Perasaan setelah selesai menghadapi peperiksaan SPM sukar digambarkan. Kami percaya kebanyakan kita masih ingat akan detik-detik itu, seolah-olah bebas dari bebanan dunia. Biasalah, waktu itu kita masih terlalu muda untuk mengerti yang sebenarnya tanggungjawab yang lebih besar menanti selepas kita hadap SPM.
Selesai je SPM, macam-macam benda kita nak buat. Segala bentuk pantang larang yang sebelum ni kita lakukan supaya dapat keputusan cemerlang dalam SPM, dah boleh dilanggar. Cuma, lain pulak ceritanya di Melaka apabila…
Sekumpulan pelajar yang baru habis SPM berpesta di tengah-tengah jalan raya…
Sekumpulan pelajar sekolah yang tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ‘berpesta’ kat jalan raya dengan aksi yang membahayakan diri sendiri dan orang lain apabila menunggang motosikal secara melulu kat beberapa kawasan di Melaka. Antara kawasan tu termasuklah kat sekitar laluan utama pesisir Pantai Klebang, Pantai Puteri dan Bandar Hilir.
Tindakan tu bukan setakat ganggu ketenteraman awam dengan bunyi bising, malah kumpulan tu turut menunjukkan lagak ‘samseng’ dengan buat pelbagai aksi di atas jalan raya sehingga menyebabkan pengguna lain terpaksa ‘beralah’ dan beri laluan kepada diorang.
Selain merakam aksi-aksi ngeri kumpulan pelajar tu, aktiviti-aktiviti tak sihat seperti merokok secara terang-terangan kat kawasan awam turut dirakam hingga tular di media sosial. Video berdurasi 35 saat dimuat naik di Twitter @HermyRahim rakamkan perbuatan sekumpulan pelajar tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri dan orang lain.
Sekumpulan pelajar sekolah yang sedang seronok sebab baru habis SPM. Moga keputusan cemerlang dan sambung pelajaran serta berjaya dunia akhirat. pic.twitter.com/lofVbkrSmD
— HermyR (@HermyRahim) November 27, 2019
Kami pun sebenarnya tak faham kenapalah diorang buat macam ni. Kami dulu ‘gila’ jugak, tapi takdelah sampai level adakan ‘parti’ kat tengah-tengah jalan raya. Paling simple pun, kami dulu selalu pusing satu sekolah main kejar-kejar conteng baju orang. Mungkin sebab masalah perbezaan generasi lah kot.
Hahhh…nakal sangat, kan dah mendapat! Diorang dapat surat cinta dari polis trafik
Tindakan diorang berkumpul dengan menunggang motosikal sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain bagi meraikan tamatnya peperiksaan ni sebabkan geng-geng lepasan SPM ni ditahan polis trafik di Klebang, Melaka.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya kata, pemeriksaan dilakukan kat dua lokasi iaitu di Bandar Melaka dan Klebang sebaik tamat peperiksaan SPM. Dia kata, hasilnya seramai 13 remaja berusia antara 16 hingga 17 tahun ditahan bagi siasatan sebelum dibebaskan sebaik keterangan mereka diambil.
“Sebanyak 17 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal terbabit selepas didapati melakukan kesalahan trafik. Antara kesalahan dikesan adalah tiada nombor pendaftaran, tiada lesen memandu, tidak patuh tunjuk arah trafik serta tidak memakai topi keledar,” – Superintendan Hasan Basri Yahya, seperti yang dilaporkan Berita Harian
Diorang yang ditahan dibawa ke Balai Polis Batang Tiga dan kes disiasat mengikut Akta Kesalahan Lalu Lintas.
Lain pulak ceritanya dengan para banduan yang baru selesai ambik SPM…
Dalam menahan sebak, seorang banduan muda kata dia nak terbang jauh dari penjara ketika ditanya oleh BERNAMA selepas dia selesai jalani peperiksaan SPM bagi kertas Sains, kertas terakhir dijawab olehnya di Sekolah Integriti Penjara Marang.
“Bantulah saya dengan berdoa agar keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini cemerlang untuk bawa saya ‘terbang jauh’ dari penjara,” – Hassan, seperti yang dilaporkan BERNAMA
Hassan, 20 tahun, (bukan nama sebenar) merupakan Tahanan Limpah Sultan (TLS) selepas disabit pada 2016 atas kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya kata; walaupun nasibnya kat penjara bagai takda penghujung, SPM tu mampu beri harapan untuknya keluar dari penjara.
“Keputusan SPM ni akan dimasukkan dalam permohonan rayuan pengampunan. Doakanlah agar saya ‘dilihat’ (oleh Sultan Terengganu)… ia jadi penguat untuk saya bebas sebab saya takde tarikh bebas (dari penjara). Saya ambil SPM ini juga untuk buat mak bangga sebab masa kat luar (bebas), saya tak dapat buat macam tu,” – Hassan, seperti yang dilaporkan BERNAMA
Ketika peperiksaan percubaan, Hassan dapat 4A 2B 1C dan menyasarkan sekurang-kurangnya dapat keputusan 5A 2 B dalam SPM kali ni.
Sebagai anak bongsu daripada tujuh beradik, Hassan akui kesilapannya berpunca daripada faktor kemiskinan keluarga dan keinginan mahu menikmati kemewahan dengan cepat, hingga akhirnya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup ketika berusia 17 tahun.
SPM adalah permulaan kepada realiti hidup yang lebih mencabar
Kami ni bukan jenis kaki motivasi, kami suka bagitahu korang realiti kehidupan yang sebenar. Kadang-kadang realiti tu agak pahit, tapi korang kena telan jugak. Hidup selepas SPM perlukan korang berusaha lebih keras, dan perancangan yang rapi. Kalau korang tersilap percaturan, kesannya akan dirasai pada waktu tua.
Tak salah nak gembira dan raikan ‘kebebasan’ dari SPM, tapi agak-agaklah ye. Selepas beberapa hari bergembira, korang kena mula fikirkan apa langkah seterusnya yang korang kena ambik.