5 negara yang ada pilihan raya tahun ni, harap diorang takde kluster MENTERI

F1
5 negara yang ada pilihan raya tahun ni, harap diorang takde kluster MENTERI

Lepas pertukaran kerajaan pada Mac lalu, ramai jugak yang gesa pilihan raya umum (PRU) dijalankan supaya dapat selesaikan kemelut politik kita ni. Ye lah, sekarang ni dengan khabar “siapa ada majoriti” masih lagi terngiang-ngiang. Namun PRU sukar dijalankan disebabkan ancaman penularan COVID-19. Tengoklah lepas PRN, kluster YB pulak. Dahlah tak kuarantin lepas pulang berkempen.

Menteri Degil
Via ISMAweb

Tapi kat negara lain, tahun ni sememangnya adalah tahun penentu perwakilan mereka jugak. Banyak sebenarnya negara yang sepatutnya ada pilihan raya, cuma dah tangguh disebabkan pandemik. Ada jugak yang tak rasa pandemik ni suatu masalah, dan pilihan raya kena diteruskan. Jom kita tengok negara apa je dah teruskan lagi…

1. Mesir memilih pada akhir Oktober ni, pemilihan untuk Senat turut dikembalikan semula lepas dimansuhkan pada 2014

Mesir antara negara yang meneruskan jugak pilihan raya mereka ketika pandemik melanda seluruh dunia. Untuk pilihan raya kali ni, ia agak istimewa dalam sistem pentadbiran Mesir sebab ia merupakan kali pertama pemilihan untuk Senat diadakan semula lepas dimansuhkan dalam perlembagaan mereka pada 2014.

Pilihanraya Mesir
Via Al-Monitor

Pemilihan untuk Senat di Mesir merangkumi 3 cara: 1/3 daripadanya dipilih daripada sistem tertutup, 1/3 lagi dipilih daripada parti politik dan 1/3 lagi dipilih oleh Presiden sendiri. Memandangkan jumlah keahlian Senat ialah 300 orang, jadi kita boleh fahami kiraan ni sebagai 100 calon untuk setiap bahagian yang memilih mereka nanti. Pada 11-12 Ogos lalu, rakyat Mesir dah pilih 100 calon untuk kuota 1/3 daripada parti politik.

Disebabkan pandemik, tak ramai yang berani ataupun berminat nak keluar mengundi. Beberapa sebab lain yang mempengaruhi peratusan keluar mengundi adalah ketidakpercayaan pada sistem politik mereka dan suhu yang tinggi akibat musim panas. Calon-calon yang nak bertanding sentiasa dinasihatkan untuk jalani ujian kesihatan dulu sebelum bertanding, manakala proses sanitasi ruang mengundi sentiasa dijalankan masa tu.

Pengundian Mesir
Via ABC News

Nanti hujung Oktober ni, iaitu pada 21 Oktober dan 30 November untuk fasa 1 iaitu untuk bahagian terpilih seperti Giza, Fayoum, Beni Suef, Minya, Assiut, New Valley, Sohag, Qena, Luxor, Aswan, the Red Sea, Alexandria, Beheira, dan Marsa Matruh. Fasa 2 pulak akan berlangsung pada 4 November dan 14 Disember meliputi kawasan Cairo, Qalioubiya, Daqahliyya, Menoufiya, Gharbiya, Kafr El-Sheikh, Sharqiya, Damietta, Pelabuhan Said, Ismailiya, Suez, Utara Sinai dan Selatan Sinai.

2. Dahulunya antara negara paling teruk dilanda COVID-19, dah keluar mengundi pilihan raya dan referendum kecilkan saiz Parlimen

Jika korang masih ingat, Itali antara negara yang dilaporkan mempunyai kes jangkitan yang paling tinggi hingga ada kata Itali ni diumpamakan ‘ground zero’ kepada penularan COVID-19 ke seluruh Eropah. Nampaknya kes kat sana dah semakin kurang, hingga yakinkan rakyat dan pemimpinnya untuk teruskan jugak pilihan raya di sana.

Itali Vote
Via France 24

Ketika COVID-19 masih lagi digelar ‘koronavirus Wuhan’, Itali dah jalankan pilihan raya kecil di Emilia-Romagna dan Calabria pada 26 Januari. Seterusnya, pilihan raya disambung semula pada 20-21 September di bahagian lain iaitu Aosta Valley, Campania, Liguria, Marche, Apulia, Tuscany, dan Veneto. Sebanyak 18.5 juta pengundi yang berdaftar pada masa tu. Menariknya, tarikh yang sama mereka turut undi referendum jugak.

Referendum ni penting sebab ia bertujuan mengutip pandangan rakyat, yang mana sesebuah kerajaan demokratik harus menunaikan hasrat dan keputusan rakyat. Perkara ni boleh dilihat dalam situasi Brexit, dan kali ni, di Itali pulak. Referendum ni disokong kuat oleh rakyat, iaitu lebih 70% memilih untuk kurangkan saiz Parlimen, daripada 945 hingga 600. Jumlah ni termasuklah bilangan wakil rakyat dan senator.

Italy Politics Parliament Vote Senate
Via Politico

3. Myanmar dijangka adakan pilihan raya pada November ni, ujian besar untuk kerajaan demokratik di bawah Aung San Suu Kyi

Nama Aung San Suu Kyi ni sangat popular dulu, hinggakan dia dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan. Sekembalinya dia di Myanmar, bertanding dan menang undian secara majoriti pada 2015, ramai harapkan dia mampu selesaikan isu Rohingya. Namun akhirnya dia pulak macam tak buat apa-apa, malah menyelar para pengkritik dan menafikan isu Rohingya sekaligus.

Dalam pilihan raya kali ni, Aung San Suu Kyi sekali lagi berkempen di bawah parti demokratiknya National League for Democracy (NLD). Para penganalisis politik melihat ni satu peluang untuk uji sejauh mana penerimaan rakyat Myanmar terhadap NLD di bawah pimpinan Aung San Suu Kyi, sebab banyak janji kemajuan tak terlaksana.

Aung San Suu Kyi
Via The Independent

Memandangkan pilihan raya dah nak dekat, perancangan teliti mengenai keselamatan rakyat turut dijalankan. Misalnya, mereka kata akan buat ‘raptai’ terlebih dahulu untuk menguji keberkesanan rangka pelan keselamatan dan penjagaan rakyat daripada rantaian jangkitan yang mungkin wujud lepas pilihan raya.

4. Amerika Syarikat ‘juara’ kes COVID-19, tapi pilihan raya masih berlangsung dengan begitu sengit antara Trump dan Biden

Macam tak sah pulak kalau tak sebut Amerika Syarikat, yang kini heboh apabila Donald Trump Jr., presiden Amerika sekarang ni positif COVID-19. Bila kita tengok perkembangan berita dunia, Amerika seringkali menjadi isu utama yang dilaporkan media. Kami pun banyak tulis pasal Amerika Syarikat, dan peristiwa besar yang berlaku kat sana seperti Black Lives Matter dulu.

Baru-baru ni, sebuah perdebatan umum disiarkan secara langsung antara Trump dan Joe Biden yang menyaksikan masing-masing berhujah antara satu sama lain. Salah satu perkara yang menarik perhatian rakyat di sana adalah keengganan Trump untuk menolak ‘white supremacism’. Ia merupakan sentimen orang kulit putih yang dikatakan rasa diri mereka lebih baik atau lebih agung dari mereka yang bukan berkulit putih.

Rakyat Amerika Syarikat dijangka akan menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi pada 3 November nanti, namun ada penganalisis kata impak berita Presiden Trump positif COPVID-19 ni boleh dilihat turut membantu meningkatkan reputasi calon parti Republik tersebut dalam bentuk rasa simpati. Walau bagaimanapun, masih belum dapat dijangkakan lagi siapa yang menang jika hanya berdasarkan populariti semata-mata khususnya dalam ‘swing states’.

5. Republik Palau turut adakan pilihan raya, rakyat hanya perlu pilih calon je sebab takde parti politik di sana

Mungkin tak ramai pernah dengar pun nama negara Palau, jadi kami rasa ada baiknya untuk diselit dalam senarai ni. Palau ni unik kerana 2 sebab, calon politik mereka takde parti politik dan mereka masih lagi berusaha amalkan kehidupan tradisi masyarakat tempatan di sana dengan penubuhan Council of Chiefs.

Republik Palau
Republik Palau dari pandangan atas.. Via Palau Embassy

Palau ni diiktiraf kedaulatannya pada 1994 menerusi kerjasamanya dengan Amerika Syarikat dulu. Pilihan raya mereka jugak akan diadakan setiap 4 tahun, jadi tahun ni sepatutnya mereka dah buat pilihan raya pada Mei lalu tetapi terpaksa ditunda kerana pandemik. Tarikh baharu yang telah dipilih mereka adalah 3 November ni.

Mengikut kajian sejarah pilihan raya kat sana oleh Donald R. Shuster (2009), mereka sebenarnya ada parti politik dulu iaitu 2008 tapi tak begitu jadi faktor penting di sana. Yang penting di sana adalah hubungan kekeluargaan dan suku kaum.

Hampir semua calon yang bertanding ni memiliki pengaruh dari segi kekeluargaan dan harta, terutamanya yang pernah jadi presiden atau eksekutif syarikat. Oleh disebabkan mereka tetap nak pelihara warisan budaya mereka, maka elemen kekeluargaan dan suku kaum tu tak mungkin terhapus.

Lepas ni, Malaysia jugak akan menyaksikan satu lagi pilihan raya iaitu PRK Batu Sapi lepas ahli Parlimennya, Liew Vui Keong meninggal dunia. Menjadi satu tanda tanya tentang apa yang akan berlaku lepas ni terutamanya lepas PRN Sabah, sebab Batu Sapi ni di Sandakan, Sabah. Pelaksanaan satu lagi PRK dalam negeri yang kini dikawal rapi kerana penularan COVID-19 ni perlu dipertimbangkan sebaiknya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top