Isu BlackRock, Anwar beri penjelasan tuntas

f1

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan menghantar memorandum bagi menyatakan bantahan secara rasmi berhubung keputusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam menjual 30 peratus saham mereka kepada syarikat BlackRock.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, masa depan dan keselamatan negara boleh tergugat sekiranya kerajaan membenarkan penjualan saham MAHB kepada organisasi yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.

Ujar beliau, penyerahan memorandum pada minggu hadapan itu akan diberikan kepada tiga pihak iaitu Perdana Menteri, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional) dan MAHB.

“Malu sedikit kepada budak-budak yang boikot kerana menentang keganasan Israel. Tengok kebangkitan pelajar-pelajar termasuk di Amerika Syarikat (AS) yang menentang genosid di Gaza.

“Saya simpulkan tentangan kita terhadap MASB menjual saham kepada BlackRock ini bukan sekadar mereka membekal senjata kepada Israel yang membunuh wanita, kanak-kanak dan rakyat yang tidak berdosa secara zalim sudah melebihi 40,000 orang.

“Tetapi juga lebih penting jika kita izinkan BlackRock ini menguasai ataupun memasuki Malaysia, mereka akan bertapak dan ini boleh menggugat masa depan kemerdekaan negara kita,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan BlackRock, firma yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel, memiliki pegangan dalam MAHB.

Beliau turut menekankan BlackRock adalah syarikat senaraian awam dan tidak dimiliki rakyat Israel.

Dalam masa sama, Anwar menegaskan, pentadbirannya tidak membenarkan mana-mana syarikat dari Israel beroperasi di negara ini, namun bagi syarikat asing yang mempunyai kaitan dengan negara Zionis itu, tidak mempunyai keupayaan membatalkan kehadiran mereka kerana dikhuatiri menjejaskan ekonomi negara.

Jangan mainkan isu BlackRock secara berlebihan, ia tak relevan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan semua pihak khususnya pembangkang supaya tidak menjadikan isu penyertaan syarikat BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) sebagai ‘wayang politik’.

Beliau berkata, mana-mana pihak berhak untuk tak bersetuju dengan kerajaan, namun pada masa sama tak boleh menafikan usaha kerajaan di dalam menyuarakan isu di Gaza.

“Jangan guna isu ini (BlackRock), kerana isu ini (serangan di Gaza) seharusnya menyatukan kita… siapa yang izinkan syarikat Israel beroperasi di sini dulu?” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz di sini pada Jumaat.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil pendirian tegas untuk membatalkan kerjasama dengan semua syarikat yang membuka operasinya di Israel.

Bagaimanapun beliau berkata, tindakan sama tak boleh diambil bagi syarikat-syarikat berkaitan Israel yang beroperasi di negara lain buat masa ini bagi memastikan ekonomi negara tidak terjejas.

“Syarikat yang ada operasi di Amerika, Jerman, China, tapi ada kaitan dengan Israel, tiada upaya kita dalam keadaan sekarang membatalkannya kerana akan menjejaskan ekonomi negara. Jadi sementara saya akan keras memperjuangkan dan membela nasib rakyat Palestin khususnya di Gaza berdepan dengan siapa sahaja, tapi saya tidak mahu melemahkan kekuatan ekonomi negara. Kalau syarikat itu dari Israel, saya tetap tegas,” katanya.

Pembangkang ketika ini mendakwa BlackRock sebuah firma dikatakan mempunyai kaitan dengan Israel memiliki pegangan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

GIP beri penjelasan tentang apa yang sebenarnya berlaku

Global Infrastructure Partners (GIP) menegaskan BlackRock Inc tak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melalui Gateway Development Alliance (GDA).

Ketua Bahagian Pengangkutan di GIP dan Pengarah GDA, Phil Iley berkata, seperti yang diumumkan pada Januari lepas, GIP akan diambil alih oleh BlackRock dengan transaksi tersebut dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga 2024.

Beliau berkata, BlackRock mengiktiraf kepakaran GIP dalam pelaburan berkaitan infrastruktur.

“Selepas transaksi ini dimuktamadkan, pihak pengurusan sedia ada GIP akan mengekalkan kawalan penuh dan tanggungjawab bagi hala tuju strategik dan operasi GIP serta syarikat-syarikat di bawah pelaburan kami,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama.

GIP merupakan pelabur infrastruktur terkemuka yang menguruskan aset bernilai AS$112 bilion (RM527.5 bilion) bagi pihak pelaburnya, yang terdiri daripada kira-kira 500 institusi pelaburan di seluruh dunia.

Pada 15 Mei lepas, GDA dan pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh Konsortium, pada harga tawaran sebanyak RM11 sesaham yang bersamaan dengan RM18.4 bilion.

Konsortium itu diterajui oleh dua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan Malaysia – Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Iley berkata, GIP memiliki kepakaran dalam pelaburan, pengurusan dan pengoperasian antara perniagaan infrastruktur terbesar dan paling rumit di dunia, termasuklah beberapa lapangan terbang.

“GIP yakin dengan potensi yang ada pada MAHB dan Malaysia serta percaya bahawa GDA boleh mengembangkan lagi MAHB menerusi inisiatif yang menambah baik pengalaman penumpang, meningkatkan keterhubungan syarikat penerbangan dan menaik taraf infrastruktur lapangan terbang.

“GIP percaya inisiatif ini akan mewujudkan manfaat ekonomi yang berpanjangan bukan sahaja bagi MAHB dan para pemegang taruhnya tetapi juga buat ekonomi dan rakyat Malaysia,” katanya.

Fahmi dakwa isu ini dijadikan modal politik murahan

Tindakan beberapa pihak yang ‘menunggang’ isu penyertaan BlackRock Inc dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) merupakan satu tindakan politik sempit bertujuan mewujudkan persepsi jahat dalam kalangan rakyat.

Menyelar tindakan itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, ia bukan sahaja mewujudkan ‘kepalsuan’, malah menyifatkannya sebagai a very short sighted approach yang mampu merosakkan perancangan negara.

“Mereka yang cuba menunggang isu ini tidak melihat kepada kepentingan kita menambah baik mutu perkhidmatan di lapangan terbang.

“Sejujurnya, BlackRock tiada kaitan secara langsung dengan perbincangan antara MAHB dan Global Infrastructure Partners (GIP), syarikat yang dirasakan mempunyai kemampuan dan kepakaran untuk membantu kita memulihkan dan menambah baik lapangan terbang,” katanya kepada pemberita.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, BlackRock merupakan pelabur institusi dan terlibat sebagai pemegang saham pelbagai syarikat di seluruh dunia, bukan hanya di Malaysia.

Dalam isu penstrukturan semula MAHB, beliau menjelaskan, bahawa 70 peratus saham entiti itu dipegang Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan golden share, selebihnya kepada GIP, dan tiada saham dijual kepada BlackRock.

Justeru, beliau menegaskan semua keputusan strategik dalam MAHB masih di tangan kerajaan Malaysia antaranya dalam urusan menentukan pemilihan jawatan-jawatan penting termasuk pengerusi, ketua pegawai eksekutif, dan memastikan tiada mana-mana petugas akan dibuang kerja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *