Lepas pembubaran DUN Sabah baru-baru ni, popular sungguh istilah “katak” sehinggakan ada orang buat laman web yang menyenaraikan senarai nama ADUN yang ‘melompat’, menjadikan sokongan majoriti mudah di tangan Musa Aman.
Kami jumpa satu laman web ni iaitu kataksabah.com, dimana ia adalah inisiatif sekelompok rakyat Sabah yang kecewa dengan tindakan ‘katak-katak’ ni untuk suka hati je meninggalkan parti yang menaungi mereka sampailah menang kerusi DUN, tapi berpindah sokongan pulak ke kem pembangkang.
Kami faham perasaan sebahagian rakyat Sabah; tak patut pun budaya katak ni terus wujud kerana buat apa nak adakan pilihan raya jika wakil rakyat ni boleh ikut suka hati dan kepentingan kerjaya politik je untuk berpindah sokongan. Yang ni kita dah jelas, tetapi apa je yang kita boleh buat untuk halang budaya katak ni dari terus membarah dalam lanskap demokrasi negara?
Dah cuba buat undang-undang anti-lompat, gagal pulak di peringkat mahkamah
Pada mulanya, pengenalan undang-undang anti-lompat ni diharapkan bolehlah menghalang mana-mana wakil rakyat tu untuk bertukar sokongan kepada parti lain bila dah menang guna tiket sesebuah parti tu. Bila kita fikir macam ni, memang adil lah kan sebab pilihan raya tu kan ada. Rata-rata pengundi pun akan turut memilih untuk undi pemimpin dari parti yang mereka sokong selain dari melihat kepimpinan dan pencapaian seseorang calon bertanding.
Namun begitu, kita memang dah cuba perkenalkan undang-undang anti-lompat tu. Lim Kit Siang pada 1978 dah cadangkan pindaan undang-undang anti lompat tu untuk pastikan integriti wakil rakyat termasuklah diharap dapat bendung masalah rasuah dalam kalangan ahli politik, tetapi tak dapat sokongan dari BN masa tu.
Kelantan dah cuba ubah, siap buang lagi dua orang wakil rakyat iaitu Nordin Salleh (Sungai Pinang) dan Wan Mohammed (Limbongan) di bawah Semangat 46 pada 1990 tapi cabut ke UMNO pulak pada 1991.
Mereka bawak kes tu ke Mahkamah Persekutuan pada 1992, dan menang kerana dikatakan melanggar Perlembagaan Persekutuan, Artikel 10 yang menjamin kebebasan untuk berpersatuan.
Kebebasan tu termasuklah untuk wakil rakyat dalam memilih organisasi ikut suka hati mereka ler. Pulau Pinang pun pernah cuba perlembagaan negeri mereka sejak 2012, yang menyatakan bahawa ADUN tak boleh keluar parti melainkan mereka bersetuju mereka akan hilang kerusi yang mereka pegang. Maksudnya lebih kurang macam situasi di mana seseorang ADUN tu meninggal dunia, maka akan wujudlah Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk cari ADUN baharu bagi kerusi yang kosong tadi.
Tetapi kerana keputusan kes mahkamah pada 1992, pindaan ke atas perlembagaan negeri pun dilihat bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Secara automatiknya, pindaan tu terbatal.
Walaupun begitu, undang-undang anti-lompat ni pun ada kontranya. Parti politik boleh salahgunakan undang-undang anti-lompat ni untuk menekan serta mengugat kewibawaan wakil rakyat, lalu menyukarkan wakil rakyat untuk bertindak mengikut kewajaran dan rasional yang boleh melindungi kepentingan rakyat di kawasannya.
Kalau tak turutkan kemahuan parti, parti boleh je buang wakil rakyat tu walaupun mereka terpaksa hilang kerusi kat sesebuah kawasan tu. Nanti putaran sama jugak berlaku, dimana kita ada wakil parti ke atas rakyat dah… bukan wakil rakyat.
Cadangan wujudkan mekanisme lain, boleh halang wakil rakyat jadi katak bertopengkan manusia
Oleh disebabkan kekangan perundangan bila kita nak gunakan undang-undang anti-lompat tu, wujud jugak cadangan untuk buat mekanisme yang lebih sesuai. Tujuan dia lebih kurang je dengan undang-undang anti-lompat tu, tetapi kali ni, kuasanya kat tangan rakyat pulak. Hmm.. macam menarik jugak cadangan ni.
Bersih 2.0 mencadangkan mekanisme Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat sebagai alternatif baharu yang secara asasnya, meletakkan kuasa memilih tu semula kat tangan rakyat semula. Macam mana pulak tu?
Menurut Asraf Sharafi, Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat atau Recall Election ni lebih kurang sama macam referendum yang dikutip daripada rakyat untuk menentukan sama ada mandat perwakilan seseorang ADUN masih boleh kekal hingga ke Dewan Rakyat dibubarkan. Perkara ni tak memerlukan perubahan dari atas, sebaliknya lebih banyak melibatkan rakyat dalam kawasan DUN tu sendiri.
