Tanah rizab Melayu dikatakan semakin terancam? Kami ulas isu penting ini

f1

Seringkali kita dengar momokan dari ahli politik pasal hak tanah orang Melayu ni: “hak tanah Melayu dirampas Cina!”. Banyak kali dah kami dengar, sehinggakan kami ulas topik ni dengan laporan dakwaan sorang bekas wartawan kat Pahang tahun lalu. Katanya, tanah-tanah hutan yang ada sebenarnya ‘diuruskan’ oleh segelintir tangan tak bertanggungjawab di negeri tersebut. Maksudnya, perpindahan milik hak tanah tu dengan mudahnya boleh bertukar ganti kalau ada orang dalam salah guna kuasa.

728 X 90

Kali ni, kami nak kupas semula topik hak tanah rizab orang Melayu dengan meneliti kajian pulak. Persoalan yang dibangkitkan akhirnya mendapat perhatian para pengkaji kita sendiri untuk tengok sejauh manalah tanah rizab Melayu ni betul-betul diancam kepupusan. Memang betul, dari dulu jumlahnya semakin susut… cuma bukan seperti apa yang korang sangkakan.

tanah rizab melayu
Betul ke orang Melayu hilang tanah?.. -Via Perak Today

Rupanya bukan senang nak dapat isytiharkan tanah sebagai rizab Melayu, ada syarat tertentu

Sebenarnya isu ni dah lama dikemukakan dan dibincangkan secara terbuka. Memetik kajian Mohamed Khairi Termizi dan Mazlan Ismail (2018), isu ni banyak disuarakan oleh pemimpin tempatan dan sarjana sendiri. Ye lah, secara sejarahnya tanah rizab Melayu ni memang khas untuk orang Melayu je. Untuk pengetahuan korang, konsep tanah rizab Melayu ni diperkenalkan oleh British melalui Enakmen Rizab Melayu 1913 (ERM 1913) yang mulai berkuatkuasa pada 1914.

Enakmen ni khusus untuk Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan W.P Kuala Lumpur. Perak merupakan negeri pertama yang kuatkuasakan ERM, lepas tu ia dikuatkuasakan lebih meluas oleh negeri-negeri seperti Kelantan, Kedah, Johor dan Terengganu.

tanah rizab melayu statistik
Cukup ke sekadar melaporkan statistik yang mengundang reaksi?… Via PPIM

Tujuan utama ERM ni diperkenalkan adalah untuk pastikan orang Melayu ada tanah sendiri, dan elakkan berlakunya pertukaran hak milik tanah kepada orang bukan Melayu yang kaya terutamanya di kawasan bandar. Sekarang ni, kita dah boleh panggil ‘kapitalis’ dah sebab kadangkala orang Melayu bandar sendiri yang tipu orang kampung sebangsa dengannya.

Ada beberapa syarat utama yang wajib dipatuhi sebelum kita boleh isytiharkan sesebuah bidang tanah tu sebagai rizab Melayu. Kami ringkaskan syarat-syarat tersebut;

  • Tanah tersebut mestilah yang belum dimajukan atau dicucuk tanam.
  • Kalau ada kawasan baru dah diisytiharkan sebagai rizab Melayu, maka 1 kawasan baru yang belum dimajukan dan sama luasnya kena disediakan untuk diberi milik kepada orang ramai termasuklah orang Melayu.
  • Kalau ada kawasan rizab Melayu tu dibatalkan, ia kena digantikan jugak sama luas dengan saiz kawasan rizab yang dibatalkan tu.
  • Kalau tanah tersebut dimiliki atau diduduki oleh orang bukan Melayu, ia tak boleh diisytiharkan sebagai rizab Melayu
  • Kat Kedah, tanah bandar tak boleh diisytiharkan sebagai rizab Melayu
  • Kat Terengganu, hanya tanah bandar atau tanah pekan je yang boleh diisytiharkan sebagai rizab Melayu
  • Mana-mana kawasan yang dianggap rizab Melayu mesti kekal sehinggalah ia diisytiharkan batal oleh pihak bertanggungjawab.
tanah rizab pokok
Via The Vocket

Tanah rizab Melayu yang wujud di Semenanjung Malaysia boleh dikategorikan kepada tiga; Rizab Melayu (Enakmen Rizab Melayu), Tanah Melayu (diberi milik iaitu apabila dah dibuka selama 40 tahun ataupun jadi penempatan orang Melayu) dan Tanah Pertanian Melayu. Ketiga-tiganya ada ciri sekatan yang sama, yang mana ia tak boleh ditukar milik mahupun dijual kepada orang bukan Melayu.

Tanah rizab Melayu sebenarnya meningkat, tapi masih tak capai 50 peratus yang diidamkan oleh Raja-raja Melayu

Statistik kajian menunjukkan keluasan tanah rizab Melayu sebenarnya meningkat daripada tahun 1955, dengan laporan rekod 1,757,883 hektar. Pada 1983, ia meningkat kepada 3,221,079 hektar. Peningkatan sebanyak 83.24% tercatat berbanding keluasan asal tanah rizab Melayu sebelum merdeka. Pada tahun 1998, keluasan tanah rizab Melayu meningkat lagi kepada 4,401,978 hektar. Ia menyusut sikit sebanyak 5.24% pada 2002. 3 tahun seterusnya, ia naik semula dengan peningkatan sebanyak 7.75%.

Pada tahun 2009, ia susut kembali sebanyak 8.64% namun naik lagi sebanyak 5.47% pada 2013. Naik susut peratusan yang kami sebut ni diakibatkan oleh pelbagai faktor. Isu pelupusan tanah rizab banyak sekali dilakukan untuk kegiatan pertanian komersial, monopoli pembangunan tanah oleh puak kapitalis dan sikap orang Melayu sendiri berkenaan warisan tanah.

umno rompak tanah rezab melayu
Via Jomkitabaca.wordpress

Tindakan pengambilan tanah secara paksa pun berlaku jugak, dan biasanya dilakukan oleh kerajaan negeri. Kalau dalam undang-undang, kerajaan negeri boleh guna Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk kuasa ambil balik tanah dengan syarat bayar pampasan kepada pihak terlibat. Hasil analisis yang dijalankan pengkaji membawa kita kepada kesimpulan bahawa keluasan tanah rizab secara umumnya meningkat jika dibandingkan dengan keluasan asal. Kerajaan negeri pun berusaha nak tambah keluasan tanah rizab masing-masing demi mencapai hasrat raja-raja Melayu yang nak tanah rizab Melayu tu mencapai kadar 50%.

Namun begitu, hasrat raja-raja Melayu masih tak kesampaian sekiranya kita nak guna cara pemilikan dan pengisytiharan tanah rizab yang sama. Menariknya, penganalisis kata lagi:

“…andai kata seluruh semenanjung Malaysia ini dijadikan TRM (tanah rizab Melayu) sekalipun, harapan raja-raja Melayu tersebut tidak akan kesampaian. Ini kerana keluasan seluruh semenanjung Malaysia hanya 39.16 peratus sahaja daripada keluasan seluruh negara. Sebaliknya sekiranya peratusan tersebut dibuat perbandingan dengan keluasan negeri-negeri di semenanjung Malaysia yang mempunyai TRM sahaja (tidak termasuk Melaka dan Pulau Pinang), maka harapan tersebut masih tidak mustahil untuk dicapai…”- Seperti yang dipetik dari kajian

rizab melayu 12 peratus
Via buletinonlines

Kerajaan negeri boleh cuba tambah keluasan tanah rizab, salah satunya dengan membenarkan pemilik tanah tukar status sendiri

Beberapa cadangan yang disebutkan sememangnya relevan dan perlu dilakukan khususnya untuk beberapa negeri yang masih berpeluang untuk tambahkan keluasan tanah rizab negara iaitu Perlis, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.

Negeri-negeri ni boleh mengorak langkah dengan mewartakan sendiri tanah negeri sebagai tanah rizab Melayu. Langkah ni gigih dilakukan oleh beberapa negeri yang ada peratusan keluasan tanah rizab yang rendah seperti Terengganu, Pahang dan Selangor. Kat Johor pulak, mereka benarkan pemilik tanah terbuka untuk tukar sendiri status tanah mereka kepada tanah rizab Melayu. Kalau ada jugak peruntukkan kuasa yang sama diaplikasikan di negeri-negeri lain, kemungkinan proses menambahkan keluasan tanah rizab Melayu akan jadi lebih mudah dan cepat.

tanah rezab melayu
Via Cari Infonet

Kekeliruan status keluasan tanah rizab pulak boleh dielakkan dengan penubuhan agensi khusus di peringkat kebangsaan untuk jaga dan kawal kepentingan tanah rizab Melayu. Penubuhan agensi ni pun penting jugak kerana mereka boleh buat kajian khusus untuk ukur keluasan tanah rizab Melayu, selari dengan kehendak raja-raja Melayu.

Pemantauan pun wajib dilakukan bagi proses penggantian semula tanah rizab Melayu yang diambil oleh mana-mana kerajaan negeri. Dengan koordinasi dan kerjasama yang baik, kekeliruan berkenaan status tanah bolehlah diselesaikan dan takdelah lagi dakwaan serta persoalan sama terus dibangkitkan tanpa ada kesudahan.

Oleh demikian, takde keperluan sebenarnya untuk kita terus berspekulasi dan menjual dakwaan mengenai betapa hak Melayu tu terhakis hanya disebabkan kecelaruan serta kelemahan kerajaan negeri yang kurang baik. Yang harus kita gesa dan tekan bukanlah sesama rakyat, sebaliknya terhadap sistem yang sepatutnya lebih terkehadapan dalam menguruskan pemilikan tanah rizab Melayu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *