Ada kajian yang tunjukkan orang suka guna istilah jargon bertaraf lebih rendah

Fok

Pernah tak korang baca tulisan atau dengar ceramah yang disampaikan seseorang, korang tak faham sangat apa yang dia nak sampaikan? Bukan maksudnya korang ni tak pandai… tapi mungkin sekali kerana penyampai tu sendiri tak pandai sampaikan mesej atau isi idea tu kat korang. Macam mana nak sampaikan jika mereka sebut istilah-istilah yang ‘unik’ sangat, kan?

Baru-baru ni, sebuah kajian dah buktikan bahawa orang yang selalu gunakan jargon ni sebenarnya memiliki status yang lebih rendah daripada orang yang tak gunakan jargon sangat. Kami dah ringkaskan artikel tu untuk kefahaman semua , jadi teruskan membaca…

Jargon
Via TopMBA

Istilah teknikal dicipta untuk khalayak yang berbeza, tapi nak jugak guna untuk menunjuk lebih-lebih supaya nampak hebat

Sebelum tu, kita kena bezakan dulu apa tu jargon. Jargon ni adalah istilah khusus yang digunakan dalam bidang tertentu. Takde masalah nak guna pun istilah-istilah teknikal, sebab dalam mana-mana bidang pun, mestilah ada istilah khusus. Tapi yang menjadi masalah ni adalah apabila istilah khusus tu digunakan jugak untuk khalayak yang berbeza.

Misalnya lah, perkataan “Panadol” tu lebih dikenali ramai daripada “paracetamol” atau “acetaminophen”. Tapi kalau dalam komuniti bidang sains khususnya perubatan, farmasi dan kesihatan, mereka berkemungkinan besar tak guna perkataan “Panadol” tu sebab tu asalnya merupakan nama jenama ubat. Banyak je pun jenama ubat lain yang berasaskan acetaminophen, tapi khalayak umum tetap guna perkataan “Panadol” tu bila merujuk pada ubat tahan sakit.

Panadol Tajam
Panadol pun dah ada yang ‘copy-ori’ ye… Via Mothership.sg

Dalam kajian-kajian lalu pun, memang ada yang dah buktikan bahawa penggunaan jargon ni oleh sesetengah orang memang ada kena mengena dengan sikap dirinya yang nak wujudkan imej yang menunjukkan dirinya lebih hebat dari hakikat sebenar. Ye lah, ramai jugak boleh kagum jika korang sebut perkataan-perkataan bombastik walaupun mereka tak faham. Yang penting, mereka rasa kagum kat korang.

Tapi dalam kajian yang kami sebutkan ni, iaitu dalam kajian Brown, Anicich dan Galinksy (2020), mereka cuba buktikan sama ada betul ke orang yang memiliki status yang rendah ni lebih banyak guna jargon berbanding mereka yang berada dalam status yang lebih tinggi. Mereka teliti lebih dari 64,000 disertasi dan tesis Sarjana yang diperoleh daripada pangkalan disertasi dan tesis ProQuest yang ada pada 2016 dan 2017.

Proquest Database
Pangkalan ProQuest.. Via Youtube

Daripada puluhan ribu tesis yang dikaji tu, mereka buktikan bahawa penulis dari institusi yang berada di kedudukan rendah dalam senarai kedudukan universiti di dunia lebih banyak guna jargon atau susunan ayat yang lebih kompleks berbanding penulis yang berasal dari institusi yang berada dalam kedudukan yang lebih tinggi.

Mereka yang berada dalam status rendah pun lebih suka huraian berjela dan banyak istilah kompleks

Dalam kajian tersebut, mereka pun sebenarnya cuba khususkan maksud ‘status’ ni. Perkataan ‘status’ ni mempunyai banyak maksud dalam banyak konteks, jadi orang boleh salah faham. Haa… mereka sebenarnya maksudkan ‘status’ dalam kajian ni adalah para penulis daripada institusi pendidikan yang lebih rendah dalam senarai kedudukan universiti dan kelompok pelajar ijazah sarjana muda dan sarjana.

Kajian ni jugak berjaya membuktikan bahawa para penulis tesis daripada institusi di kedudukan bawah tu lebih suka huraian berjela, mempunyai banyak istilah dan jargon. Bukan tu je, tajuk dokumen yang lebih banyak perkataan bombastik, berat dan mempunyai lebih banyak istilah khusus pun menjadi pilihan hati mereka.

Peratusan Pilih Jargon
Via Brown et. al (2020)

Malah, mereka jugak mempunyai kecenderungan untuk berkomunikasi dengan rakan yang bukan dari latar akademia dengan huraian yang mengandungi banyak istilah khusus dan kerap mengulangi istilah-istilah teknikal termasuklah penggunaan akronim. Hal ni pun termasuklah dalam konteks istilah perundangan yang banyak mengandungi istilah daripada bahasa Latin.

Guna istilah berat-berat ni tak salah, cuma kena digunakan kena pada khalayak dan tempatnya

Apa yang ingin dibuktikan para pengkaji adalah kecenderungan sesetengah orang akademia, ataupun sesiapalah yang berpendidikan tinggi terhadap penggunaan istilah-istilah berat dan jargon yang orang tak faham. Mereka takdelah nak tunjuk bahawa penggunaan istilah berat ni salah, tapi kenalah digunakan kena pada khalayak dan tempatnya.

Jargon Komik
Via Compstak

Kalau korang tengah berkomunikasi sama ada dalam bentuk penulisan atau berbicara dengan khalayak bukan akademia, tak perlu sangat pun digunakan istilah-istilah teknikal yang mungkin rosakkan mesej yang korang nak sampaikan tu. Namun bila korang tengah berkomunikasi dengan orang akademia atau pakar dalam bidang korang seperti dalam seminar, barulah sesuai untuk korang gunakan laras bahasa teknikal agar lebih jelas dan spesifik maksudnya.

Sifat dan hakikat fungsi ilmu ni adalah untuk buat orang lain pandai jugak. Bukan nak buat diri nampak pandai semata-mata, manakala yang dengar pulak terasa serba salah dan meragui kecerdasan mereka sendiri. Macam prinsip ORANGKATA lah, kami sampaikan ilmu dan maklumat untuk semua orang dengan laras bahasa santai dan mudah difahami.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *