Perhimpunan Tabligh di Indonesia yang libatkan 83 rakyat Malaysia, ini perkembangan terbaru

F1

Selaku penyampai maklumat, tugas utama kami di ORANGKATA adalah memberikan maklumat kepada korang. Pada kebanyakan artikel atau video yang kami terbitkan, kami selitkan pandangan kami terhadap isu tu. Macam biasalah, korang boleh je tak setuju. Cuma, dalam isu COVID-19 ni – kami berhati-hati tulis dan pastikan informasi tu tepat.

Di antara kesukaran kami untuk menyampaikan maklumat adalah – kena hadap kumpulan yang merasakan diri diorang ni ‘beragama tinggi’ atau ‘wakil tuhan’ – sebab diorang tak faham konteks memelihara nyawa dan keselamatan awam tu dituntut dalam agama. Akhirnya keluar ayat-ayat seperti ‘jangan takut virus, tapi takut Allah’.

Semalam, kita digemparkan lagi dengan sebuah perhimpunan besar jemaah Tabligh yang berlaku di Indonesia. Perjumpaan macam ni tak sepatutnya berlaku, melihat kes Masjid Sri Petaling – perjumpaan macam ni mampu menyebarkan virus dengan begitu cepat…

Penganjur tolak permintaan rasmi dari pihak berkuasa, kerana percaya ‘jiwa’ lebih penting…

Ribuan jemaah tabligh dari seluruh Asia berkumpul di Indonesia bermula semalam, walaupun timbul kebimbangan perhimpunan tu akan sebab penularan COVID-19. Dua minggu lepas, acara yang lebih kurang sama diadakan di Malaysia, acara tu menyebabkan lebih 500 pesertanya positif COVID-19.

Penganjur dan pegawai serantau kata, acara di Indonesia tu tetap dimulakan, walaupun ketua polis daerah cuba sedaya upaya memujuk penganjur membatalkannya.

“Kami lebih takut dengan Tuhan. Kerana kita semua manusia, kita takut kepada penyakit, kematian. Tetapi, ada sesuatu yang lebih penting daripada badan, iaitu jiwa kita,” – Mustari Bahranuddin, salah seorang penganjur, seperti yang dilaporkan FMT

Benda yang kami biasa dengar. Via Giphy

Penganjur menolak permintaan rasmi pihak berkuasa untuk menangguhkan perhimpunan itu. Penganjur anggarkan 8,695 peserta dah berkumpul kat Gowa, berhampiran kota Makassar dan susah nak hentikan acara tu.

Untuk perbandingan, kira-kira 16,000 jemaah dilaporkan menyertai ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Feb hingga 1 Mac lalu. Kedua-dua perhimpunan di Indonesia dan Malaysia dianjurkan gerakan dakwah Islam Jemaah Tabligh.

Bagi yang tak tahu, kira-kira dua pertiga daripada 790 kes COVID-19 di Malaysia ada kaitan dengan perhimpunan di Masjid Sri Petaling. Brunei pulak sahkan 50 pesakit COVID-19 diorang terkait dengan perhimpunan Masjid Sri Petaling. Warga Kemboja, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam turut dijangkiti COVID-19.

Setakat semalam, Indonesia catatkan 227 kes positif COVID-19 dengan 19 kematian. Negara dengan 260 juta populasi tu hanya melakukan 1,255 ujian saringan Covid-19 setakat Selasa lepas. Berbanding Korea Selatan dengan populasi hanya satu perlima daripada penduduk di Indonesia, negara tu jalani lebih 15,000 ujian sehari.

Jemaah tabligh di Malaysia dah diberi amaran, dan mereka kata tak akan hantar sesiapa ke sana…

Majoriti jemaah tabligh di Malaysia dah dimaklumkan supaya tak menyertai acara Ijtima of Asia 2020, di Indonesia yang dilaporkan dihadiri ribuan jemaah tabligh. Sebabnya ada laporan yang turut kata – rakyat Malaysia terlibat dengan perhimpunan ni.

Jamaah Ijtima Tabligh Zona Asia1
Ijtimak Tabligh di Indonesia. Via Makassar News

Jurucakap Syura Markaz Dakwah dan Tabligh Sri Petaling, Mohd Khairi Mohd Akbar, ketika dihubungi oleh Berita Harian berkata; pihaknya mengesahkan tak pernah menghantar mana-mana jemaah untuk ke sana. Katanya, ia susulan arahan kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bagi mencegah penularan wabak COVID-19 yang bermula semalam sehingga 31 Mac ini.

“Ijtima di Indonesia dibuat oleh pihak satu lagi. Orang (majoriti jemaah) dari pihak kami tidak akan pergi ke ijtima yang dibuat oleh pihak sana. Di pihak kami, seorang pun tidak akan pergi. Kami kawal semua pergerakan jemaah dari pihak kami ke luar negara. Sekarang tiada jemaah langsung yang dihantar ke mana-mana tempat,” – Mohd Khairi, seperti yang dilaporkan Berita Harian

https://www.youtube.com/watch?v=xwsCPnqtpjI

Dia kata, jumlah jemaah yang bernaung di bawah kumpulan mereka adalah yang terbesar iaitu seramai kira-kira 50,000 hingga 60,000 orang. Sejumlah 83 rakyat Malaysia dilaporkan dah berada di Sulawesi untuk menyertai acara itu, yang turut dihadiri jemaah tabligh dari 48 negara lain.

Setelah banyak tekanan, akhirnya perhimpunan ini telah ditangguhkan

Perhimpunan jemaah tabligh di Sulawesi, Indonesia ditangguh disebabkan kebimbangan penularan jangkitan COVID-19. Pihak berkuasa dan penganjur dah capai kata putus untuk menangguhkan acara tu.

Pemerintah Gowa, Adnan Purichta Ichsan Yasin Limpo jelaskan Perhimpunan Tabligh Sulawesi ditunda dan ribuan peserta dikuarantin sebelum dibenarkan pulang ke kediaman atau negara masing-masing.

“Kami juga bersetuju untuk mengasingkan mereka sementara di lokasi dan mengatur jadual kembali masing-masing,” – Kata Adnan dalam akaun Instagramnya

Adnan kata pihaknya juga dah hantar pasukan kesihatan ke lokasi kejadian untuk memeriksa dan menyembur pembasmi kuman untuk mencegah penyebaran COVID-19. Kerajaan Malaysia perlu pastikan mereka yang telah hadir ke sana tidak dibenarkan masuk negara kita sebelum melakukan pemeriksaan kesihatan yang ketat.

Kita tak nak ada kluster baru penularan COVID-19 di Malaysia. Sekarang dengan tiga kluster pun kes dah nak mencecah 1,000 kes.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *