Pas akan sertai kerajaan adalah imiginasi Fahmi

f1

Pas menegaskan pendirian parti itu bahawa tak mempunyai sebarang keinginan untuk menyertai kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) sebagaimana dakwaan yang tular.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiada sebab wujudnya perbincangan antara parti itu dengan Kerajaan Perpaduan sedangkan mereka tetap dengan pendirian bahawa tak akan bersama mendukung kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Hari ini sedang viral berita kononnya Pas sedang berunding untuk menyertai kerajaan perpaduan… poodah! Saya nak buat penegasan bahawa Pas tidak akan menyertai kerajaan PH-BN. Tidak ada sebarang perundingan, tidak ada sebarang perbincangan, mesyuarat dalaman parti atau bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap. Beliau pada masa sama turut membidas tindakan pimpinan UMNO yang telahpun bertindak membelakangkan pendirian parti semata-mata mahu bersama Anwar.

“Tiada sebab kita nak dukung macam UMNO, waktu kempen pada rakyat ‘No DAP! No Anwar! wallahi, wabillahi, bersumpah.

“Selepas pilihan raya apa yang berlaku? Dia jilat, langgar balik sumpah dia, waktu kempen PH serang UMNO..hoi hoi yahoi, macam-macam serangan dibuat, rakyat percaya UMNO takkan sokong Anwar dan DAP, rakan-rakan UMNO bagi undi pada UMNO, tiba-tiba selepas pilihan raya dia langgar keputusan parti dia,”jelasnya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut mengulangi pendirian bahawa Pas tetap berpegang pada janji tidak sama sekali akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP biarpun dikenakan pelbagai tekanan.

“Kita janji dengan rakyat ‘No Anwar! No DAP! Kita akan pegang janji sehingga pilihan raya akan datang insya-ALLAH walaupun peruntukan tak dapat,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bahawasanya terdapat banyak perbincangan mengenai desas-desus mengaitkan gabungan antara pembangkang dan Kerajaan Perpaduan.

“Banyak perbincangan,” jelasnya ketika ditanya media, namun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Lim Guan Eng mahu pastikan Pas tidak akan bersama kerajaan

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau sendiri telah berjumpa dengan menteri-menteri DAP dan kesemua mereka menyatakan bahawa perkara ini tidak pernah dibincangkan di peringkat tertinggi.

“Ketika sesi taklimat khas yang diadakan sebelum persidangan Dewan Rakyat kepada barisan ahli Parlimen kerajaan di Seri Perdana, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak menyentuh langsung apa-apa perbincangan dengan Pas.

“Sebaliknya, beliau menekankan rasa tidak puas hati dengan tindakan mempolitikkan pelaburan kerajaan oleh pembangkang, terutamanya apabila mengheret isu BlackRock ke dalam perolehan MAHB oleh Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya menerusi kenyataan di sini

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, negara seperti Arab Saudi juga mempunyai hubungan dengan BlackRock.

Jelasnya, PMX berkata sekiranya logik seperti ini yang mahu digunakan, maka Malaysia perlu memutuskan sepenuhnya hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat kerana memberikan sokongan terhadap Israel.

“Ini sudah tentu tidak masuk akal. Jelas sekali pihak yang cuba membuat tanggapan kononnya DAP terlibat dengan usaha untuk membawa Pas ke dalam kerajaan Persekutuan mempunyai niat menipu untuk memburukkan imej parti,” kata Guan Eng.

Tambahnya, pihak-pihak ini jelas lupa peranan jahat yang digerakkan sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-15, bagaimana terdapat gerakan dan usaha mereka bagi meletakkan Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan dengan menandatangani Akuan Berkanun yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Justeru, beliau berkata pihak-pihak yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan mesti berhenti menyampaikan khabar angin yang akan mengelirukan rakyat terutamanya apabila kita sedang menghadapi Pilihan Raya Kecil yang sukar iaitu DUN Sungai Bakap.

Jika tidak, katanya, mereka ini ibarat talam dua muka bagi Kerajaan Perpaduan, sedangkan hati mereka sebenarnya masih terpaut di luar.

Fahmi suka berimiginasi sendiri, itu sahaja

PAS menganggap kenyataan Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, bahawa parti itu mahu menyertai Kerajaan Perpaduan dan ada banyak perbincangan mengenainya sebagai imiginasi beliau sendiri.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kenyataan Fahmi itu juga tiada kaitan dengan realiti politik.

“Jelas ia bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dan menimbulkan persepsi buruk terhadap PAS, terutama dalam kalangan pengundi di DUN (Dewan Undangan Negeri) Sungai Bakap yang bakal memilih wakil rakyat baharu

“Justeru ahli dan penyokong PN tidak harus terperangkap dengan politik dan publisiti murahan pemimpin Pakatan Harapan (PH) ini,” katanya dalam satu kenyataan

Takiyuddin berkata rundingan yang disebut Fahmi terutama antara menteri besar di negeri yang ditadbir PAS dengan Perdana Menteri adalah rundingan biasa berkait urusan pentadbiran pusat dan negeri dalam sebuah negara Persekutuan.

Pada masa sama, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, mendakwa Fahmi terpaksa mengalihkan perhatian orang ramai kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN) dengan isu yang tidak berbangkit susulan kelemahan kerajaan terutama dalam mengendalikan kesan langkah penyasaran subsidi diesel.

“Suka ditegaskan bahawa PAS tetap kekal bersama gabungan serta kerjasama PN dan iltizam ini disebut sebelum ini oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man serta Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Ahmad Yahya. Perlu juga ditegaskan bahawa PAS bukan seperti parti dalam gabungan kerajaan yang sering mengubah janji dan pendirian mereka ketika sebelum pilihan raya dan selepasnya atau pada bila-bila masa lain yang perlu apabila tersepit dengan keadaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *