Ketika krisis politik di Sabah tengah berlaku, Filipina lakukan tuntutan semula terhadap Sabah

F1
Ketika krisis politik di Sabah tengah berlaku, Filipina lakukan tuntutan semula terhadap Sabah

Belum habis lagi kemelut politik nasional yang kini beralih pandangan ke Sabah, boleh pulak Filipina bangkitkan tuntutan lamanya ke atas Sabah. Ramai pelik mengapa Filipina begitu berkeras untuk menuntut semula Sabah ni lagi-lagi apabila Malaysia dah bawa kes tuntutan ni ke mahkamah antarabangsa dan menang pada 2013.

Memandangkan ni dah menyentuh dan mencabar kedaulatan Malaysia, kami rasa terpanggil nak bidas semula tuntutan mereka tu dengan sejarah jugak. Jom baca kupasan kami…

Sabah Malaysia Filipina
Via defenders-philippine-sovereignty.blogspot.com

Setiausaha Luar Filipina kata Sabah bukan sebahagian dari Malaysia, Menteri Luar kita akan panggil duta Filipina untuk minta penjelasan

Kami dah pernah cerita pasal keadaan Filipina baru-baru ni yang mengalami sedikit konflik dalaman, di mana keselamatan Filipina sendiri diancam oleh pelbagai pertubuhan antarabangsa sehingga terpaksa memperkenalkan undang-undang anti-keganasan. Sebahagian dari rakyat Filipina turut adakan protes menghalang Presiden Duterte daripada menandatangani usul tersebut.

Kemudian pada akhir Julai lalu, Setiausaha Luar Filipina iaitu Teodoro Locsin menulis ciapan menafikan bahawa Sabah tu sebahagian dari Malaysia. Ciapan tersebut adalah respon kepada bebenang ciapan dari akaun Kedutaan Amerika Syarikat di Filipina. Ciapan Setiausaha tersebut dibalas oleh Menteri Luar kita, Hishamuddin Hussein yang menyatakan bahawa kenyataan tersebut akan menganggu hubungan bilateral Filipina-Malaysia.

Locsin tak ‘menyerah kalah’; dia balas semula ciapan Hishamuddin Hussein dengan menyatakan bahawa dia pun akan turut panggil duta Malaysia serta akan menemui wakil Kedutaan Amerika disebabkan ciapan tersebut. Rupanya Locsin ni pun ada sejarah jugak dalam proses tuntutan Filipina ke atas Malaysia dulu… bapanya Teodoro Locsin Jr.  pun bersekongkol jugak dengan Presiden Diosdado Macapagal untuk tuntut Sabah dulu.

Locsin jugak pernah membangkitkan isu Sabah ni di peringkat nasional kat Filipina tu, jadi nampaknya isu tuntutan ni akan terus berlangsung lepas dah surut sejak peristiwa berdarah Tanduo. Menurut perkongsian sorang anak Sabah kepada kami, ada yang dakwa pencerobohan tentera Sulu dulu dibantu oleh Filipina sebagaimana yang pernah cuba diusahakan dalam operasi Jabidah pada 1968. Namun begitu, benda ni hanya khabar angin yang kami tak dapat sahkan.

Pembunuhan Jabidah
Dikatakan pejuang Moro dilatih kononnya untuk bantu saudara Muslim di Sabah, rupanya dihantar untuk bunuh mereka. Para pejuang enggan ikut arahan lalu dibunuh semuanya oleh kerajaan Filipina. Via Alchetron

Betul ke Filipina ada hak untuk tuntut Sabah atas nama Kesultanan Sulu, guna alasan sejarah?

Secara umumnya, tak salah pun nak tuntut sesuatu kawasan atas alasan sejarah. Walau bagaimanapun, banyak lagi perkara lain yang kita kena ambil kira termasuklah suara masyarakat yang mendiami kawasan tersebut. Misalnya macam kita, Suruhanjaya Cobbold dah menunjukkan bahawa rakyat Sabah lebih suka membentuk Malaysia.

Tapi nampaknya Filipina taknak kira bab suara rakyat tu. Dia nak tuntut balik jugak gunakan perspektif sejarah ikut Kesultanan Sulu. Kami boleh je jawab benda ni dengan tiga perkara: Tarsilah Brunei, Protokol Madrid dan dasar keberkesanan. Filipina mungkin ada surat waris, tetapi Malaysia ada tiga benda penting yang boleh mengesahkan bahawa Sabah adalah milik Malaysia.

Batu Tarsilah Brunei
Batu Tarsilah Brunei. Kitab Tarsilah tu boleh didapati dari pusat rujukan sejarah kat Brunei.. Via virtual-bruneidarussalam.blogspot.coml

Dalam buku teks sejarah mengenai Sabah, korang mesti ingat fakta bahawa Sabah ni dikuasai oleh dua Kesultanan iaitu Kesultanan Sulu dan Kesultanan Brunei. Namun begitu, tak ramai tau bahawa ni adalah fakta dari perspektif orang putih yang datang ke sini. Orang putih tu pun turutkan jelah apa yang mereka faham, iaitu Sabah ni diperintah oleh dua kesultanan.

Tapi menurut Tarsilah Brunei, Kesultanan Sulu ni cuma disebut ketika dalam pertempuran Perang Chermin yang melibatkan dua saudara diraja iaitu Sultan Abdul Mubin dan Pengiran Bendahara Muhyiddin. Akibatnya, Brunei ada dua sultan.

Sultan Abdul Momin
Sultan Abdul Momin.. -Via Alchetron

Jadi untuk menang, Pengiran Bendahara Muhyiddin dikatakan mintak bantuan Kesultanan Sulu. Walaupun begitu, Tarsilah Brunei kata armada Kesultanan Sulu tak bantu pun dan hanya datang pada saat akhir. Akibatnya, Brunei menafikan mereka beri hak tanah kepada Kesultanan Sulu sehingga sekarang.

Namun akibat dari kelemahan dalaman Brunei lepas Perang Chermin, Brunei tak dapat ‘menguatkuasakan’ sepenuhnya kawalan mereka terhadap tanah-tanah mereka. Sultan Karamat, pemerintah Sulu ambil kesempatan untuk isytihar mereka bebas dari kekuasaan Kesultanan Brunei, dan melebarkan wilayah kekuasaannya di Magindora, Marudu dan Tidung. Kesultanan Sulu ni tak diiktiraf pun oleh Brunei.

Sabah Sultan Sulu
“Untuk selamanya dan berkekalan”, Sabah diserahkan pada Overbeck dan Dent.. Via http://muridkyai.blogspot.com

Kedatangan orang putih yang galak nak beli hak dan geran tanah dari kerabat diraja Brunei ni buatlah jugak perjanjian dengan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu agar tak timbul apa-apa masalah lain hari. Istilah “pajakan kekal” yang difahami oleh British ialah penyerahan. Bukannya nak pajak lepas tu boleh tuntut semula.

Kesultanan Sulu lepaskan hak ke atas Sabah lepas Sepanyol bantah British berurusan dengan Kesultanan Sulu

Kesultanan Sulu ni pun salah faham jugak… walaupun Sepanyol dah tawan wilayah Manila tu, Kesultanan Sulu tu ingat mereka merdeka dan boleh suka hati buat perjanjian pada 1878. Oleh demikian, Sepanyol buat lagi satu perjanjian baharu dengan Kesultanan Sulu pada tahun yang sama. Sepanyol boleh iktiraf Kesultanan Sulu, tapi kuasanya hanya pada sekitar kerajaan Sepanyol Filipina.

Tapi British tak setuju sebab dikhuatiri Kesultanan Sulu ni akan buat kacau pulak lepas dah ‘serahkan’ wilayah mereka di Borneo Utara. Maka British desak Sepanyol, memunculkan Protokol Madrid pada 1885 yang melepaskan semua tuntutan ke atas Borneo Utara khususnya di kawasan naungan British.

Madrid Protokol 1885
Via Wikipedia

Lepas tu pada 10 Disember 1898, Sepanyol bagi hak kedaulatan Kepulauan Filipina tu dengan Amerika Syarikat. Kesultanan Sulu ni tak bersetuju dengan Amerika, lalu tercetuslah peristiwa berdarah yang diakhiri kemudiannya dengan kekalahan Kesultanan Sulu. Dengan ni, Perjanjian Carpenter pada 1915 jugak ditandatangani oleh Sultan Sulu untuk lepaskan kedaulatan dan kuasanya pada Amerika Syarikat.

Tak cukup lagi, Konvensyen Persempadanan Anglo-Amerika Syarikat pada 1930 telah iktiraf kekuasaan British ke atas Borneo Utara. Sultan Jamalul Kiram mewakili pihak Kesultanan Sulu sekali lagi menandatangani surat pengiktirafan kepada British untuk menduduki beberapa wilayah lain di Borneo Utara seperti Kepulauan Penyu.

Kepulauan Penyu
Kepulauan Penyu ni luas dan meliputi kuasa serta sempadan dua negara.. Via Oneocean.org

Belum habis lagi… pada 1937, Presiden Filipina ketika tu iaitu Manuel L. Quezon keluarkan surat perintah pada 1937 untuk tak iktiraf mana-mana pewaris kepada Sultan Jamalul Kiram. Kematian Sultan Jamalul Kiram setahun sebelumnya memperlihat waris-warisnya mulai bercakaran sesama sendiri, jadi keputusan Quezon tu memang patut pun memandangkan Filipina baru nak jadi sebuah negara berdaulat dan diiktiraf oleh Amerika Syarikat pada 1946.

Ni dah berapa kali lepas tuntutan, takkanlah tak serik lagi nak tandatangan surat baharu…

Via Giphy

Habis tu kenapa pulak pewaris kata Malaysia masih bayar ‘sewa’, kan ni mencerminkan Sabah di bawah hak Kesultanan Sulu?

Menurut Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara (Sabah), Charles Frederick Cunningham Macaskie pada 1939; hanya 9 individu yang telah dinamakan sebagai pewaris sah yang layak dapat wang “pajakan kekal” di mana ia telah difahami oleh pewaris tu sebagai ‘wang serahan’, bukan ‘wang sewaan’. Kerajaan Filipina jugak dinamakan sebagai pewaris Kesultanan Sulu, menjelaskan kenapa Filipina yang terhegeh-hegeh nakkan Sabah.

Surat Perjanjian Jacel
Puteri Jacel Kiram dengan ‘bukti’ geran.. -Via Bicararakyat007.blogspot.com

Bila wilayah Borneo Utara diamanahkan semula kepada British, Kesultanan Sulu dan Filipina diam je. British pulangkan semula Kepulauan Penyu tu sebab ikut Perjanjian Paris 1898, tu sepatutnya boleh diberi kembali pada Filipina. Tapi mereka ingat oleh sebab British dah bagi sedikit wilayah tu, Filipina nak jugak tuntut keseluruhan Sabah. Tu dah pelik sebab takde dalam mana-mana perjanjian, Kesultanan Sulu masih miliki secebis tanah pun kat Borneo Utara. Nak tuntut pun benda yang takde…

Sultanate Of Sulu Sabah
Dia punya ‘claim’ tu sampai satu negeri.. -Via Quora

Suruhanjaya Cobbold tu pun Presiden Macapagal jugak yang sokong nak buat dulu. Bila keputusan tak menyebelahi Filipina, Presiden Macapagal berkeras jugak nak perjuang hak kedaulatan Filipina. Atas sokongan rakyat Sabah dalam Suruhanjaya Cobbold tu, Sabah ikut dalam membentuk gagasan Malaysia. Malaysia terus berkembang, dan sekaligus membangunkan Sabah sejak 1963. Dasar keberkesanan tu dah memihak pada Malaysia sebab Sabah membangun atas dasar dan polisi Malaysia.

Tak adil jika nak tuntut Sabah ketika Sabah dah semakin membangun, kan? Masa Sabah masih hutan belantara dulu, taknak bantah pulak ye…  Lebih baik Filipina fokus bina hubungan dengan Malaysia, serta memperbaik hubungan mereka dengan masyarakat Mindanao berbanding menuntut perkara di luar kemampuan mereka.

Filipina Moro
Via Voa Islam

Tak semua rakyat Filipina fikir macam ni, ia cuma jadi bahan undi atas kepentingan elit politik di sana

Berdasarkan tinjauan kami di ruang komen kat media sosial berkenaan isu tuntutan ke atas Sabah, ada jugak segelintir rakyat Filipina sokong Sabah tu adalah milik Malaysia. Yang mengekalkan tuntutan tu cuma orang politik dan berkepentingan seperti Macapagal dan Locsin. Belia muda kat sana pun dah tak rasa relevan dah tuntutan tersebut, memandangkan lebih banyak hal pembangunan yang lebih penting untuk diusahakan daripada berterusan nak gaduh pasal Sabah je.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top