Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menyeru umat Islam agar mengutamakan kemenangan dalam landskap politik negara, termasuk menangguhkan rancangan menunaikan ibadah haji ke Mekah. Merujuk kepada pengajaran daripada kehidupan Nabi Muhammad SAW, Hadi menegaskan penguasaan politik umat Islam ke atas penganut agama lain merupakan ketentuan Allah SWT.
Namun, Hadi mengulangi rungutan sebelum ini bahawa umat Islam di negara ini lebih cenderung menunaikan ibadah haji berbanding berusaha untuk menguasai pentadbiran negara.
“Utamakan kemenangan politik. Nabi nak tunaikan haji pun…nabi mendahulukan kemenangan politik daripada tunaikan haji dan umrah. (Ia) boleh ditangguh, kemenangan politik tidak boleh ditangguh,” katanya ketika berceramah pada majlis kempen calon PN untuk PRK DUN Ayer Kuning di Tanjung Keramat
“Kuasa politik yang tinggi mesti orang Islam. Allah tak izin orang bukan Islam atasi orang Islam dalam pemerintahan negara,” katanya.
“Kita mesti faham, kemenangan politik kepada Islam sangat penting. Islam mesti berkuasa dan memerintah, memimpin,” tegas presiden PAS itu.

Musim haji tahun ini dijangka bermula hujung bulan ini, dengan penerbangan pertama ke Tanah Suci dijadualkan pada 29 April — tiga hari selepas hari mengundi PRK Ayer Kuning.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022, Hadi pernah meluahkan kekecewaan terhadap kehadiran rendah pengundi Muslim, dan menyifatkan tidak mengundi sebagai dosa besar. Dia turut menyelar sikap segelintir pengundi Muslim yang memberi alasan sedang menunaikan haji atau umrah, selain menuduh ada yang menunggu bayaran sebelum turun mengundi.
Pengundi Ayer Kuning dijadualkan mengundi selepas tempoh kempen selama dua minggu, dengan PN menampilkan Ketua PN Tapah, Abd Muhaimin Malek sebagai calon manakala BN meletakkan Setiausaha Umno Tapah, Yusri Bakir. Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS melengkapkan pertandingan tiga penjuru bagi kerusi itu, yang dikosongkan selepas penyandangnya, Ishsam Shahruddin, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Mujahid berpandangan apa yang Hadi Awang katakan boleh mengelirukan masyarakat
Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyarankan supaya umat Islam menangguhkan ibadah haji dan umrah demi memberi keutamaan kepada perjuangan politik disifatkan sebagai fatwa politik yang sesat dan mengelirukan.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kenyataan Abdul Hadi itu dilihat merujuk kepada para pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak yang bakal diadakan tidak lama lagi.
“Beliau menyatakan bahawa menangguhkan ibadah haji dan umrah demi memenangkan perjuangan Islam merupakan satu tindakan terpuji, namun kenyataan tersebut secara jelas ditujukan kepada para pengundi PRK Ayer Kuning. Ini menimbulkan persoalan besar apabila ibadah yang merupakan rukun Islam kelima dianggap boleh diketepikan atas alasan politik pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan

Dr Mujahid turut mempersoalkan apakah maksud ‘perjuangan Islam’ yang dimaksudkan Abdul Hadi, sedangkan pilihan raya diadakan untuk memilih wakil rakyat yang mampu menawarkan khidmat terbaik kepada masyarakat, bukan medan menentukan siapa lebih Islamik atau sebaliknya.
Beliau menegaskan, kenyataan sedemikian perlu dipandang serius kerana boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam serta berisiko mencetuskan tafsiran hukum yang bercanggah dengan syariat Islam.
“Fatwa sebegini berpotensi mencemarkan kemurnian agama apabila ibadah seperti haji yang merupakan rukun Islam kelima, dianggap boleh ditangguhkan semata-mata untuk memenangkan calon pilihan raya. Sedangkan semua pihak maklum bahawa proses menunaikan haji bukanlah mudah. Ia memerlukan kelulusan ketat, tempoh menunggu yang panjang dan kuota yang terhad,” katanya.
Dr Mujahid berkata, kenyataan Abdul Hadi itu dilihat menjurus ke arah pemikiran takfiri apabila secara tidak langsung menggambarkan hanya Pas sebagai satu-satunya parti yang memperjuangkan Islammanakala pihak lawan dianggap menentangnya.
“Padahal kedua-dua calon yang bertanding adalah umat Islam yang mewakili parti masing-masing. PRK ini sepatutnya menjadi medan demokrasi untuk memilih siapa yang lebih layak memberi khidmat, bukan dijadikan medan menilai keimanan atau perjuangan Islam seseorang,” tegasnya.
Tambah beliau, sikap seperti ini bukan sahaja memesongkan kefahaman rakyat terhadap konsep Siyasah Syar’iyah, bahkan mengheret isu politik ke dalam ranah akidah. Beliau turut bimbang kenyataan sedemikian akan disambut secara taksub oleh penyokong tegar, sekali gus boleh meretakkan perpaduan ummah.
Dewan Ulama Pas Pusat pertahankan kenyataan Hadi Awang
Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) menyifatkan penekanan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai kepentingan penyertaan umat Islam dalam sistem pilihan raya berbanding urusan haji dan umrah adalah sesuatu yang sangat jelas.
Ketua DUPP, Datuk Ahmad Yahaya berkata, teguran sama pernah dibuat oleh Almarhum Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam kitabnya, Fiqh Awlawiyyat mengenai individu yang menunaikan umrah sehingga mengenepikan keperluan berjihad dengan harta atas jalan ilmu dan sebagainya.

Jelas beliau, fokus dalam isu itu bukan terhadap ibadah umrah dan haji atau apa jua ibadah khusus yang lain, tetapi terarah kepada menilai keutamaan-keutamaan yang ada dalam agama.
“Penyertaan dalam pilihanraya dan turun menunaikan kewajipan mengundi adalah bagi memenuhi kemaslahatan awam. Ia adalah soal tanggungjawab politik Islam untuk mengangkat seorang pemimpin yang akan membawa suara rakyat ke tengah selain mempertahankan agama di medan pentadbiran tertinggi di peringkat negeri. Dan bukankah realiti yang sudah terbentang di depan mata kita apabila kesalahan dalam satu saat kita memangkah di atas kertas undi, kita sedang merana dengan satu demi satu ketempangan polisi Kerajaan? Bagaimanakah semua ini tidak penting sedangkan ia adalah antara kewajipan yang utama dalam Islam?” katanya
Tambah Ahmad, pihak musuh politik kini sedang memberikan helah terhadap kenyataan Abdul Hadi itu disebabkan kehilangan hujah untuk mempertahankan pakatan songsang UMNO dan DAP ketika ini.
Menteri Agama minta ahli politik tidak gunakan agama demi kepentingan parti
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menegur semua pihak khususnya ahli politik, agar tidak menggunakan ayat suci al-Quran serta hadis sebagai modal di pentas ceramah terutama ketika kempen pilihan raya.
Beliau menegaskan perbuatan seumpama itu demi mencapai matlamat perjuangan politik, harus dielakkan, lebih-lebih lagi sekiranya yang memerlukan rujukan pihak berkuasa seperti Jabatan Mufti atau badan agama di negeri-negeri.
“Pada sayalah, kalau ia membabitkan pandangan hukum, sebaik-baiknya elak (berlaku) sebarang kekeliruan dalam kalangan rakyat. Jika membabitkan satu pandangan hukum, boleh merujuk Jabatan Mufti dan (badan agama) negeri-negeri sebab ini pihak yang berautoriti. Cuma, jangan menyalahgunakan untuk kepentingan politik, ini yang paling utama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri dan merasmikan ibu pejabat Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM)
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan pemimpin parti politik menggunakan agama sebagai bahan kempen di pentas ceramah, terutama bagi meraih sokongan pengundi.
Terdahulu, Mohd Na’im dalam hantaran melalui Facebooknya, menggesa supaya tiada mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan berhubung keutamaan menunaikan tanggungjawab mengundi berbanding mengerjakan ibadah haji. Beliau sekali gus meminta pihak terbabit mementingkan ilmu dan adab dalam membuat kenyataan berkaitan hal-hal agama.