Dr Akmal disekat ke Sabah, Anifah setuju

f1

Cadangan minta kerajaan negeri mengeluarkan sekatan terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dari memasuki Sabah disifatkan sebagai tak matang.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar berkata, pihak yang mencadangkan perkara itu perlu menyelidik dahulu sesuatu isu sebelum mengemukakan cadangan tidak masuk akal itu.

Katanya, kehadiran Dr Akmal di Sabah hanya untuk memenuhi undangan pihak tertentu dan beliau disambut mesra oleh seluruh lapisan rakyat.

“Rakyat Sabah dilihat sangat matang dalam mencerna isu berkaitan yang diperjuangkan oleh Dr Akmal khususnya bagi mempertahankan kalimah ALLAH daripada direndahkan darjatnya oleh pihak tertentu. Sekiranya mahu melarang Dr Akmal daripada memasuki Sabah dicadangkan adalah lebih baik mengeluarkan larangan terlebih dahulu mereka yang sengaja mencetuskan isu ini daripada memasuki Sabah,” katanya dalam satu kenyataan

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Christopher Mandut yang turut mendakwa tidak mengalu-alukan sebarang cubaan untuk memecahbelahkan rakyat di negeri ini.

Mohd Naim yang juga Bendahari Pemuda UMNO berkata, pemimpin seperti Christopher perlu keluar dan bergaul dengan pemimpin dari latar belakang yang berbeza agar pandangan lebih meluas dan tidak mudah terpengaruh.

“Sekali lagi saya ingatkan jangan terlalu mudah untuk mengeluarkan kenyataan yang disifatkan tidak masuk akal sekali gus menyekat hak Dr Akmal memasuki Sabah.

“Masyarakat di Sabah sangat matang tidak akan terikut-ikut budaya politik apa lagi memecahbelahkan rakyat di negeri ini,” jelas Mohd Naim.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan Timbalan Pengarah II Jabatan Pilihanraya UMNO Sabah, Datuk Fadilah Sabri menegaskan bahawa tiada isu perkauman berlaku di Sabah seperti yang dibangkitkan sesetengah pihak dengan menjadikan UMNO sebagai pencetusnya yang melibatkan isu kedai serbaneka KK Mart yang kini dalam siasatan.

Bagi Anifah Aman, memang patut pun Akmal ni disekat

Bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Anifah Aman bersetuju dengan cadangan sekiranya individu yang boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat dilarang masuk ke Sabah.

Beliau yang juga bekas Menteri Luar menegaskan bahawa tiada tolak ansur kepada individu yang boleh menyebabkan perpecahan dalam negara.

“Mungkin ini cadangan yang baik, sebab apa saja yang boleh menyebabkan perpecahan kaum, kita tidak boleh bertoleransi mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Invest Sabah Berhad

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan untuk melarang masuk Ketua UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh ke Sabah susulan kelantangannya bersuara mengenai isu stoking kalimah ALLAH yang dikaitkan dengan sebuah kedai serbaneka di Semenanjung, baru-baru ini.

Dr Akmal yang tiba di Kota Kinabalu bagi menghadiri program bersama Pemuda UMNO Sabah telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk diambil keterangan.

Beliau sebelum itu sepatutnya akan memberi keterangan di IPD Dang Wangi selepas kembali dari Sabah iaitu pada Sabtu.

Anwar kata akan siasat tanpa mengira warna parti

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa Dr Muhamad Akmal Saleh bukannya ditangkap, sekali gus bertentangan dengan kenyataan Ketua Pemuda UMNO itu sebelum ini.

“Saya rasa itu bukan tangkapan, dia (Akmal) dipanggil untuk disiasat,” katanya

Mengulas lanjut, Anwar turut mengingatkan mana-mana pihak tidak sesekali menggunakan isu stoking tertera kalimah ALLAH ataupun isu-isu sensitif lain untuk menghasut.

Menurutnya, kerajaan juga tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang mencabar institusi negara dan Perlembagaan tidak kira dari parti atau kedudukan seseorang itu.

“Jangan kita guna isu ini atau isu-isu lain untuk menghasut. Itu yang penting. Sama ada orang Islam atau bukan Islam.

“Jadi saya telah tegaskan dan saya perlu tekankan, kita tidak akan tolak ansur.

“Tidak peduli siapa, kedudukan dia, parti mana.

“Jangan diugut, sekiranya diambil tindakan apalagi kalau menyentuh 3R (agama, kaum dan raja-raja),” katanya.

“Institusi negara tonggaknya mesti dipertahankan, termasuk prinsip Perlembagaan, hak islam, hak bukan islam, semua itu tertera dalam Perlembagaan.

“Sekiranya mencabar, kita akan ambil tindakan tegas dan kalau disiasat, ditangkap, didakwa dan dihukum, itu jangan pertikai,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *