Minggu lepas, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf menteri. Bagi yang tak tahu, Abdul Hadi ada latar belakang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Politik dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.
Sejurus daripada pelantikan Hadi sebagai Duta Khas, ada surat dalam bahasa Arab yang berlegar di media sosial. Setakat artikel ni ditulis, takde lagi pengakuan atau penafian yang dikeluarkan oleh Hadi berkenaan surat tu. Cuma, selalu dalam politik – ‘diam’ boleh dibaca sebagai setuju, sebabnya kalau surat tu palsu, orang politik suka guna ancaman nak saman itu dan ini.
Surat itu menyebut Anwar adalah ahli Freemason, dan kerajaan baru ni bukanlah sebuah pengkhianatan
Dalam surat tu, Abdul Hadi bangkitkan beberapa dakwaan terhadap Pakatan Harapan (PH), Presiden PKR Anwar Ibrahim dan pertahankan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN). Dia ceritakan selepas pilihan raya umum, parti Islam tu adakan pertemuan bersama Mahathir untuk bincangkan kedudukan orang Islam dalam negara ini.
https://www.youtube.com/watch?v=JRncw_k7FLw
Katanya PAS ambil langkah politik bekerjasama (taawun) secara jalan damai. Diorang memilih hubungan dengan Mahathir memandangkan sikap nasionalis dan semangatnya mempertahankan Islam.
“PAS menolak kerjasama dengan kumpulan Anwar Ibrahim kerana tidak yakin dengan karakter peribadi dan akhlaknya serta pendirian politik pragmatiknya yang berbahaya. Bersama Anwar Ibrahim adalah Amanah yang bersifat Islam liberal, dengan bersandarkan pada sokongan dan pendirian kedutaan-kedutaan Barat yang menyokongnya dari segi strategi, media dan kewangan,” – Terjemahan dari surat yang tular, dipetik dari MalaysiaKini
Surat bertarikh 22 Mac dengan tajuk “Gerakan Islah Secara Aman, Bukan Rampasan Kuasa dan Revolusi” tu dipercayai dihantar ke pemimpin-pemimpin gerakan Islam sedunia. Surat tu kata kemenangan PH dalam PRU14 sebagai keputusan yang memihak kepada majoriti bukan Islam dengan mendakwa Mahathir telah dipergunakan untuk jatuhkan bekas perdana menteri Najib Razak.
“Mereka (PH) menjadikan beliau sebagai anak tangga untuk menaiki tampuk pemerintahan secara helah tanpa mengambil kira komposisi majoriti kaum Muslimin dalam negara yang telah meningkat melebihi 69 peratus berbanding kaum minoriti yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, yang mana ia menggalakkan lagi pertelingkahan dalaman,” – Terjemahan dari surat yang tular, dipetik dari MalaysiaKini
PKR digambarkan sebagai “parti sekular pragmatik yang dianggotai oleh ahli pelbagai kaum dan juga mempunyai pegangan ideologi yang berbeza seperti golongan Melayu Muslim sekular.” DAP pulak disebut sebagai parti majoriti Cina dan Amanah disifatkan sebagai berorientasikan “Islam liberal-sekular” yang menurut Abdul Hadi dibentuk Anwar serta pimpinan DAP bagi menyaingi populariti PAS.
Surat tu katanya turut menyentuh isu Langkah Sheraton pada Februari lalu, gerakan yang membawa kepada penubuhan PN dan menjadikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
“Selepas YDP Agong bertemu dengan semua pemimpin setiap parti untuk mendapatkan sokongan terbanyak, telah jelas kepada YDP Agong setelah melakukan dan melaksanakan setiap proses melalui demokrasi dan mengikut perlembagaan. Maka telah gagal gerakan balas tersebut meskipun dengan campur tangan daripada duta-duta Barat dan para penasihat Freemason dan Zionis,” – Terjemahan dari surat yang tular, dipetik dari MalaysiaKini
Anwar tanya Hadi, macam mana Anwar Ibrahim boleh “sihat” macam tu pada tahun 2006?
Presiden PKR, Anwar Ibrahim kata selepas semak tuduhan Abdul Hadi Awang terhadapnya yang mengaitkannya dengan pergerakan Freemason, dia dapati rupa-rupanya maklumat yang diperoleh presiden PAS tu tak sahih.
Dalam siaran langsung Facebooknya malam tadi, Anwar menunjukkan laman “Civil Service Lodge No.143” dengan pekerja yang namanya sama – “w.bro Anwar Ibrahim.” Gambar tu menunjukkan seorang lelaki warga asing berbadan gempal, berpakain sut hitam bersama tiga orang rakannya, pada tahun 2006.
“Beliau (Hadi) menyebut saya ini, anggota bahkan orang besar, malah orang kanan Freemason. Jadi saya pun aneh juga. Ini kalau orang biasa cakap kempen-kempen dan tidak akhlak dan tidak ada asas agama, itu lain. Oleh itu, saya dengan demikian minta staff cari (maklumat), rupa-rupanya ada nama Anwar dan mereka tahu kerana ia keluarkan dulu (dalam) lodge officers 2010-2011 – civil service num 143, brother Anwar Ibrahim. Ini peluang mereka untuk menyerang saya,” – Anwar, melalui hantaran media sosialnya
Anwar secara menyindir nasihatkan supaya Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu menyemak fakta sebelum menyebarkan fitnah. Di kata – kalau nak berpolitik pun, nak sokong Umno, janganlah sampai macam tu. Takkanlah dirinya pada tahun 2006 boleh sihat segar bugar. Dia turut menasihatkan kalau nak buat tuduhan, semak fakta.
“Kalau dalam tazkirah pandai sekali, kita ambil hadis, kena tahu siapa perawinya, sahih atau tidak. Tapi bila nak fitnah orang, tak payah fakta, tak payah perawi,” – Anwar, melalui hantaran media sosialnya
Untuk membersihkan namanya, Anwar kata dia akan menghantar satu surat balas kepada pemimpin dunia Islam sebagai menjawab dakwaan Hadi. Dia ingin menjawab dan beritahu kepada pemimpin-pemimpin dunia islam yang terima surat dari Hadi.
Tabayyun hanya untuk kawan, kalau lawan kita “Bantai-yyun”
Tabayyun adalah perkataan yang berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud menthabitkan dan menyemak asas kebenarannya. Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan terlebih dahulu kebenarannya dan ketepatan informasi bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tak baik berlaku seperti fitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebenciaan.
Perkataan “tabayyun” sering digunakan oleh PAS, lebih-lebih lagi jika diorang dikatakan dituduh atau difitnah. Kami sokong je usaha untuk tabayyun apabila dapat berita atau dakwaan berkenaan seseorang, cuma tak boleh selektif. Kalau geng kita kena tuduh, kita tabayyun, tapi apabila lawan kita kena tuduh, kita bantai. Benda ni jadi tak adil.
Kalau betul surat tu ditulis oleh Hadi, sebagai Presiden PAS – dialah orang pertama yang perlu tunjukkan contoh kepada pengikutnya tentang konsep tabayyun.