Anonymous Malaysia dikatakan ingin ‘hack’ semua website kerajaan, ini cerita disebaliknya

F1

Serangan siber pada hari ni mungkin takdelah ‘menakjubkan’ sebagaimana yang terpapar dalam filem-filem. Walaupun begitu, serangan siber masih lagi menjadi ancaman kepada kita. Lebih teruk, ada antara kita ni masih lagi tak begitu peduli nak jaga keselamatan data sehingga menyebabkan berlakunya jenayah siber lain seperti jenayah kecurian identiti.

728 X 90

Baru-baru ni, kisah mengenai Anonymous Malaysia mendapat perhatian ramai sekali lagi. Setelah 6 tahun tak dengar khabar, kembalinya nama perkumpulan rahsia ni membawa amaran kepada kerajaan Malaysia. Ditambah lagi dengan kejadian serangan siber dari tentera Indonesia akibat sebuah klip Youtube, ni membuatkan ramai tertanya mengenai pendirian kerajaan pasal Anonymous Malaysia ni.

Darkarmy Johor Laman
Anonymous Malaysia berjaya hack laman kerajaan negeri Johor tahun ni… Via Facebook

Anonymous Malaysia perkumpulan penggodam rahsia, pernah terbabit kerana wang dan politik?

Bila kita bercakap tentang Anonymous, kita sentiasa membayangkan topeng Guy Fawkes berserba hitam. Kita tak tau siapa dan takde idea siapa di sebalik Anonymous. Kat Hollywood, antara filem yang menampilkan topeng ni sebagai elemen penentangan adalah V for Vendetta (2005). Pahlawan bertopeng ni dikatakan nak bom bangunan Parlimen di Britain, tanda penentangan dan perlawanan terhadap autoriti kerajaan.

Anonymous dalam dunia sebenar takdelah nak bom bangunan kerajaan. Sebaliknya, mereka lebih banyak beraksi di dunia siber. Idea Anonymous ni lebih kurang seperti namanya; takde orang tau siapa sebenarnya Anonymous. Ia boleh difahami kini sebagai sebuah kolektif tak berpusat yang boleh terbina, dan terpecah ikut suka hati kolektif tersebut. Maksudnya mereka boleh bergabung tanpa perlu keahlian, dan takde halangan pun nak berhenti jadi ‘Anonymous’.

Oleh sebab tu, kemunculan Anonymous Malaysia ni lebih kurang jugaklah sebagaimana yang terwujud di tempat lain. Kolektif hacktivist (gabungan istilah antara penggodam dan aktivis) ni biasanya akan buat serangan siber sebagai cara nak menekan autoriti untuk memberi perhatian kepada desakan-desakan mereka. Biasanya desakan mereka bertunjangkan isu kemanusiaan dan kepentingan rakyat. Tak hairanlah masih ramai yang sokong kat Anonymous.

Anonymous Malaysia ni pernah menggemparkan negara apabila mereka keluarkan ancaman nak lancarkan serangan siber pada tahun 2015. Sasaran mereka adalah ke atas laman web kerajaan berdomain gov.my dan edu.my, serta laman web rasmi Perdana Menteri ketika tu iaitu Najib Razak. Empat tahun sebelum tu pun, Anonymous Malaysia lancarkan serangan yang dinamakan Operation Malaysia. Kira-kira 200 laman web kerajaan dicacatkan (defacement) sebagai bantahan tindakan kerajaan nak tapis laman web seperti Piratebay.

Anonymous Malaysia turut lancarkan serangan ke atas laman web negara lain. Misalnya dalam isu krisis perebutan Filipina ke atas Sabah pada 2013, Anonymous Filipina turut membalas semula serangan pertama dari Anonymous Malaysia. Pada 2015 pulak, Anonymous Malaysia dilihat agak ‘sibuk’. Beberapa ancaman yang dilancarkan termasuklah ancaman ke atas Ketua Polis masa tu, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan mengenai isu Najib Razak serta pembunuhan Altantuya.

Filipina China Anonymous Sabah
Kaki claim Sabah guna alasan sejarah…. Via Says.com

Fazli Azran, wakil Open Web Application Security Project (OWASP) Malaysia menyatakan pada 2015 tu mendakwa ancaman Anonymous Malaysia ketika tu bermotifkan wang dan politik. Akibatnya, berlakunya perpecahan antara kumpulan dalam Anonymous Malaysia. Kumpulan lama tu tak nak teruskan serangan, namun kumpulan baharu tu nak teruskan serangan lalu bergerak atas nama baharu mereka: Anonymous Malaysia Team.

Anonymous Malaysia Team ni jugak dikatakan meminta bantuan daripada para penggodam dari China dan Indonesia untuk melumpuhkan sistem rangkaian Internet negara. Mereka dikatakan menarik perhatian China dengan isu konspirasi kehilangan MH370, manakala untuk penggodam dari Indonesia… rasanya dah tak perlu pujuk sangat bila pintu kubu dah terbuka, betul tak?

Kini kembali untuk memberi amaran, dikatakan sudah ada laman web kerajaan dirosakkan

Lepas menghilang, kini Anonymous Malaysia kembali memberi amaran kepada kerajaan. Seperti yang dah kami sebutkan awal tadi, kemunculan semula perkumpulan ni ada kena-mengena jugak dengan serangan siber tentera Indonesia akibat sebuah klip video yang dimuat naik dulu. Mudah je mereka nak serang terus Malaysia walhal siasatan tengah dijalankan. Rupanya pelakunya pun rakyat Indonesia jugak daa…

Video Parodi Indonesia
Via Detik

Menerusi sebuah klip video yang dimuat naik ke laman Facebook mereka, mereka mendesak kerajaan Malaysia agar memperbaiki keselamatan siber negara di samping mengkritik kelemahan kerajaan yang dilihat sambalewa dalam meningkatkan kekuatan sistem siber. Lepas serangan siber dari Indonesia yang dilancarkan pada Disember lalu, tentulah perkara ni pantas menerima perhatian kerajaan.

Reaksi orang ramai di media sosial rata-ratanya ada yang menyokong tindakan, ada jugak yang mintak terus godam akaun wakil rakyat. Ada jugak yang nak mintak godam i-Sinar. Yang pasti, reaksi kerajaan lebih penting untuk diperhatikan. Lepas ugutan tersebut tular, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan, bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.

Pihak polis turut membuka kertas siasatan ke atas Anonymous Malaysia. Amaran kedua Anonymous Malaysia telah polis ambil maklum, iaitu amaran berkaitan kebocoran data. Mereka mendakwa kegiatan penipuan ni terus berleluasa disebabkan pembekal perkhidmatan swasta dan data kerajaan seperti maklumat peribadi digodam dan dibocorkan, yang kemudian dijual kepada pihak ketiga.

Nak kata takde langsung mereka yang terlibat dalam operasi bawah Anonymous ni berjaya dikenalpasti tak betul jugak. Ada je yang kena cekup… Pada 2014, 2 orang siswa dicekup kerana terlibat dalam aktiviti penggodaman laman kerajaan. Ada jugak menyatakan ketua Anonymous Malaysia pun dah kena cekup oleh Unit Tindakan Khas, namun kami tak perolehi sebarang laporan media untuk sahkan dakwaan tersebut.

Pada 1 Februari lalu, Anonymous Malaysia dikatakan berjaya mencacatkan (defacement) beberapa laman web kerajaan seperti laman rasmi kerajaan negeri Sabah, kerajaan negeri Johor, Universiti Kebangsaan Malaysia, Politeknik Melaka dan beberapa lagi. Melayari rantaian komen yang ada, ada jugak yang rasa kesal sebab ni akan melambatkan urusan segelintir rakyat.

Kami harap meskipun hasrat dan tuntutan Anonymous Malaysia memang penting untuk negara, kerajaan jugak perlu menerima teguran keras ni untuk mempertingkatkan sistem keselamatan siber kita. Ni turut bermaksud kerajaan kena membelanjakan lebih banyak untuk sistem keselamatan siber yang lebih ketat dan selamat. Serangan ke atas laman web kerajaan tu mungkin nampak mudah je dan tak ganggu urusan kerajaan, tetapi boleh jadi serangan yang lebih besar dilakukan akan terjadi hingga boleh melumpuhkan sistem negara oleh musuh negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *