Krisis etnik Rohingya, masalah yang kompleks dan memerlukan “lorong tengah”

F1
Krisis etnik Rohingya, masalah yang kompleks dan memerlukan “lorong tengah”

Sejak beberapa hari ini, perbincangan tentang etnik Rohingya di Malaysia jadi semakin hangat. Kami melihat ramai yang beri respons kepada keberadaan warga Rohingya di Malaysia, dan nampaknya wujud sikap ‘ekstrem’ daripada kelompok yang menentang atau menyokong kehadiran mereka di Malaysia. Membaca beberapa komentar individu yang sudah pekat tahap bencinya terhadap sesuatu kaum sungguh menakutkan.

Perbincangan jadi hangat apabila TUDM berjaya halang kapal pelarian Rohingya daripada memasuki Malaysia

Perbincangan ni mula hangat apabila pesawat C-130H Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang berjaya patahkan cubaan seramai 200 pendatang tanpa izin daripada memasuki perairan negara.

Pesawat yang diterbangkan Mej Faizul Hussein tu tengah laksanakan tinjauan maritim udara di perairan Langkawi dan berjaya kesan kehadiran sebuah bot pendatang tanpa izin dari memasuki perairan negara. TUDM dalam kenyataan kata bot tu sarat dengan kira-kira 200 warga Rohingya yang dikesan di kedudukan 70 batu nautika (129.6km) dari barat Pulau Langkawi.

“TUDM seterusnya menghubungi kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu Kapal Diraja (KD) Lekiu dan KD Lekir yang digerakkan ke lokasi pengesanan. KD Lekiu dan KD Lekir kemudian berjaya memintas bot berkenaan dengan bantuan helikopter Super Lynx TLDM dan mengekang pergerakan masuk bot berkenaan,” – Seperti yang dilaporkan AWANI

Rumah Ppr
Via GMT

Menurut kenyataan tu, dengan keadaan penempatan serta kehidupan daif di tempat asal diorang, dibimbangi kumpulan warga asing yang cuba masuk Malaysia akan membawa kluster baru penularan Covid-19 ke negara ini. Atas dasar kemanusiaan, anak kapal KD Lekiu agihkan bekalan makanan kepada kumpulan warga asing tu sebelum iringi bot tu keluar dari memasuki perairan negara.

Disebabkan pergaduhan di atas kapal, sekurang-kurangnya 60 orang maut di atas bot

Benda ni dihangatkan lagi apabila ada 60 etnik Rohingya maut dalam sebuah bot yang sarat dengan ratusan orang terkandas di Teluk Benggala lebih 2 bulan, kata 2 pelarian yang terselamat kepada AFP. Diorang kata, kapten kapal tu yang bawa lebih 500 lelaki, wanita dan kanak-kanak, antara yang terbunuh dalam satu pergaduhan dengan pelarian di atas bot tu.

Rumah Ppr
Via RFA

Hampir sejuta etnik Rohingya tinggal di kem sangat kotor kat sempadan Bangladesh dan Myanmar, selepas melarikan diri dari tindakan ketenteraan pada tahun 2017. Sebab itulah ribuan orang cuba larikan diri ke negara lain dengan bot usang yang sarat dengan penumpang.

Salah seorang pelarian yang terselamat, Anwarul Islam kata, selepas Malaysia dan Thailand halang bot tu memasuki perairan diorang, bot tu kembali ke Bangladesh dan diselematkan pengawal pantai.

“Terdapat lebih 500 orang dalam bot yang sarat itu. Sekurang-kurangnya 60 daripada kami maut atas bot. Kami mengadakan solat jenazah atas bot dan membuang jenazah mereka ke laut. Kami tiada makanan, air bersih atau ubat,” – Anwarul Islam, seperti yang dilaporkan FMT

Pengawal pantai Bangladesh berkata, pelarian yang terselamat memaklumkan 32 orang maut atas bot itu yang cuba memasuki Malaysia dan Thailand, serta mayat mereka dibuang ke laut.

Pengawal pantai, Shah Zia Rahman memberitahu AFP hampir 250 wanita dan kanak-kanak antara 400 atau lebih pelarian yang diselamatkan daripada bot itu pada lewat malam Rabu lalu di daerah Cox’s Bazar, tenggara Bangladesh.

Berniaga manusia dari Rohingya ni dah jadi macam jual barang, setinggi RM15k seorang

Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dikenali ‘Ejen Dallal’ dipercayai mengenakan bayaran tidak kurang RM15,000 kepada setiap seorang etnik Rohingya untuk urusan membawa masuk mereka ke negara ini.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Zulinda Ramly kata, maklumat tu diperoleh hasil siasatan lanjut ke atas PATI Rohingya yang ditahan pada 5 April lepas di Langkawi. Hasil dari maklumat tu, pihaknya berjaya tahan dua suspek yang disyaki jadi dalang aktiviti penyeludupan PATI yang beroperasi di sekitar utara dan selatan semenanjung.

