Percaya atau tidak? Ada rakyat Malaysia masih mengalami masalah kekurangan zat iodin

F1
Percaya atau tidak? Ada rakyat Malaysia masih mengalami masalah kekurangan zat iodin

Malaysia nan indah, pelbagai kaum dan sajian makanannya menggamit selera seluruh dunia. Namun tak ramai tau kisah di sebalik tabir kepelbagaian makanan ni, rupanya masih ada lagi yang kekurangan zat iodin. Mungkin nampak macam masalah biasa, tapi sepatutnya dalam sebuah negara yang dikurniakan kemakmuran… isu macam ni dah ditangani awal.

Kali ni, kami nak sentuh sikit pasal isu kekurangan iodin yang melanda anak-anak kecil dan ibu-ibu mengandung ni. Jika tak dicegah dengan cepat, ia mungkin akan meningkatkan risiko kerosakan otak dan membawa kepada masalah kesihatan lain pulak.

Garam
Via Medical News Today

Kekurangan iodin perkara biasa, tapi masih ramai keluarga tak cukup ambil iodin dengan kadar yang sesuai

Kita kena kenal dulu apa benda iodin ni. Secara saintifiknya, iodin ni adalah mikronutrien yang digunakan oleh badan untuk hasilkan hormon tiroid (tiroksin, triiodothyronine) yang perlu bagi pertumbuhan normal, pembangunan dan metabolisme sepanjang hayat. Kekurangan iodin dalam diet dipanggil Penyakit Kekurangan Iodin (IDD).

Badan kita secara semulajadinya tak boleh menghasilkan iodin, jadi kita kena perolehi zat tersebut daripada makanan semula jadi yang berkhasiat seperti keju, susu lembu, telur, ikan air masin dan lain-lain. Maksudnya, pilihan diet harian kita jugak penting dalam menentukan bagaimana kesihatan diri dan keluarga.

Food Sources Of Iodine
Antara sumber makanan yang ada iodin.. Via Doug Cook RD

Kalau badan kita kurang iodin, badan kita tak boleh hasilkan hormon tiroid yang mencukupi. Beberapa penyakit yang biasa terjadi kat negara kita adalah pembesaran tiroid (beguk) dan hipotiroidisme. Anak dalam kandungan ibu yang tak cukup iodin jugak boleh menyebabkan masalah kecacatan mental bila anak-anak tersebut lahir nanti.

Oleh sebab nilah, pengambilan iodin ni bukanlah bersifat zat tambahan semata-mata. Malangnya di Malaysia ni, masih ramai pelajar sekolah yang kekurangan zat tersebut. Hasil dapatan Tinjauan Gangguan Akibat Kekurangan Iodin (IDD) Kebangsaan menunjukkan 48.2 peratus kanak-kanak sekolah rendah berumur 8-10 tahun mengalami masalah kekurangan iodin.

Olympus Digital Camera
Kanak-kanak pun boleh kena beguk ye.. Via NCBI

Lagi 2.1 peratus kanak-kanak mengalami masalah goitre. Bagi tinjauan melibatkan wanita hamil dan murid sekolah, pengambilan iodin juga tidak mencapai paras optimum. Isu ni pun tak berkesudahan sejak 1995, yang mana turut meninjau kadar kekurangan iodin antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Ketika tu, Sabah mencatat peratusan populasi yang alami kekurangan iodin iaitu pada 17.9%, diikuti Semenanjung Malaysia (2.2%) dan Sarawak (0.4%).

Inisiatif kombinasi garam dan iodin lebih sihat, akta sudah diwartakan tapi pelaksanaannya dikatakan terlalu mengejut

Salah satu persoalan menarik adalah kenapa mesti garam? Kenapa tak benda lain je… atau letak kat bahan makanan lain? Mengikut KKM, terdapat beberapa sebab kenapa garam jugak yang dipilih untuk diletakkan iodin.

Pertama sekali, garam ni mudah didapati kat kedai runcit dan harganya pulak mampu milik. Jadi rakyat daripada pelbagai latar sosioekonomi boleh beli dan guna. Tambah lagi, garam ni kan suatu bahan masakan yang penting dan selalu digunakan. Tak cukup rasa sesebuah masakan tu tanpa ada secubit garam.

Garam Iodine Malaysia
Contoh garam beriodin yang selalu dijual kat kedai tu… Via Kitareporters.com

Kos pengiodinan garam jugak lebih murah berbanding kos fortifikasi makanan yang lain. Selain tu, sebarang penambahan iodin tidak memberi apa-apa perubahan kepada rupa, rasa dan bau apabila digunakan dalam masakan. Korang hampir tak perasan pun apa-apa perubahan dari segi rasa, dan harganya jugak dijangkakan lebih mahal sepertimana sebelum harga garam sebelum fortifikasi iodin.

Idea ni sebenarnya bukanlah Malaysia je pakai. Ni adalah piawaian antarabangsa, iaitu Universal Salt Iodization. Kat Malaysia, kita panggil piawaian ni sebagai ‘Pengiodinan Garam Secara Universal’, yang mana menggariskan iodin perlu ditambah ke dalam garam yang beratnya kurang dari 20kg. Penggunaan garam beriodin jugak tak melebihi 5 gram (1sudu teh) sehari selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Iodin Cecair
Boleh jugak didapati bentuk cecair, tapi tak semua mampu beli… Via medicineh.com

Baru-baru ni, Dr. Noor Hisham Abdullah selaku Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia mengingatkan sekali lagi tentang pindaan pindaan Peraturan 285 berkaitan Garam Halus Beriodin atau Garam Beriodin di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang dah diwartakan pada 2018 yang mewajibkan garam yang dijual kena ada iodin di dalamnya bermula 30 September 2020.

Makluman ni buatkan ramai peniaga terkejut, dan memberi amaran mungkin akan wujud kekurangan bekalan garam sebab para pengilang tak mempunyai masa yang cukup untuk patuh pada keperluan tersebut.

Garam Kenyataan Akhbar Kkm
Via Kitareporters.com

Walaupun akta tu sudah diwartakan dua tahun lalu, Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia (FSGMAM) iaitu Hong Chee Meng kata tiada sebarang komunikasi atau rundingan dibuat dengan rantaian bekalan sehinggalah makluman tersebut disebarkan semula pada 25 September menerusi akaun Twitter Ketua Pengarah Kesihatan.

“Jika kerajaan berkeras larangan penjualan garam yang tidak mengandungi iodin berdasarkan tarikh akhir itu, kami meramalkan pasaran akan mengalami kekurangan garam di seluruh negara dalam beberapa hari akan datang kerana pemborong dan peruncit perlu menghentikan penjualan garam yang tiada iodin bagi mengelak dikenakan tindakan dan menunggu produk yang memenuhi syarat itu masuk ke pasaran, yang akan mengambil masa.”- seperti yang dilaporkan Free Malaysia Today pada 30 September

Sehingga penulisan artikel ni, takde lagi berita kedai habis stok garam mahupun sebarang tindakan telah dikuatkuasakan. Mungkin luahan para peniaga ni masih dipertimbangkan oleh KKM, jadi sebarang kawalan ke atas penjualan garam tak beriodin masih tak begitu ketat. Yang penting, kita dah sedia mengetahui bahawa garam beriodin adalah pilihan terbaik untuk membendung masalah kekurangan iodin dalam kalangan rakyat.

Dalam tahun 2020 ni pun, masih lagi ada masalah kekurangan zat yang akhirnya memberi kesan pada kebantutan tumbesaran anak-anak. Korang boleh layan perkongsian kami ni kat Youtube pasal masalah tumbesaran di Malaysia.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top