Letupan di Beirut baru-baru ni menjadi berita utama seluruh dunia, ditambah dengan pelbagai rakaman yang memaparkan betapa dahsyatnya letupan kimia kat tepi bandar besar tersebut. Hampir rata Beirut lepas letupan ammonium nitrat kat sebuah gudang pelabuhan tu, macam dah kena serangan bom tu pun ada. Kami sempat tengok beberapa klip video sebelum, semasa dan selepas letupan tu… kami terfikir jugak:
Macam mana pulak ammonium nitrat tu boleh ada kat gudang simpanan di Beirut?
Sebenarnya ia adalah bahan kimia yang dirampas dari kapal Rusia, takde berminat nak beli semula hinggalah letupan berlaku
Bukan senang nak dapatkan ammonium nitrat ni, lagi-lagi dalam kuantiti yang besar melebihi 2,500 tan. Tak dapat dipastikan tujuan asal nak bawa bahan mudah meletup tu, tapi yang pasti, kapal laut yang bawa bahan tu pun agak meragukan jugak. Pada tahun 2013, sebuah kapal kargo laut bernama MV Rhosus yang berlabuh dari Batumi, Georgia ke Mozambique. Kapal tersebut dimiliki oleh Igor Grechushkin, yang didaftarkan di bawah sebuah syarikat di Bulgaria tapi dokumennya disiapkan di Moldova.
Kapal MV Rhosus pada September tahun tersebut dah bawa kargo bahan ammonium nitrat yang dibeli oleh Frabica de Explosivos de Mocambique, sebuah syarikat yang buat bahan letupan komersial. Kapal tersebut dioperasikan oleh 8 orang Ukraine dan 2 lagi adalah orang Rusia, di mana mereka tak tahu bahawa krew yang ditugaskan sebelum ni tinggalkan kapal untuk protes pasal gaji tak kena bayar. Ketika belayar tu, MV Rhosus diarahkan untuk berhenti sekejap di Beirut untuk ambil lebih banyak muatan kargo.
Namun lepas mereka berlabuh dah di Beirut, pihak penguasa laut tahan dan sita kapal tersebut sebab melanggar piawaian International Maritime Organization serta gagal menjelaskan pembayaran termasuklah cukai pelabuhan.
Ni tak mengejutkan sebab pemilik kapal tersebut, Igor nak jalan mudah je dengan daftarkan kapal tu kat Moldova. Di Moldova, piawaian mereka tak seketat Beirut dan dikatakan tak begitu pentingkan bab keselamatan dan kebersihan kapal serta kebajikan krew sesebuah kapal tu.
Bila Igor Grechushkin dan syarikat Frabica de Explosivos de Mocambique tu sedar muatan ammonium nitrat tu sukar diambil semula, mereka putuskan untuk tinggalkan je muatan tu di Beirut bersama dengan krew kapal yang tersadai kat sana. Selagi takde orang urus pembayaran denda serta kertas-kertas kerja yang diperlukan untuk lepaskan kapal tersebut, selagi tu lah pihak berkuasa Beirut akan tahan kapal tu dari belayar semula ke destinasi yang dituju.
Masalah tersebut terus berlanjutan, ditambah lagi apabila Igor isytihar diri dah bankrap; krew kapal tersadai berbulan lamanya dengan muatan ammonium nitrat tanpa ada alat komunikasi elektronik, takde gaji dengan bekalan makanan serta minyak yang dah nak habis. Hampir setahun, mereka terpaksa duduk kat dalam kapal je kerana ikut undang-undang maritim Lubnan, mesti ada krew pengganti yang mengendalikan kapal tersebut. Tak boleh krew lama yang bawa keluar kapal tersebut.
Takde orang nak bertanggungjawab untuk simpan muatan berbahaya tu. Akhirnya pada Ogos 2014, hakim Lubnan arahkan krew kapal tu dilepaskan manakala muatan seberat 2,750 tan ammonium nitrat tu kena dipindahkan dari kapal ke sebuah gudang pelabuhan di Beirut. 6 tahun kat dalam gudang tanpa ada apa-apa pengurusan sewajarnya bagaikan bagai menanti bala datang je.
Sikap tak bertanggungjawab dan masalah perundangan maritim banyak disalahguna, akhirnya boleh membawa kepada kemusnahan
Pihak berkuasa tempatan jugak dipersalahkan penduduk di Beirut kerana turut gagal mengendalikan dan mengurus muatan berbahaya tersebut. Ye lah, kalau dah boleh dianggap milik Lubnan, boleh je dijual semula ataupun dipindahkan ke mana-mana kawasan yang kurang populasi. Dahlah gudang tersebut berdekatan dengan kawasan residen serta bandar besar, risiko kemusnahan tu akan lebih tinggi.
Rupanya wujud amaran dari beberapa pihak mengenai keadaan muatan ammonium nitrat dalam gudang tu sejak tahun 2016 hingga 2019 lalu lagi, tapi tak diendahkan langsung oleh pihak kerajaan. Kemudian pada Disember 2019, wujud gesaan untuk tutup Gudang 12 yang menempatkan kandungan ammonium nitrat tersebut. Memang ada wujud dakwaan bahawa ia disebabkan oleh sekumpulan pengimpal yang ditugaskan untuk kimpal lubang kat Gudang 12.
Tetapi sumber tak bernama menyatakan kumpulan pengimpal tu dah habis awal. Yang pasti, memang ada kebakaran kecil dari Gudang 9 yang berdekatan Gudang 12 tu. Perkara ni korang boleh tengok sendiri menerusi pelbagai rakaman amatur dari para penduduk yang ingatkan ia cuma kebakaran biasa je. Beberapa minit kemudian, letupan besar berlaku hingga mengorbankan puluhan nyawa serta mencederakan ribuan lagi.
Mengikut pandangan Dr. Laleh Khalili dari Queen Mary University of London, isu perundangan maritim pun harus diselesaikan. Dalam kes letupan ammonium nitrat di Beirut tu, kapal tersebut menggunakan kaedah ‘flags of convenience’ iaitu apabila pemilik tu tak daftarkan ikut negara asal pemiliknya. Tambah lagi, kelonggaran mekanisme dan piawaian keselamatan pelabuhan jugak harus dipertingkatkan. Ditambah lagi dengan kes maritim antarabangsa, banyak lebih cenderung melindungi kepentingan kapitalis.
Sebab tu lah kami tak menolak kemungkinan pihak berkuasa Lubnan sendiri pun takde kuasa nak pindahkan kerana ia bukan milik kerajaan. Ia jugak tak dimiliki oleh mana-mana syarikat pun, jadi secara sahnya, takde orang boleh tuntut. Setakat ni, belum ada penjelasan diberikan oleh pihak kerajaan… namun protes besar-besaran kini diadakan oleh penduduk Beirut.
Walaupun kita boleh menarik nafas lega apabila takde warga Malaysia di Lubnan yang dilaporkan cedera atau terkorban, kami amat bersimpati dengan nasib mereka yang terkesan hingga sehelai sepinggang. Ada jugak yang kehilangan keluarga tersayang, manakala ada yang masih lagi hilang dan mungkin terperangkap dalam runtuhan bangunan. Semoga Beirut terus sejahtera dan dapat bangkit semula dari peristiwa penuh ngeri dan menyayat hati ni.