Kes dera semakin menjadi-jadi, rakyat tertanya-tanya mana pergi talian BANTUAN?

F1
Kes dera semakin menjadi-jadi, rakyat tertanya-tanya mana pergi talian BANTUAN?

Penderaan bukanlah suatu perkara yang ringan, apatah lagi jika sampai boleh hilang nyawa. Penderaan ni boleh berlaku dalam dua cara; penderaan fizikal atau penderaan mental. Ia jugak boleh berlaku kepada sesiapa saja dalam hubungan, termasuklah hubungan kekeluargaan sekali pun. Sewaktu PKP tahun lalu pun, kita dah boleh melihat sendiri lonjakan laporan kes penderaan di rumah. Salah satu kes yang paling mengejutkan ramai adalah cucu tiri ditolak jatuh dari tingkat atas oleh datuknya sendiri.

728 X 90

Jelaslah, perkara ni amat perlu diberikan perhatian. Mangsa penderaan jugak perlu diberikan bantuan sewajarnya, dan perlindungan keselamatan serta kebajikan supaya boleh membina hidupnya sendiri tanpa perlu bergantung dengan penderanya. Tapi bagaimana pula dengan kanak-kanak yang senasib dengan adik Amir baru-baru ni?

Kisah Amir dikatakan dibunuh mama dan bapa tiri sendiri, keluarga angkat cuma mampu menangis kesal

“Termenung je…” begitulah kapsyen laporan portal media yang dikatakan mengambil sumber informasi tersebut daripada jiran sebelum kematian Amir. Sebelum ni, kami dah tulis pasal berita bayi Jung-In di Korea yang dipukul oleh keluarga angkatnya sendiri. Bayi tu baru dekat 2 tahun umurnya; bayangkanlah dengan umur Amir yang sedikit tua pun tak dapat melindungi diri daripada dipukul sehingga mati oleh ibu dan bapa tirinya.

Gambar Amir Jiran
Gambar adik Amir yang dikatakan diambil oleh jiran..- via Gempak

Pada 30 Januari lalu di Melaka, berita menyayat hati tu sampai ke perhatian umum dengan penemuan sorang kanak-kanak lelaki dalam sebuah tong air di rumahnya. Mengikut laporan Harian Metro, pihak polis menerima panggilan daripada sorang lelaki yang memaklumkan bahawa anaknya tu lemas dalam tong air biru tu. Walaupun begitu, siasatan di tempat kejadian mendapati ada kesan lebam serta kecederaan pada anggota badan kanak-kanak tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa dicederakan. Susulan itu, ibu dan bapa tiri kanak-kanak berkenaan yang masing-masing berusia 32 dan 38 tahun ditahan. Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,”- Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, seperti yang dilaporkan Harian Metro pada 30 Januari 2021

Perintah reman dikeluarkan sehari lepas tu, dan tularlah kisah Amir menerusi keluarga angkatnya serta jiran berdekatan rumah mereka. Seperti yang dikongsikan ibu angkatnya oleh Mstar, adik Amir atau nama penuhnya Zubaidi Amir Qusayri Abd Malek ni, 7 tahun; kali terakhir dia melihat Amir adalah semasa bapa tirinya bawa dia bersama ke Kuala Lumpur masa nak ambil barang. Ibu angkatnya ni tinggal di Rawang, Selangor jadi memang senang nak jumpa.

Amir Dera Norlida Rawang
Tangis keluarga yang menjaga dari kecil, hingga maut di tangan ibu sendiri.. -Via Malaysia Gazette

Amir kelihatan amat gembira menemui keluarga angkatnya ni. Mesra dengan panggilan ‘Umi’, ibu angkatnya Norlida Abu Hassan mengimbau saat kenangannya kini dengan penuh kesal. Katanya;

“Saya tak tau nak cakap macam mana… dari malam tadi, saya belum lelap. Saya tahu, saya dapat rasa dia memanggil-manggil ‘Umi’ ketika sakit. Sebab kalau dia jatuh sakit, sayalah orang yang akan dicari dulu. Kalau tak mampu jaga, tak payahlah ambil Amir. Sebab tu saya terkilan sangat tak pertahankan Amir sebelum ni tapi nak buat macam mana, itu hak mutlak ibu kandungnya”- Seperti yang dilaporkan Mstar pada 30 Januari

Ye lah, keluarga angkatnya ni dah pelihara dia dari masih bayi lagi hinggalah dah cecah umur layak masuk ke sekolah rendah. Tentulah dia disayang dengan minyak ditatang penuh, lantaran dia jugak dilayani seperti ‘adik bongsu’. Norlida membuka cerita, dia dan ibu kandungnya mulanya tak mengenali pun antara satu sama lain. Ibu kandungnya ketika tu pun tengah belajar lagi dan belum stabil dari segi kewangan, manakala kisah ibu kandungnya ni cuma diketahui menerusi cerita rakan Norlida yang kasihan dengan nasib ibu muda tu.

Norlida pun simpati dan menawarkan pertolongan untuk jaga Amir. Bila Amir dah 6 tahun, barulah ibu kandungnya ni nak ambil balik Amir di bawah jagaannya semula pada 13 Oktober lalu. Namun lepas dibawa semula ke Melaka, lama-kelamaan ibu kandungnya ni dah tak benarkan keluarga angkatnya menghubungi Amir atas pelbagai alasan. Sebab tulah pertemuan yang diatur oleh bapa tirinya tu teramat manis rasanya.

Kerana sayang mereka yang teramat tu jugak, pahitnya terasa benar apabila khabar buruk tu sampai ke telinga mereka. Patah hati tu jangan cakaplah… jadi tak hairanlah di samping harapan keluarga angkatnya agar keadilan dapat ditegakkan untuk kematian Amir, mereka nak bawa balik jenazahnya untuk dikuburkan di Rawang.

Info 11 tahun lalu pulak diberi untuk maklumat ramai, menteri terus padam Tweet

Kejadian ni membuka mata ramai tentang apa yang harus orang awam lakukan sekiranya ada mengesyaki unsur penderaan kat rumah berdekatan mereka. Oleh sebab tu, sang menteri kita sorang ni berkicau di Twitter pasal langkah yang harus diambil untuk laporkan kejadian kepada pihak berkuasa. Niat dah betul… tapi info pulak tak betul.

Teledera Azmin
Sempat tangkap layar sebelum dipadam..

Ni mendapat reaksi pelbagai dari warga Twitter, antaranya turut mencuba jugak info talian yang diberikan Menteri MITI kita ni. Ada yang kata tak dapat pun… rupanya info tu dah salah. Untuk pengetahuan korang, Teledera ni dah tukar nombor sejak 2010 menjadi Talian Nur, lepas tu dinamakan semula sebagai Talian Kasih 24 Jam. Dah 11 tahun talian tu tak digunakan, namun benda tu masih lagi ada dan terselit bersama dengan laman web rasmi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Teledera
Laman KPWKM yang belum dikemaskini (kanan), carian kami mengenai Teledera (kiri)

Laman KPWKM sekarang ni dah dikemaskini, digantikan dengan talian sebenar iaitu Talian Kasih tu. Ertinya dah 11 tahun laman web rasmi kerajaan tak kemaskini nombor talian yang penting macam ni. Carian kami di kiri tu membuktikan pembaharuan tu baru je dibuat dan belum lagi di’cache’kan oleh Google. Kalau dah lama kemaskini, perkataan ‘Teledera’ tu sepatutnya dah tak paparkan lagi laman kerajaan sebagai hasil carian pertama.

Talian Kasih ni lebih baik sebab beroperasi 24 jam, tol bebas dan ada di WhatsApp. Memang dah ramai orang gunakan talian ni sama ada nak meluah perasaan, nak mohon bantuan untuk diri sendiri atau orang lain, ataupun sekadar nak bertanya je pasal permohonan dan maklumbalas lain.

Mengikut statistik yang dilaporkan Sinar Harian dari bulan Januari sehingga 26 November 2020, Talian Kasih telah menerima hampir 90,000 panggilan berkaitan dengan KPWKM dan sebanyak 59,297 atau 70 peratus daripada panggilan tersebut berjaya diselesaikan pada peringkat Talian Kasih, manakala bakinya dipanjangkan kepada agensi yang berkaitan.

“Paling banyak kami terima adalah aduan mengenai masalah kewangan. Ia mungkin disebabkan kita sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan Covid-19, jadi ramai yang terjejas apabila hilang punca pendapatan. Jika pemanggil mengadu mereka putus bekalan makanan, kami akan menghantar notifikasi kepada JKM yang terdekat dengan pemanggil untuk mengambil tindakan. Begitu juga sekiranya ada panggilan berkaitan penderaan kanak-kanak dan keganasan rumah tangga. Sekiranya perlu, kita akan terus menghubungi polis untuk membuat semakan di tempat kejadian,”- Nor Hafizah Hashim, Penyelia Pasukan Petugas Talian Kasih, seperti yang dilaporkan Sinar Harian pada 30 November 2020

Talian Prihatin Masyarakat
Via Twitter

Ternyata petugas Talian Kasih ni pun sebenarnya ‘berjuang’ dengan cara mereka sendiri, tambah lagi apabila mereka turut dihujani dengan mesej WhatsApp yang pelbagai ragam dan isu yang diangkat oleh para pengguna talian ni. Boleh jadi talian ni adalah talian hayat sesetengah orang melewati musim COVID-19 ni. Walaupun kita boleh puji hasrat menteri dari portfolio lain memberi informasi, namun sebaiknya semaklah dulu sebelum kongsi. Menteri ni dah terlepas banyak dari peraturan yang mereka ciptakan sendiri, jadi tiba jugak masanya kita menuntut mereka patuh kembali dengan kata serta nasihat mereka.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top