Satu figura yang mengukir namanya dengan ciapan-ciapan nakalnya, kali ni Elon Musk kembali nak ukir namanya menjadi ‘raja seluruh Twitter’. Sebelum ni, Elon Musk boleh dikatakan sorang pengguna Twitter yang aktif. Kini, dia ada sekurangnya 80 juta pengikut di Twitter dan terus mengumpul bilangan pengikut yang ramai setiap hari. Sorang usahawan ternama dalam bidang automotif dan aeroangkasa, idea-ideanya banyak menarik tumpuan seluruh dunia.
Salah satu ideanya untuk Twitter pula adalah nak jadikan Twitter ni satu ruang swasta. Kebebasan bersuara dan berpendapat masih dialu-alukan lagi, kata Elon. Bagi penganalisis lain, Elon sebenarnya ‘terlebih’ bayar syarikat Twitter tersebut kerana selama ni, ia tak berapa untung jika nak dibandingkan dengan servis media sosial lain. Namun di sebalik ideanya nak beli Twitter, ada beberapa sebab kenapa dia nak sangat Twitter.
Twitter ada potensi besar yang masih terkunci, antaranya tentang halangan kandungan
Keputusan Elon Musk ni mulanya nampak macam satu lawak jenaka. Terdahulu, dia beli saham Twitter dan dikatakan memiliki hampir 10% dari Twitter. Selalunya untuk mana-mana pemegang saham yang dah pegang banyak macam tu, diorang dijemput untuk duduk bersama lembaga pengarah. Elon Musk jugak dijemput untuk duduk bersama dengan lembaga pengarah.
Akan tetapi, satu mesyuarat dengan lembaga pengarah membuatkan dia taknak lagi ‘berkongsi’ Twitter dengan lembaga pengarah. Syaratnya, kalau dia nak jadi sebahagian dari lembaga pengarah tu.. dia tak boleh beli lebih dari 15%. Haa.. tu yang Elon Musk tak puas hati. Akhirnya, dia putuskan untuk taknak duduk dengan lembaga pengarah dan bercadang nak beli keseluruhan Twitter.
Bila dia ditanya kenapa nak beli Twitter… dia kata, Twitter ni ada potensi besar yang masih lagi belum dimanfaatkan sepenuhnya. Setakat ni, dia banyak sebut tentang kawalan kandungan. Selain dari tu, dia turut menggesa syarikat tu untuk tangani masalah akaun palsu – yang sebenarnya menampakkan bahawa dia nak lebih banyak kawalan berbanding nak jadikan ia benar-benar sebuah platform yang meraikan kebebasan bersuara.
Walau bagaimanapun, ada jugak ruang kebebasan yang diberikan sebelum ni banyak disalahgunakan pelbagai pihak. Syarikat media sosial, bukan setakat Twitter je, alami masalah nak kawal kandungan. Ruang kebebasan ni dijadikan alat untuk sebarkan berbagai maklumat palsu dan tak sahih, serta kata-kata yang boleh timbulkan kebencian dan kemarahan orang lain. Di Twitter, hal ni sangat kerap berlaku.
Model perniagaan Twitter yang berasaskan iklan jugak akan dimansuhkan sekiranya dia dapat miliki Twitter. Pengiklanan masih lagi menjadi saluran utama Twitter buat duit, jadi Elon rasa perkara tu patut diubah.
Khabarnya Twitter masih pertimbangkan pembelian keseluruhan saham, ada bangkitkan persoalan nak jual atau simpan je stok Twitter
‘Raja Twitter’ ni cadangkan kat lembaga pengarah Twitter, dia kata nak tawarkan $44 bilion USD untuk ambil alih Twitter. Buat masa ni, ada khabar angin kata Twitter dah setuju dengan tawaran Elon Musk sebab nilai yang ditawarkan tu melebihi nilai Twitter sekarang. Sejak khabar tersebut, stok didagangkan jauh lebih rendah. India Times membayangkan ni bermakna para pelabur ragui rundingan tu akan berjaya. Dulu, saham didagangkan sekitar atas $70 dalam tempoh setahun dan memuncak pada $80.75 pada Februari 2021.
Sejak Jack Dorsey yang merupakan pengasas bersama Twitter keluar dari syarikat tersebut, banyak penyusunan semula telah dilakukan dalam peringkat dalaman di bawah CEO baharu, Parag Agrawal. Namun tak banyak manalah perubahan tu. Lagipun, ia masih lagi jadi pilihan utama selebriti, ahli politik dan wartawan terkemuka walaupun pengguna Twitter tak sebanyak platform media sosial lain seperti Facebook dan TikTok.
Dorsey tak komen apa-apa pasal tawaran Elon Musk. Dorsey ni masih lagi antara pemegang saham terbesar Twitter. Sorang jurucakap Twitter pulak ketika ditanya oleh pihak media, taknak jawab keputusan pihak lembaga pengarah ke atas tindakan Elon Musk. Langkah sebegini boleh diistilahkan sebagai ‘poison pill’, atau pil racun dimana pihak Twitter boleh minta para pegawai bank dan penasihat kewangan untuk membantu dan meneliti perjanjian tersebut. Boleh jadi pembeli lain pun muncul bagi mengekang pengambilalihan Twitter.
Kemudian pada 26 April, lembaga pengarah bersetuju dengan tawaran Elon Musk. Itu pun lepas Elon Musk tunjukkan sekali dokumen yang membuktikan dia dah dapat perjanjian pembiayaan berniali $46.5 bilion daripada sekumpulan bank diketuai oleh Morgan Stanley bagi melengkapkan transaksi tersebut.
Langkah ni disambut gembira oleh Jack Dorsey. Baginya, syarikat tu dah lama dimiliki oleh Wall Street dan dah bergantung pada model iklan terlalu lama. Langkah ni turut disifatkan membawa Twitter ke jejak betul.
“Secara prinsipnya, saya tidak percaya sesiapapun patut miliki atau kawal Twitter. Ia perlu menjadi suatu yang membawa kebaikan bersama dalam peringkat protokol, bukan syarikat.”- seperti yang dilaporkan NBC News
The Motley Fool cuba menimbangkan kebaikan dan keburukan berita ni. Kalau Elon Musk berjaya ambil alih, boleh jadi ada keuntungan buat para pelabur Twitter berbanding keadaan dimana rundingan tu gagal. Kalau gagal, nilai stok boleh jatuh teruk nanti. Begitulah lumrah pelaburan… ada ganjaran, ada jugak risikonya yang perlu ditanggung.