Hutang PTPTN ni antara isu hangat yang kekal menjadi isu bertahun-tahun lamanya. Sememangnya pinjaman pendidikan ni mengubah hidup ramai orang, sebab dengan adanya PTPTN, dah ramai boleh masuk universiti dan lanjutkan pelajaran. Kemudiannya, PTPTN ni jugaklah yang akhirnya buat ramai boleh disenaraihitamkan dan jadi beban pulak.
Oleh demikian, Bajet 2022 yang dibentangkan baru-baru ni turut meliputi PTPTN diharap dapat kurangkan beban para peminjam yang sukar sambung bayar hutang PTPTN. Dari satu sudut, inisiatif macam ni dialu-alukan setelah beberapa lama PTPTN pun takde suara dah berkaitan diskaun pembayaran sebagaimana tahun-tahun lalu.
Pengerusi PTPTN ucap terima kasih luluskan permohonan diskaun dalam Bajet, berkuatkuasa bermula 1 November
Datuk Wan Saiful Wan Jan, Pengerusi PTPTN dah banyak dikritik lantaran dia dilihat kurang efektif dalam menangani masalah PTPTN tu. Lebih teruk, PTPTN ni jugak pernah dijadikan sebagai bahan politik untuk meraih undi. Jadi bila dah habis PRU, takde bunyi mahupun tindakan diambil bagi menyelesaikan perkara tu. Akhirnya pada Bajet 2022 ni, baru ada diskaun PTPTN.
Astro Awani melaporkan, pihaknya ucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kerana sudi luluskan permohonan PTPTN berkaitan diskaun berkenaan. Kata Wan Saiful;
“Terima kasih kepada YB Menteri Kewangan kerana meluluskan permohonan saya untuk memberi diskaun bayaran balik kepada para peminjam PTPTN. Saya ambil maklum butiran yang diumumkan dalam ucapan Bajet 2022 dan saya akan arahkan para pegawai PTPTN membuat perancangan segera untuk melaksanakan skim diskaun ini.Saya sentiasa prihatin dengan bebanan yang ditanggung oleh para peminjam PTPTN. Insya-Allah saya akan berusaha membantu dari segi dasar-dasar yang mesra peminjam seperti skim diskaun ini,”- seperti yang dilaporkan Astro Awani
- Diskaun 15% atas baki hutang untuk penyelesaian penuh
- Diskaun 12% untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan
- Diskaun 10% untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual
Dalam ketiga-tiga diskaun ni, kami lihat ia sedikit sebanyak membantu para pembayar PTPTN daripada pelbagai kapasiti kewangan diorang. Kalau ada yang mampu bayar penuh, dapat diskaun 15%. Kalau ada yang boleh bayar hanya setengah daripada hutang tu, dapat diskaun 12%. Manakala kalau ada yang boleh atau memilih teruskan pembayaran menerusi potongan gaji atau debit terus (direct debit), automatik dapat diskaun 10%.
Ohh baru tahu ketiga2 diskaun 15%,12% dan 10% untuk PTPTN tu boleh applies kesemua asalkan berlainan bulan. Contoh bulan 11 settle 50%, dapat diskaun 12%. Bulan 12,1,2,3 bayar auto debit. Dapat diskaun 10%. Then bulan 4 settle lagi balance tu meaning bayar lumpsum dapat 15% off❤
— Nur Affiqah | IG : popiacarbonara.bysoulkita (@affiqahrazak) November 3, 2021
PTPTN dalam kenyataan pada Sabtu lalu kata, sesiapa yang nak buat penyelesaian penuh pinjaman atau bayar separuh daripada hutang diorang… ada dua cara. Pertama, boleh dapatkan pengesahan baki hutang melalui portal rasmi PTPTN. Kedua, diorang juga boleh hubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN untuk pertanyaan lanjut.
Kalau guna cara pertama tu pulak, korang kena ingat nombor pinjaman korang. Tak ingat? Korang boleh rujuk semula dengan melihat penyata korang kat semakan penyata PTPTN korang, juga menerusi laman rasmi diorang. Bagi yang dah awal-awal tetapkan potongan automatik, PTPTN kata:
“Insentif diskaun akan dikemaskini di dalam akaun pinjaman peminjam pada akhir setiap bulan dan peminjam boleh membuat semakan penyata masing-masing mulai 7 hari bulan pada bulan berikutnya,”- seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Pemberian diskaun PTPTN kali ni hanya beri contoh buruk, ni kata bekas pegawai perbendaharaan
Walaupun pemberian diskaun ni jadi khabar gembira untuk sebahagian rakyat, ada jugak yang kritik dan rasa langkah pemberian diskaun ni suatu contoh yang buruk. Menurut Ramon Navaratnam yang merupakan bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, dia kata pemberian diskaun ni hanya kukuhkan ‘mentaliti subsidi’ yang wujud sejak Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dilancarkan.
Sambungnya lagi;
“Pelajar perlu dikategorikan supaya mereka yang berada dan berkemampuan masih diwajibkan membayar hutang tepat pada masanya.
Bagi mereka yang mengalami kesulitan, kerajaan boleh menunjukkan belas kasihan dengan melanjutkan tempoh bayaran pinjaman supaya mereka dapat lebih banyak ruang untuk ‘bernafas’,”- seperti yang dilaporkan FMT
Dana untuk pinjaman PTPTN mesti ada sumbernya, dan pemberian diskaun ni hanya akan kurangkan jumlah wang tersedia untuk Kementerian Pengajian Tinggi. Akhirnya, boleh jadi ia jugak akan kurangkan jumlah pinjaman yang boleh diberikan.
“Dunia memerhatikan kita dan meletakkan kita pada standard global, jadi kita perlu bertindak sewajarnya…. Jika kita terus menggalakkan mentaliti subsidi ini, apakah yang akan dikatakan tentang cara negara menangani hutang?
“Bagaimana tanggapan negara lain terhadap kita? Siapa yang percaya kita akan melaksanakan tanggungjawab kita tepat pada masanya?
Kata-katanya ni turut disokong oleh sesetengah pengkritik dan peminjam PTPTN yang bersungguh-sungguh lunaskan hutang diorang. Diskaun ni dilihat seolah memberi ganjaran kepada peminjam yang cuai dan hukum peminjam yang bersungguh-sungguh bayar balik pinjaman.
Kritikan-kritikan ni harus dipertimbangkan dan dinilai sebaik mungkin. Adakah diskaun ni benar-benar tak adil sebagaimana segelintir rasakan, ataupun suatu keadilan buat semua? Bagi kami, diskaun ni sedikit sebanyak boleh meringankan beban sesiapa yang terjejas ekoran pandemik. Ramai hilang kerja, hilang sumber pendapatan malah terpaksa keluarkan KWSP diorang untuk menyara keluarga. Kerajaan sasarkan golongan macam ni, sebenarnya.
Pendapat Ramon Navaratnam jugak perlu difikirkan dalam polisi PTPTN. Adakah ni suatu langkah jangka pendek je, ataupun bakal diteliti usai menjelangnya April tahun depan? PTPTN memang dah lama dikecam, dikritik dan ditekan. Jadi adakah ni suatu langkah untuk kembalikan keyakinan para peminjam dan memujuk diorang yang kurang terkesan akibat pandemik ni untuk melunaskannya?
Kami harap persoalan-persoalan kami jugak dipertimbangkan sewajarnya, dan mendapat respon positif daripada PTPTN. Buat masa ni, sesiapa yang nak lunaskan hutang PTPTN bolehlah berbuat demikian. Ambil peluang yang ada, dan langsaikan secepat mungkin untuk keringanan minda di hari lain.