Kedua-dua suspek tu berusia 36 tahun dan 31 tahun ditangkap ketika ‘Ops Dallal’ yang libatkan urus niaga jenayah penyeludupan PATI. Dalam bahasa Bangladesh, ‘Dallal’ ni bermaksud panggilan yang digunakan untuk ejen-ejen darat.

Dia kata, modus operandi diorang adalah menaiki sebuah bot besar dari Myanmar dan apabila sampai ke sempadan perairan Malaysia, diorang akan berpecah menggunakan bot-bot kecil untuk masuk ke negara ini.

Rumah Ppr
Via NyTimes

Maritim Malaysia akan terus memburu anggota sindiket yang terlibat khasnya tekong-tekong darat yang disyaki bersekongkol dengan tekong laut untuk menyeludup PATI ke negara ini, sama ada dalam kalangan warga asing, pemegang kad UNCHR dan juga rakyat tempatan.

Suspek yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Presiden MERHROM pulak dapat ancaman bunuh akibat berita palsu yang tersebar

Disebabkan isu ni semakin meruncing, Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom) Zafar Ahmad Abdul Ghani dapat ugutan bunuh selepas hantaran palsu di media sosial yang dikaitkan dengan dirinya. Zafar kata dia terpaksa menyahaktifkan akaun Facebooknya kerana dihujani ancaman dan cercaan.

Hantaran palsu tu menuduh Zafar kata orang Melayu sebagai “bodoh” dan menuntut hak sama rata serta kewarganegaraan Malaysia kepada pelarian Rohingya. Dia juga dituduh pertikaikan pihak berkuasa Malaysia kerana enggan benarkan bot yang bawa pelarian Rohingya masuk ke perairan negara.

“Kerana tuduhan palsu ini, saya menerima kritikan dan bahkan ancaman bunuh melalui panggilan telefon, Watsapp dan Facebook. Usaha Merhrom untuk membantu pelarian semasa PKP (perintah kawalan pergerakan) telah dihentikan kerana masalah keselamatan ini,” – Zafar Ahmad Abdul Ghani, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini

Dia ucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan NGO kerana mengetengahkan isu kezaliman Myanmar terhadap orang Rohingya. Zafar juga meminta maaf sekiranya ada kata-kata daripada segelintir pelarian tu telah melukai perasaan penduduk tempatan.

Keperluan mengimbangi keselamatan negara dan semangat kemanusiaan

Sebenarnya bukan kumpulan yang menentang kehadiran etnik Rohingya je yang ekstrem dalam memberi komentar di media sosial. Ada juga kumpulan yang menyokong kehadiran masyarakat Rohingya di Malaysia mengambil jalan ekstrem dengan menuduh sesiapa sahaja yang mengkritik kehadiran masyarakat Rohingya di Malaysia sebagai tidak berhati perut.

Via Giphy

Kumpulan yang mengkritik secara berasas; biasanya diorang akan bangkitkan mekanisme penerimaan pelarian ini di tengah-tengah pandemik Covid-19. Contohnya, adakah kerajaan akan menyediakan kawasan khas untuk mengkuarantin mereka setibanya di Malaysia? Jika ada di antara mereka yang positif Covid-19, apa tindakan rawatan yang seterusnya? Mereka juga bimbang akan sindiket yang macam kami dah cerita tadi.

Kalau kritikan macam ni berasas; sebab diorang nak mintak kerajaan berfikir dan perkenalkan polisi yang tuntas berkenaan penerimaan warga Rohingya di Malaysia. Apa yang bermasalah adalah kumpulan yang menentang tanpa hujah, siap nak bunuh orang dari Rohingya kerana merasakan kumpulan ini adalah “pendatang” dan tak layak diberi bantuan.

Rumah Ppr
Beberapa tokoh utama politik bersolidariti untuk Rohingya satu ketika dulu. Via Straits Times

Masalah ni kompleks kerana membabitkan isu kemanusiaan, pemerdagangan manusia dan isu imgiran yang sering mencetuskan reaksi panik kepada masyarakat tempatan. Apa yang penting ASEAN harus berfungsi dengan lebih baik dalam memberi tekanan kepada Myanmar supaya menyelesaikan krisis etnik Rohingya dengan cara yang betul.

Isu dah jadi isu serantau, apabila ramai pelarian terpaksa bertarung nyawa untuk merentas lautan kerana keadaan yang menekan. Jika terus dibiarkan, keadaan ini akan menjadi parah. Lebih-lebih dengan kehadiran kumpulan yang mempunyai pemikiran ekstrem dan anti-imigran; mereka boleh bertindak ganas kalau tidak diterangkan dengan betul dan merasakan status quo mereka terancam.

Kini masa yang terbaik untuk mencari jalan tengah – dengan menyediakan perancangan rapi untuk menerima pelarian yang diancam nyawanya (kemanusiaan), tapi dalam masa yang sama memastikan kehadiran mereka tidak memberi masalah kepada negara. Ia tidak mudah, tapi perlu dilakukan dengan segera.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top