Malaysia dan Indonesia ni serumpun dan bersaudara… banyak elemen budaya yang kita kongsi bersama. Namun dalam kebersamaan ni, kadangkala ada jugak masanya yang kita boleh ‘bertembung’ antara satu sama lain, macam abang dan adik. Ditambah lagi dengan hubungan diplomatik kita yang pernah dikusutkan sedikit akibat dasar dan polisi lalu, ‘pertembungan’ tersebut berlaku kembali walaupun takdelah sampai nak perang.
Kali ni, ‘pertembungan’ kita pulak ada kena mengena dengan parodi. Parodi ni sebenarnya nak buat orang terhibur, namun jika digunakan untuk tujuan salah, ia boleh buat orang naik darah. Baru-baru ni, tular sebuah klip video parodi hina lagu negara Indonesia dan jatanya. Belum apa-apa, dah ramai menunding jari kat Malaysia. Siap balas buat parodi lagu kebangsaan kita pulak…
Lagu Indonesia Raya diperlekeh oleh akaun guna nama Malaysia, penggodam Indonesia cuba tunjuk lagak godam laman sesawang ATM
Di sebelah dunia komuniti maya Indonesia, ramai dah bersedia nak tunding jari dengan Malaysia akibat tularnya parodi lagu kebangsaan mereka Indonesia Raya tu diperlekeh. Lirik lagu tersebut disunting, manakala visual tersebut menampakkan lambang Pancasila serta Garuda dikaitkan dengan seekor ayam. Kemudian, ada jugak diletakkan lukisan kartun dua orang budak kecil sedang buang air kat lambang tu.
Video tersebut bertajuk ‘Indonesia Raya Instrumental (Parody+Lyrics Video) tu dimuat naik oleh sebuah saluran akaun bernama MY Asean. Profil palsu ni guna nama Malaysia, popular dengan singkatan MY serta turut gunakan bendera Malaysia sebagai gambar profilnya. Ia mendapat perhatian meluas dalam kalangan warganet Indonesia, sekaligus merancakkan kembali sentimen anti-Malaysia yang kerapkali boleh terlihat dalam ruang maya.
Parodi ni suatu yang tak boleh diterima sebab isu identiti kebangsaan sesebuah negara amat penting dan sangat rapat dengan diri seseorang rakyat negara tu. Maka secara langsung, parodi ni memang diketahui bakal mengundang kontroversi dan reaksi negatif daripada kedua-dua rakyat negara tu. Media Indonesia pulak ada di antaranya tak meredakan ketegangan ni, bahkan ada mendakwa ni adalah kerja rakyat Malaysia yang tak puas hati kerana lagu kebangsaan Negaraku jugak pernah diparodikan 2 bulan lalu.
Hal ni mendapat perhatian pihak berkuasa seperti Kedutaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, dan tengah lakukan siasatan pasal kes ni. Sementara dua-dua pihak kerajaan cuba tenangkan rakyatnya, ada jugak kumpulan penggodam cuba nak tunjuk lagak dengan menggodam laman sesawang ATM. Kejadian serangan siber tu disahkan oleh Panglima Tentera Malaysia sendiri, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang.
“Sebaik serangan bermula, BSEP dan CDOC telah melaksanakan pengasingan trafik data bagi tujuan mengaburkan lokasi sebenar data-data berdarjah seterusnya melindungi rangkaian yang menjadi sasaran penggodam. Serangan siber tersebut gagal menjejaskan operasi portal sebenar sebaliknya hanya berjaya menggodam segmen tertentu yang telah diletakkan di luar rangkaian sejak awal lagi,”- Seperti yang dilaporkan Astro Awani
Suspek dah ditahan oleh pihak polis di Jawa Barat, provokasi sebegini kena dihentikan untuk kesejahteraan negara
Ketika ramai warganet Indonesia dah marah-marah dengan Malaysia, hasil siasatan PDRM dan pihak polis Indonesia mendapati bahawa suspek utama di belakang akaun MY Asean tu pun warganegara Indonesia jugak. Suspek tersebut ditahan di Cianjur, Jawa Barat dan rupanya masih lagi berstatus pelajar. Informasi mengenai suspek ni diperoleh daripada sorang temannya berumur 11 tahun yang tinggal di Lahad Datu, Malaysia dan jugak sorang warganegara Indonesia.
Suspek tersebut jugak dalam lingkungan 16 tahun, serta dikatakan sempat bergaduh dengan temannya NJ (budak yang berusia 11 tahun tu) sebab video tersebut jugak. Setakat ni kami difahamkan bahawa motif utama di sebalik muat naik tu adalah untuk balas dendam. MDF atau nama mayanya, Faiz Rahman Simalungun ni dah celik Internet sejak umurnya 8 tahun. Jadi dia ingat dia dah powerlah nak tutup jejaknya.
Salah satu cara dia nak tutup jejaknya adalah dengan buat akaun palsu. Tapi dia tak tau agaknya bahawa buat akaun palsu pun tak menjamin dia ni kebal dan tak dapat dijejaki. MDF bakal berhadapan dengan dakwaan berat iaitu menyebarkan informasi untuk menimbulkan kebencian dan mengubah lirik kebangsaan mereka dengan maksud menghina atau merendahkan kehormatan lagu kebangsaan.
Oleh sebab dia masih lagi di bawah umur, maka nanti akan ditetapkan hukumannya sesuai dengan 16 tahun. Bila dah genap 18 tahun, barulah ia akan disesuaikan dengan orang dewasa. Beberapa barang peribadinya khususnya alat eletroniknya dirampas sebagai bukti siasatan nanti.
Bila kita tengok kes macam ni berlaku, provokasi ni kadangkala boleh dilakukan oleh mereka yang di bawah umur dan masih belum memiliki kesedaran yang matang tentang hubungan antara dua negara ni. Kalau korang perasan, tak ramai antara rakyat kedua-dua negara ni yang berfikiran rasional akan nakkan pergaduhan. Maka untuk membina minda yang rasional dan positif untuk pelihara kesejahteraan kedua-dua negara, masyarakat kedua-dua negara kena perbanyak lagi usaha berbaik-baik.
Lebih malang lagi, ada yang masih tersekat fikirannya pada membenci negara jiran sehingga rajin menghasut permusuhan di ruang maya. Kelompok penghasut macam ni yang kita kena banteras, apatah lagi sekiranya ramai kaitkan Malaysia ni dengan konspirasi neokolonialisme pulak. Nampak lucu, tapi kami dah jumpa komen ni di ruang maya. Ni salah satu contoh bahawa kita perlu mempergiat usaha membina hubungan positif dan ia kena dimulakan segera agar tak jadi asbab tercetusnya perselisihan lagi.