, kapal dagang tersebut dikatakan tak ditemui sesempurna yang asal. Ni berikutan ada dakwaan kata terdapat beberapa penduduk yang dah ambil komponen seperti paku atau dinding kapal yang disalut tembaga. Mungkin ada segelintir para penduduk yang pertama menjumpai bangkai kapal tu tak tau bahawa sememangnya wujud akta khusus yang melindungi artifak bersejarah.

Kata Penghulu Mukim Kechau, Mohammad Hafiz;

“Saya percaya struktur kapal ini telah diambil oleh individu tidak bertanggungjawab kerana saya difahamkan oleh penduduk kampung bahawa kapal ini telah ditemui oleh sekumpulan pemancing terlebih dahulu semalam. Saya turut difahamkan bahawa satu laporan polis juga telah dibuat berhubung perkara ini,”- Seperti yang dilaporkan Sinar Harian pada 15 Januari 2021

Objek Kapal Vivian
Objek yang ditemui dalam kapal tersebut.. Via Sinar Harian

Dakwaan ni disahkan oleh Ketua Daerah Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor selepas hasil temubual dengan penduduk. Sekiranya ada antara penduduk yang didapati menjual atau menyimpan sebahagian daripada harta kapal tersebut, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 47 penemuan objek di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN), Mesran Mohd Yusop turut menjelaskan perkara ni;

“Pemeriksaan pada bahagian dalam kapal tidak menemukan artifak melainkan serpihan seramik buat masa ini. Namun, pihak kami mendapati terdapat kesan kapal itu telah diganggu dipercayai oleh mereka yang mengambil komponen seperti paku atau dinding kapal disalut tembaga. Kita percaya barangan tersebut dijual kepada pembeli barangan lusuh kerana semalam (Jumaat), selepas dinasihatkan polis, sebuah syarikat barangan lusuh telah memulangkan komponen yang dianggarkan seberat 100 kilogram yang dijual kepada mereka,” -seperti yang dilaporkan Sinar Harian pada 16 Januari 2021

Kat pasar gelap, artifak-artifak sejarah antara barangan bernilai tinggi. Semakin langka dan tua artifak tersebut, harganya akan melambung semakin tinggi. Oleh sebab tulah, pemeliharaan objek warisan ni tak hanya sekadar nak buat dokumentasi je. Ia perlu dilindungi dari hilang dan disimpan selamanya oleh orang perseorangan, sedangkan ia amatlah penting sebagai pembinaan identiti rakyat dan ditatap penuh insaf oleh generasi akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *