Pemimpin politik perlu memanfaatkan kestabilan politik ketika ini sebagai ruang untuk melaksanakan dasar yang baik untuk rakyat dan bukan untuk disalah guna bagi memperkukuh kedudukan peribadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengukuhan nilai mata wang ringgit, pengangguran berkurangan dan inflasi lebih terkawal membolehkan kerajaan semasa menumpukan usaha untuk membangunkan rakyat.
“Masih ada orang politik yang sudah agak terdesak, lemas apabila mereka melihat ekonomi berkembang, ringgit kian kukuh, tahap pengangguran berkurangan, peluang pekerjaan meningkat dan inflasi lebih terkawal. Maka jalan keluar untuk mereka adalah dengan menghasut (orang ramai) supaya timbul kebencian antara kaum serta kegelisahan kerana perbezaan fahaman agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang di Miri.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, menguruskan negara berbilang kaum, agama dan wilayah bukan perkara mudah, malah ia perlu dipastikan untuk terus kekal aman.
“Rakyat harus pilih, mahu jadikan ini satu kesatuan yang boleh membangkitkan ekonomi dan membela nasib rakyat atau menimbulkan politik pecah-belah, adu domba dan huru hara. Saban hari dalam media tempatan, (isu ini) tidak selesai kerana percaturan politik yang berlebihan, yang kita anggap terlanjur daripada tunggak untuk menyatukan rakyat dan membela nasib mereka. Kadangkala rakan ahli politik di Semenanjung perlu belajar daripada rakan ahli politik di Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Wei Kiat kata prestasi ringgit tunjukkan kerajaan berjaya
Ringgit kian mengukuh menunjukkan pelabur luar semakin yakin dengan ekonomi dan kestabilan politik dalam negara.
Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Wei Kiat berkata, ramai tidak menyangka ringgit akan mengukuh dengan cepat susulan berlaku penurunan RM4.8 bersamaan AS$1 awal tahun ini namun kini mencapai RM4.12. Menurutnya, terdapat beberapa indikator menyumbang kepada keyakinan pelabur iaitu kestabilan politik dan risiko bencana rendah.
“Walaupun peringkat bawah belum rasai hasilnya namun pengukuhan ringgit itu menunjukkan ekonomi Malaysia berada di landasan tepat. Saya yakin tahun depan rakyat akan rasa perubahan dan perbezaan usaha dilakukan kerajaan sekarang berbanding kerajaan terdahulu,” katanya mengulas berkenaan perkembangan ringgit mengukuh berbanding dolar AS.
Beliau terdahulu meninjau projek naik taraf Surau Al-Ikhlas Saujana Rawang pada Jumaat.
Beliau berkata, kerajaan meletakkan sasaran ringgit RM4.2 akhir tahun ini tetapi berjaya mencapai target lebih baik ketika ini.
“Ini menunjukkan perkembangan positif kerana apabila ringgit meningkat bermaksud lebih banyak pelabur yakin dengan ekonomi Malaysia. Ahli perniagaan tidak akan mengambil risiko membuat pelaburan di negara bencana atau politik tak stabil,” tambahnya.
Justeru beliau berharap, semua pihak menyokong usaha kerajaan dengan tidak membangkitkan sebarang isu yang boleh mengganggu-gugat keyakinan pelabur.
“Pertukaran pemimpin sesebuah negara akan mengubah dasar politik, hala tuju dan ekonomi negara, jadi pelabur akan pilih negara yang stabil. Beberapa minggu ni ada isu dibangkitkan membabitkan pertukaran kerajaan, saya tak rasa itu adalah budaya sihat. Sepatutnya semua pihak perlu menyokong usaha kerajaan memperkukuh ekonomi agar rakyat dapat merasai manfaatnya,” katanya.
Pensyarah UM ingatkan Perikan Nasional jangan syok sendiri
Kemenangan bergaya Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota adalah bukti jelas bahawa rakyat menolak politik ‘syok sendiri’.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengubah strategi politik untuk diterima rakyat.
“Negeri Pengerusi PN sepatutnya menunjukkan atau menghasilkan satu keputusan yang membanggakan kepada perikatan. Bagaimanapun, kita lihat majoriti lebih 20,000, ia menjadi satu isyarat jelas kepada PN untuk ubah kepada realiti politik semasa. PN perlu perkembangan serta perbaiki strategi politik dan jangan hanya syok sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Interviu bertajuk ‘Biru yang Mana Satu?’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.
Mengulas mengenai kemenangan bergaya BN, Mohammad Tawfik memaklumkan bahawa BN dilihat mengubah strategi politik setelah berdepan dengan kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Saya sering sebut tentang muhasabah. UMNO-BN perlu muhasabah dengan turun ke lapangan dan melihat bahawa mereka supaya mendapatkan satu semangat politik yang baharu. Ini kerana dalam percaturan politik perlu ada kesegaran. Sekurang-kurangnya mereka (ahli politik UMNO-BN) dengar serta faham akan sentimen rakyat di peringkat akar umbi dan perlu dibawa ke peringkat tertinggi,” ujarnya.
Tambahnya, BN juga dilihat memahami kerjasama politik yang perlu dilakukan bersama parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan bagi meraih kemenangan pada siri-siri PRK akan datang.