Ramai yang mengkritik prestasi negara pada kejohanan Sukan SEA baru-baru ini. Malaysia hanya mendapat tempat ketujuh dalam Sukan SEA yang berakhir minggu lalu dengan meraih 34 emas, 45 perak dan 97 gangsa. Ia merupakan pencapaian terburuk negara dalam acara dwitahunan itu sejak 1959. Negara juga gagal mencapai sasaran 40 emas, 37 perak dan 64 gangsa.
Vietnam sekali lagi menjadi juara keseluruhan dengan 136 emas, 105 perak dan 118 gangsa, manakala tuan rumah Kemboja mencatat prestasi terbaiknya di tangga keempat dengan 81 emas, 74 perak dan 127 gangsa.
Antara sebab yang diberikan oleh Menteri Belia dan Sukan semasa adalah ketidakstabilan politik negara dalam tempoh empat tahun yang menyebabkan 220 atlet negara tak dapat meneruskan latihan berikutan tiada peruntukan khusus diberikan untuk pelaksanaan program latihan senior di bawah Program Podium 2022.
Mengambil contoh butiran Bajet 2022 yang dibentangkan pada Oktober 2021, dia jelaskan tak ada dinyatakan peruntukan yang diberikan bagi Program Podium 2022.
Keadaan ini dikatakan telah menyebabkan Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa susun semula program persediaan atlet ke arah temasya sukan utama bagi 2022 antaranya Sukan SEA Vietnam, Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia (di Hangzhou, China).
Pada masa sama, MSN terpaksa mengagih dan menggunakan peruntukan dalaman bagi memastikan elaun latihan atlet serta gaji jurulatih diteruskan tanpa penangguhan agar tidak menjejaskan prestasi atlet yang sedang dalam latihan.
Hannah mengatakan demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta Hannah menjelaskan kenyataannya pada sidang media minggu lepas mengenai ketidakstabilan politik menjadi antara punca pretasi buruk pasukan negara dalam Sukan SEA 2023 di Kemboja baru-baru ini.
Hannah menjelaskan keadaan dihadapi MSN itu berlarutan bagi tempoh dua bulan iaitu Januari hingga Februari 2022.
“KBS mengambil inisiatif memohon kepada Kabinet untuk mendapatkan peruntukan bagi progam podium dan telah dipersetujui di bawah RMK12 (Rancangan Malaysia Ke-12) sebanyak RM240 juta dari 2022 hingga 2025 iaitu RM60 juta setahun. Setiap kali ada perubahan seperti ini, apabila elaun dan gaji jurulatih tertangguh kerana tiada bajet, ia memberi kesan kepada latihan mereka. Ini kerana ada atlet yang perlu ke luar negara dan saya ada bincang dengan atlet dan persatuan, mereka setuju bahawa dalam tempoh empat tahun kita sibuk berpolitik, negara jiran kita telah jauh ke hadapan,” – Hannah Yeoh, seperti yang dilaporkan BERNAMA
Sebagai langkah ke hadapan, katanya kementerian akan memfokuskan kepada sukan yang berpotensi menawarkan lebih banyak pingat kepada negara.
Justeru, menurut Hannah Persatuan Sukan Kebangsaan diwajibkan untuk mengemukakan pelan jangka masa pendek dan panjang bagi memastikan Malaysia dapat bersaing dengan Singapura, Thailand dan Vietnam di Sukan SEA, seterusnya Sukan Asia dan Sukan Olimpik.
Antara penekanan yang akan diberikan adalah acara sukan yang menawarkan banyak pingat seperti renang dan olahraga, mesti membawa perubahan. Penekanan ini diberikan kerana mereka mempunyai banyak acara untuk dapatkan pingat.
Hannah turut mengatakan atlet negara seperti Shereen Samson Vallabouy dan Umar Osman yang masing-masing menghadiahkan pingat emas acara 400 meter di Sukan SEA Kemboja akan diberikan bantuan kewangan selain atlet lain bagi memastikan mereka bersedia menghadapi Sukan Asia Hangzhou di China, September ini.
Dua bekas menteri KBS ada pandangan yang berbeza dalam hal ini
Lain pula nada bekas menteri belia dan sukan Ahmad Faizal Azumu menggesa penggantinya, Hannah Yeoh agar berhenti menjadikan “ketidakstabilan politik” sebagai punca prestasi buruk Malaysia dalam temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Ahmad Faizal merujuk kenyataan Yeoh bahawa sejumlah 220 atlet negara tak dapat meneruskan latihan berikutan tiada peruntukan khusus untuk program latihan senior di bawah Program Podium 2022 dalam belanjawan tahun sebelumnya ekoran pertukaran kerajaan.
“Saya menyanggah kenyataan tersebut…Belanjawan 2022 dibentangkan sejurus selepas saya dilantik sebagai menteri belia dan sukan. Ketika itu, tiada sebarang dana diperuntukkan untuk program Podium. Malah butiran program itu tidak disebut dalam Belanjawan 2022 (dibentangkan pada Oktober 2021). Namun, ia dikembalikan semula pada awal 2022,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Dia berkata ia selepas Kementerian Belia dan Sukan membentangkan kertas kabinet untuk memohon peruntukan bagi program itu. Susulan itu, katanya lagi, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM240 juta untuk tempoh 2022 hingga 2025.
Bagi Khairy Jamaluddin, dia tetap berbangga dengan semangat juang ditunjukkan atlet dalam Sukan SEA 2023 Kemboja baru-baru ini.
“Komitmen atlet dan kontinjen kita, saya salute kerana saya telah meninggalkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam keadaan yang kukuh bukan hanya keputusan 2017 Sukan SEA yang terbaik dalam sejarah begitu juga 2016 Olimpik Rio dan Paralimpik terbaik dalam sejarah negara termasuk enam atlet menjadi juara dunia. Menteri kata, Sukan SEA kali ini banyak atlet muda, memang betul tetapi itu dasar dari dulu lagi, zaman sebelum saya pun, Sukan SEA kita hantar atlet muda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Podcast Keluar Sekejap yang dihoskan Shahril Hamdan. Khairy beri contoh Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang tak menampilkan Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nichole Ann David kerana direhatkan.