Sejak Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, kita kerap mendengar konsep ‘madani’ yang cuba dibawa dalam pentadbiran kerajaan kali ini. Masyarakat madani atau dikenali sebagai masyarakat sivil mainkan peranan penting dalam memperkasa demokrasi dan sistem politik sesebuah negara. Masyarakat madani merangkumi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis hak asasi manusia, badan profesional, dan individu yang berusaha untuk bawa perubahan positif dalam sistem politik dan masyarakat.
Masyarakat madani selalu dikaitkan dengan suara rakyat. Kumpulan masyarakat menyuarakan kebimbangan, keperluan, dan harapan rakyat kepada pihak berkuasa. Dalam peranan ini, masyarakat madani membantu menentukan agenda politik dan memastikan kepentingan rakyat diberi perhatian yang tertinggi. Mereka menggalakkan penglibatan aktif rakyat dalam proses politik melalui aktiviti-aktiviti seperti demonstrasi, perhimpunan awam, dan kempen kesedaran.
Masyarakat madani juga berfungsi sebagai pengimbang kuasa dan penjaga demokrasi. Rakyat mengawasi tindakan pemerintah, termasuk kerajaan dan institusi politik, untuk memastikan kebertanggungjawaban dan keadilan. Masyarakat madani menyelidik dan mengkritik tindakan pihak berkuasa, menjalankan tinjauan awam, dan mengemukakan kritikan. Dengan memainkan peranan ini, mereka memastikan perlaksanaan undang-undang yang adil, hak asasi manusia terjaga, dan melindungi kepentingan rakyat.
Kemudian masyarakat madani perlu berusaha untuk membantu proses pembentukan dasar awam. Rakyat beri cadangan dan pandangan dalam pembentukan dasar-dasar negara. Melalui kajian, penyelidikan, dan penulisan, rakyat menyediakan maklumat dan analisis berlandaskan bukti untuk membantu penggubalan dasar yang berkesan dan memenuhi keperluan masyarakat. Masyarakat madani memberikan suara alternatif dan menyumbang kepada pembentukan pandangan yang beragam dalam sistem politik.
Beberapa definisi yang kita kena tahu
Konsep yang cuba dibawa oleh Anwar Ibrahim hendak menunjukkan bahawa masyarakat yang ideal adalah kelompok masyarakat yang mempunyai kebudayaaan maju. Anwar nak gunakan konsep masyarakat yang memiliki sistem sosial yang subur yang berasaskan prinsip moral yang menjamin keseimbangan antara integriti pemerintah dan kestabilan masyrakat. Cara berfikir secara politik adalah cara individu untuk berfikir, merasa, dan bertindak terhadap sistem politik dan bahagian-bahagian yang ada padanya, mengikut peranan mereka yang tersendiri. Di Malaysia, cara berfikir rakyat sering terjejas dengan kempen berteraskan perkauman dan sentimen agama semata-mata.
Menurut seorang sarjana Indonesia, Syamsudin Haris, masyarakat madani adalah sebuah ruang interaksi sosial yang berada di luar pengaaruh negara dan model yang tersusun dan hubungan masyarakat yang akrab, sukarelawan yang aktif, gerakan kemasyarakatan dan beberapa bentuk interaksi di antara masyarakat.
Menurut Nurcholis Madjid, masyarakat madani adalah masyarakat yang merujuk pada masyarakat Islam yang sempat dibangun Nabi Muhammad SAW di Madinah, sebagai masyarakat bandar dan masyarakat yang memiliki beberapa ciri: kesamarataan, menghargai prestasi, keterbukaan, toleransi dan musyawarah.
Konsep Anwar Ibrahim berasaskan enam teras menjadi asas yakni kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan, Anwar cuba memartabatkan semula Malaysia di persada dunia sebagai negara makmur, adil serta menolak sebarang bentuk kezaliman. Projek Madani ni sebenarnya bukan benda baru, ia sudah dibentuk dan dibangunkan sejak Anwar jadi Timbalan Perdana Menteri (1990-1997) melalui agenda Masyarakat Madani.
Perkataan madani selalu digunakan di Indonesia dalam mewacanakan soal pembangunan tamadun khususnya di Kepulauan Melayu. Di negara ini, ia digarap secara komprehensif lagi dengan idea asas ‘Masyarakat Madani di Malaysia’ diangkat dan dimasukkan sebagai wacana dalam ruang awam.
Ada banyak cabaran yang perlu kita atasi
Cabaran pasca pandemik Covid-19 dengan sektor utama negara mengalami kesan negatif membawa kepada ketidaktentuan ekonomi. Kenaikan kadar pengangguran akibat kehilangan pekerjaan, cabaran sistem kesihatan inklusif, pembangunan pendidikan komprehensif dan paling utama, kita berdepan peningkatan kos sara hidup menjadi tumpuan utama kepemimpinan Anwar. Cabaran utama kos sara hidup kekal menjadi topik hangat bagi Anwar untuk diselesaikan. Kefahaman dalam rancangan yang dibina perlu disusuli dengan kefahaman dalam kalangan pembuat dasar dan kumpulan pelaksana.
Kemudian, cabaran mengekalkan keharmonian kaum, keperluan memupuk sikap saling menghormati sesama rakyat, norma sosial dan budaya untuk memastikan keterangkuman semua kaum. Persepsi dan sentimen perkauman menebal dalam masyarakat politik Malaysia, cabaran Anwar adalah untuk memastikan soal ‘kesatuan nasional’ berjaya dicapai. Walaupun hubungan kaum di negara ini sentiasa berada dalam keadaan kurang baik, ia masih kekal dalam ruang ‘ketegangan stabil’ (stable tension) yang mampu dijayakan sekiranya projek Madani berjaya dicanai dengan baik.
Pembinaan institusi kemasyarakatan (keluarga dan negara) diberikan penekanan untuk melahirkan masyarakat menghidupkan semangat kebebasan, menyuburkan kemerdekaan diri, mengembalikan nilai kemanusiaan dan menyegarkan sikap berlapang dada konsisten dengan matlamat projek gagasan dibangunkan Anwar.