Sebagai contoh di Malaysia, tempoh wakil rakyat adalah selama 5 tahun, namun sekiranya usul untuk memecat wakil rakyat itu diluluskan dalam pilihanraya pecat wakil rakyat, ia boleh mencetuskan pilihanraya kecil di untuk kawasan Parlimen/DUN tersebut.
Asas untuk memecat wakil rakyat tak semestinya terhad dengan perlakuan melompat parti. Kalau dia disabitkan kesalahan undang-undang tapi hukuman mahkamah masih tak dapat menyahlayakkan dirinya sebagai wakil rakyat ataupun ketidakpuashatian rakyat terhadap prestasinya, maka rakyat boleh pecat wakil rakyat tersebut.
Benda ni boleh disamakan jugak dalam konteks kontrak pekerjaan, yang mana majikan boleh pecat pekerja. Tapi oleh kerana wakil rakyatlah yang bekerja untuk rakyat, maka rakyat sebagai majikan sewajarnya boleh pecat wakil rakyat (pekerja) ni.
Untuk membolehkan pilihan raya tarik balik wakil ini dimasukkan ke dalam undang-undang, Perkara 48 (Kehilangan Kelayakan Menjadi Ahli Parlimen) Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk memasukkan klausa referendum/petisyen rakyat untuk pilihan raya tarik balik wakil supaya dapat hilangkan kelayakan sebagai ahli Parlimen.
Di peringkat negeri pula, pilihan raya pemecatan wakil rakyat ni boleh diperkenalkan selagi Perlembagaan Negeri tu dipinda sebab kelayakan ADUN adalah dalam bidang kuasa negeri di bawah Jadual ke-8 Perlembagaan Persekutuan.
Pilihan raya pecat wakil rakyat ni dah banyak diamalkan di negara-negara maju seperti Argentina, Kanada, Jerman, New Zealand, Filipina, Switzerland, Taiwan, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Sudah pasti kita boleh je sesuaikan ikut acuan tempatan, dan sekurang-kurangnya boleh buatkan ADUN ni berfikir dua tiga kali dulu sebelum nak lompat parti lagi.
Bagaimana nak pecat wakil rakyat guna mekanisme ni? Kami ringkaskan cadangan tersebut
Memandangkan kita dah memasuki tahun 2020 dengan pelbagai peristiwa tak terjangka, jadi rasanya kita pun kenalah mula bersedia untuk memikirkan solusi kepada cabaran-cabaran baharu ni.
Yelah, katak-katak politik ni memang dah lama, tetapi sebaiknya kita kena betulkan apa yang dah biasa tu lagi-lagi apabila diketahui impaknya tu boleh mengugat kestabilan negara. Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ni, boleh pulak Filipina bising tuntut semula Sabah.
Dalam mekanisme ni, ada tiga peringkat:
- Peringkat pertama: mesti ada sekumpulan pengundi sah yang mencapai ambang(threshold) tertentu yang ditetapkan oleh undang-undang (misalnya 1% daripada jumlah pengundi sedia ada) untuk memulakan petisyen memecat.
- Peringkat kedua: kumpulan ini kemudian perlu mengumpul jumlah tandatangan menyokong untuk mencapai ambang kedua (misalnya 10% daripada jumlah pengundi) dalam tempoh masa tertentu.
- Peringkat ketiga: jika pilihanraya pecat itu berlaku, petisyen hanya akan diluluskan jika ia mencapai ambang ketiga, peratusan mengundi dan peratusan undi bersetuju tertentu. Sebagai contoh, undi bersetuju mesti melebihi 50% daripada peratusan pengundi atau bilangan undi yang didapati oleh wakil rakyat dalam pilihanraya yang lepas, mengikut mana yang lebih rendah.
Seandainya majoriti rakyat bersetuju dengan tindakan lompat parti, maka mungkin petisyen pecat itu gagal mencapai ambang pertama atau kedua untuk membawa pilhanraya pecat, atau usul itu gagal mencapai ambang ketiga dalam pilihanraya, tu seolah-olah menggambarkan seseorang wakil rakyat tu dah mendapat mandat baharu daripada pengundi.
Saranan sebegini haruslah diterima baik dan difikirkan selanjutnya agar dapat disesuaikan dengan konteks politik serta literasi politik dalam kalangan rakyat ni. Tak dapat dinafikan, sebarang cadangan tak pernah bebas dari kritikan membina mahupun didatangkan suci tanpa masalah-masalah yang mungkin timbul.
Tetapi dalam menempuhi ombak cabaran masa kini, kami rasa sudah tiba masanya untuk kita mencari jalan yang lebih baik. Bak kata orang putih lah, masalah moden memerlukan penyelesaian moden.