Video abang Hot Burger Malaysia tular, polis kata premis judi dah menutup operasi

F1

Sejak dua hari lepas, tular video tentang sebuah kedai menjual burger yang disita oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Semalam, MBSA jelaskan tindakan menyita barangan peniaga burger di Sungai Buloh dilakukan selepas teguran dan nasihat tak diendahkan. Timbalan Datuk Bandar, Mohd Rashidi Ruslan kata, dalam tempoh dua bulan, MBSA dah dua kali melakukan tindakan sitaan terhadap peniaga yang sama selepas teguran dan nasihat tidak di ambil peduli.

Kata MBSA tindakan ni diambil setelah peniaga tu diberi peringatan, dan ia jugak didakwa melanggar SOP PKPP

MBSA makluman tindakan penyitaan tu diambil kerana peniaga tu tinggalkan peralatan perniagaan selepas selesai lakukan aktiviti perniagaan sehingga menyebabkan masalah lalu lintas dan juga keselamatan pengguna jalan raya. Sebelum ni dikatakan pihak MBSA dah beri teguran dan nasihat kepada peniaga tu supaya tak tinggalkan peralatan selepas selesai lakukan perniagaan tapi teguran tu tak diendahkan.

Mohd Rashidi kata macam tu ketika ulas video yang tengah tular berkaitan tindakan penyitaan terhadap barangan perniagaan yang dilakukan oleh anggota penguatkuasa dari Pejabat Cawangan MBSA Sungai Buloh. Dia kata, peniaga tu turut didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) iaitu berniaga di luar waktu operasi perniagaan yang ditetapkan (melebihi 12 tengah malam).

Katanya, dalam operasi yang sama, pihak MBSA juga turut melakukan tindakan penyitaan ke atas satu lagi premis yang meninggalkan barangan perniagaan serta sebuah premis yang menjual barangan minuman dan rokok.

“Tindakan sitaan ini diambil mengikut Undang-Undang Kecil Penjaja MBSA 2007 Peruntukan 19 (Meninggalkan Barang Perniagaan Ditempat Awam) & Peruntukkan 3 (Menjaja Tanpa Lesen) serta Peruntukkan 42 (Kuasa Sitaan),” – Mohd Rashidi, seperti yang dilaporkan oleh HMetro

Mohd Rashidi kata, dakwaan kewujudan premis perjudian, pihak MBSA akan bekerjasama dan membantu pihak polis dalam menjalankan siasatan. Dalam dua versi video berdurasi 13 minit 28 saat dan 8 minit 29 saat yang dibuat secara langsung oleh pentadbir akaun Facebook Hot Burger Malaysia tu turut dakwa premis perniagaan diusahakan warga Aceh ‘kebal’ kerana tak dikenakan tindakan di atas kesalahan jual rokok seludup. Video tu turut dakwa pihak berkuasa menutup mata kerana ada yang menerima habuan daripada ‘tauke’ kedai mesin judi.

Pihak polis buat laporan polis terhadap video yang mendakwa pihak berkuasa lindungi ‘barangan haram’

Setelah video tu tular, dan dapat macam-macam reaksi dari netizen, pihak polis pulak buat laporan polis terhadap dakwaan-dakwaan yang disebutkan oleh lelaki yang tularkan video tu. Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar kata, laporan dibuat seorang pegawai polis kepada pemilik video tular yang menggunakan akaun Facebook ‘Asri Janggut’.

“Dalam video berkenaan juga didapati pemilik akaun berkenaan tidak berpuas hati atas tindakan penyitaan ke atas gerai burger milik beliau yang dilakukan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Pengadu merasakan video yang tular di media sosial berkenaan boleh menimbulkan fitnah dan merosakkan imej pengadu sebagai Ketua Polis Balai Sungai Buloh, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, PDRM dan kredibiliti Ketua Polis Selangor,” – Shafa’aton Abu Bakar, seperti yang dilaporkan HMetro

Shafa’aton kata, susulan maklumat tu, sepasukan polis daerah Sungai Buloh buat enam serbuan di Bandar Baru Sungai Buloh seperti yang ditularkan. Dalam serbuan tu. polis tahan dua lelaki warga Bangladesh selain merampas empat tablet dan wang tunai RM114. Lima lagi serbuan di tempat berlainan dapati premis tu tak beroperasi. Cuma semalam tular isu salah satu gambar dalam bukti bergambar ni – habuk yang dikatakan muncul di atas meja tu menunjukan PC baru je diangkat.

117169228 3282867808478966 1128203992287236060 N
Gambar yang diperkatakan tu. Via FB Polis Sungai Buloh

Bagi brother yang buat tularkan video tu, ia adalah jalan terakhir yang terpaksa diambil

Bagi pemilik perniagaan Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid; dia kata yang dia merupakan penduduk asal tempat tu, dan tahu kat mana ada port judi, cuma polis ada hak untuk nafikan kewujudan tempat-tempat ni. Dia kata macam tu selepas pihak polis buat laporan polis nafikan kewujudan beberapa premis judi di sekitar Jalan Besar, Bandar Baru Sungai Buloh yang didedahkannya menerusi Facebook Hot Burger Malaysia.

“Saya akan memberikan kerjasama kepada polis dengan bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang menyediakan khidmat guaman kepada saya untuk kes ini. Malah, saya juga sudah berhubung dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menghubungi saya semalam untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara ini,” – Mohd Asri Hamid, seperti yang dilaporkan Harian Metro

Katanya, dia terpaksa dedahkan kegiatan yang berlaku di kawasan tu kerana takde pilihan lain dan dah kehabisan cara untuk perjuangkan benda ni. Dia buat siaran langsung kat FB sebab kecewa dengan MBSA yang dilihat ‘pilih bulu’ dengan peniaga di kawasan tu.

Screen Shot 2020 08 09 At 3.44.33 Pm
Via Oh! Bulan

“Saya sering terima saman mahupun berdepan tindakan sita dan terus membayar saman dikenakan tetapi terlalu jelas kami ‘dianaktirikan’ oleh MBSA apabila tindakan berkenaan hanya diambil terhadap dua gerai burger. Jika benar mereka (PBT) mahu membantu kami, permudahkan urusan peniaga kecil-kecilan ini untuk mendapatkan lesen perniagaan secara sah. Kami tidak berbuat jenayah tetapi hanya sekadar mahu mencari makan bagi menampung keluarga,” – Mohd Asri Hamid, seperti yang dilaporkan Harian Metro

Dia turut kata, sebelum ni, dia ada memohon dengan PBT untuk mendapatkan lesen berniaga di kawasan itu, namun ditolak atas pelbagai alasan menyebabkan gerai miliknya di lokasi berkenaan sudah disita dua kali.

Nasib baiklah isu ni tak diulas guna neraca perkauman, mungkin berbeza kalau terjadi pada zaman Pakatan Harapan

Pertama sekali kami syukur benda-benda ni tak terjadi pada zaman Pakatan Harapan tengah jadi kerajaan, sebab kami dapat bayangkan isu ni boleh bertukar kepada isu perkauman. Kami dapat bayangkan kerajaan akan disalahkan kerana MBSA dan polis akan ‘dilihat’ melindungi tauke-tauke judi. Kemudian naratif Melayu ditindas dan Cina dilindungi akan diterbitkan untuk beri imej buruk kepada kerajaan.

Kalau perasan, dalam kes ni; tak ramai orang yang gunakan naratif semua ni salah kerajaan, yang akan disalahkan adalah polis dan MBSA je. Kami tak nak bahas benda ni panjang sangat pasal soal tak konsisten ni, apa yang penting naratif perkauman tak digunakan untuk ulas isu ni. Apa-apa pun, kami harap benda ni boleh diselesaikan dengan cara yang baik, peniaga burger perlu dibantu untuk mendapatkan lesen atau premis, dan isu tempat judi perlu dapat penjelasan yang tuntas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *