Anak Zahid didenda RM800 je, ada cadangan untuk laksanakan dengan mengikut gaji

F1

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan, kami dah beberapa kali tulis artikel berkenaan orang yang dihukum akibat ingkar. Hukuman yang dikenakan tu pulak – ada yang kena denda dan ada juga yang kena masuk penjara. Sejak akhir-akhir ni, perbahasan orang ramai tentang hukuman pesalah PKP ni jadi macam dua darjat.

Antara Dua Darjat
Teringat kami filem Antar Dua Darjat P. Ramlee. Via Wikipedia

Kita digambarkan macam ada dua undang-undang, satu untuk rakyat biasa, keduanya untuk kelompok orang penting atau berjawatan besar (VIP). Semua ni bermula apabila ada beberapa tokoh politik suka hati je langgar PKP, siap ambik selfie lagi. Mujurlah rakyat mula bising, dan diorang dikenakan hukuman.

Semalam kita ada VIP yang kena hukuman, anak Zahid, Presiden UMNO. Kami pun tak faham apa masalah anak dia ni, tapi nampaknya dengan jadi anak kepada orang penting, secara automatiknya anda pun akan rasa diri anda penting. Macam yang pernah kami tulis hari tu, dia memang langgar PKP, jadi ini hukuman yang dikenakan terhadapnya…

Anak Zahid didenda RM800, ada orang yang kata ia umpama diskaun anak VIP

Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan suaminya, Saiful Nizam Mohd Yusoff masing-masing didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya semalam selepas mengaku bersalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Majistret Shah Wira Abdul Halim jatuhkan hukuman tu selepas diorang mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Kalau ikut kertas pertuduhan, Nurul Hidayah dan Saiful Nizam bergerak dari Kajang menuju ke Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya yang merupakan kawasan berjangkit ke satu kawasan berjangkit di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020, pada 9 pagi, 20 April lepas.

Diorang ni didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11, peraturan yang sama. Jika sabit kesalahan, diorang boleh didenda tak melebihi RM1,000 atau penjara tak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya.

Antara Dua Darjat
Via MalaysiaKini

Timbalan Pendakwaraya, Nurashikin Mokhtar mohon supaya pasangan ni dikenakan denda maksimum RM1,000 kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius. Tapi, Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili kedua-kedua tertuduh beri alasan anak guamnya dapat surat jemputan dari Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad.

Akhirnya, macam kami kata kat atas – mereka berdua dikenakan denda RM800 setiap orang. Benda ni sedikit sebanyak timbulkan persoalan dalam kalangan netizen. Sebabnya, pada kebiasaannya, mana-mana mangkuk orang yang didapati ingkar PKP akan dikenakan dengan RM1,000, bahkan penjara. Sebab tu sekarang ni tengah tular diskaun 20% jika anda anak VIP.

The Centre bincangkan idea hukuman mengikut jumlah pendapatan, siap buat kalkulator kiraan denda

Sambil kami membelek-belek artikel berkaitan hukuman yang dikenakan oleh mereka yang ingkar dengan PKP ni, kami terjumpa satu artikel yang bertajuk Are Flat Fines and Jail Time Fair MCO Punishment? Terbitan The Centre. Secara mudahnya, artikel ni membincangkan idea hukuman berdasarkan jumlah pendapatan. Semakin tinggi pendapatan seseorang tu, semakin banyak denda yang perlu dibayar (dengan mengambil kira ia kesalahan yang sama).

Screenshot2020 05 02at43015pm
Contoh yang diorang berikan. Via The Centre

Kaedah hukuman seperti ini bukanlah benda baru. Diorang bagi contoh – kaedah yang dah digunakan pada hari ini – adalah sistem ‘day fine’. Untuk faham benda ni pun simple jugak, denda akan dikira berdasarkan pendapatan harian (gaji hari) didarab dengan berapa hari. Kaedah gaji hari tu pulak berbeza-beza; ada negara yang guna 50% dari gaji hari dan ada yang gunakan gaji penuh secara terus.

Untuk jadikan benda ni lebih praktikal dan mudah faham, kita ambil contoh – pesalah yang telah melanggar PKP. Setakat hari ni – pesalah akan didenda menggunakan akta yang sama – tanpa mengira kadar pendapatan yang diorang ada. Azmin yang bergaji RM10,000 mungkin akan dapat denda yang sama dengan Abu yang bergaji – katakan RM2,000. Padahal nilai wang untuk kedua-dua individu ni berbeza. RM50 bagi Abu mungkin makan 2-3 hari, tapi bagi Azmin ia cuma duit kopi.

Kalau kaya macam Mr. Krabs, senang-senang je bayar denda RM1,000 tu. Via Giphy

Korang boleh gunakan kalkulator denda yang dihasilkan oleh pasukan The Centre ni untuk kira denda korang mengikut kesalahan dan gaji. Kami rasa benda ni lagi logik digunakan untuk kesalahan seperti melanggar PKP ni; berbanding dengan semua orang mengikut kadar yang sama. Cuma kena ingatlah, tak semua jenayah boleh gunakan logik ni – tapi untuk PKP, kami rasa dia masuk akal. Sebab ramai je ahli undang-undang sarankan hukuman yang lebih ringan seperti melakukan kerja sosial.

Hahh…, cuba kira berapa dengan yang korang patut bayar, mengikut pendapatan bulanan korang.

Undang-undang terpakai untuk semua orang, tanpa mengira darjat dan siapa bapak dia…

Salah satu prinsip paling asas dalam undang-undang adalah – semua orang sama di mata undang-undang. Kami sebenarnya gembira apabila dah ada beberapa VIP yang mendapat hukuman yang setimpal setelah diorang melanggar undang-undang. Kami harap semangat ni akan diteruskan – siapa je, tak kiralah apa jawatan dia; tahu buat, tahulah dia tanggung akibatnya.

Sementara tu, menarik jugak kalau kita perhalusi hukuman untuk jenayah yang ada hukuman yang boleh “diringankan” seperti hukuman melanggar PKP ni. Seperti idea yang dibincangkan oleh The Centre, mungkin sudah masanya kita kenakan hukuman pesalah-pesalah ni, mengikut kadar pendapatan diorang. Korang rasa macam mana?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *