Insiden tembakan New Zealand, selebriti muslim ni tak terkejut. Ini sebabnya

“Hello, Brother” merupakan kata-kata terakhir yang diucapkan oleh seorang lelaki Muslim yang berada di pintu Masjid Al-Noor, Christchurch, New Zealand. Sapaan tu dijawab dengan lima das tembakan, bertubi-tubi ke dadanya. Demikianlah situasi pedih yang dapat digambarkan dengan tragedi tembakan oleh pengganas di New Zealand siang tadi.

Via FB

 50 das tembakan dengan senapang jenis ‘semi-automatic shotgun’ dan ‘rifle’ di Masjid Al-Noor

Sekurang-kurangnya 49 orang terbunuh dan 48 tercedera ketika serangan pengganas dilakukan di masjid Christchurch melibatkan pengganas Australia berusia 28 tahun, Brenton Tarrant dari Grafton, New South Wales yang turut memuat naik video secara langsung di Facebooknya ketika melakukan tembakan yang tidak berperikemanusiaan itu. Para saksi melaporkan bahawa mereka terdengar 50 das tembakan dilepaskan daripada senapang jenis ‘semi-automatic shotgun’ dan ‘rifle’ di Masjid Al-Noor.

Mangsa yang cedera. Via TDB

Sebuah masjid berhampiran di Linwood, turut diserang selepas itu, 49 orang disahkan terbunuh – 41 dari masjid pertama, 7 dari masjid kedua. 4 orang yang belum dikenalpasti oleh unit anti-keganasan, ditahan untuk soal siasat. Polis New Zealand menyerbu sebuah rumah di Dunedin, dipercayai alamat di mana kereta penembak tersebut didaftarkan.

Penembak itu menyerbu ke dalam Masjid Al-Noor pada jam 1:30 petang, melakukan tembakan kepada 100 orang Muslim yang sedang menunaikan solat Jumaat. Video selama 17 minit yang mengerikan itu menunjukkan seorang lelaki pengganas yang berpakaian ala tentera menembak orang awam yang tidak berdosa, dan dengan tenang mengisi semula pelurunya setiap kali habis. Pada masa yang sama, serangan kedua di masjid Linwood Avenue, membunuh lagi 7 orang.

Maksud gambar yang ada kat senjata pengganas. Via FB

Ini merupakan pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah moden New Zealand. Pasukan kriket Bangladesh ketika itu sedang dalam perjalanan ke Masjid Al-Noor ketika serangan dilakukan. Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menggambarkan serangan kejam tersebut sebagai ‘antara hari paling gelap buat New Zealand.’

Legenda ragbi New Zealand lahirkan rasa simpati

Sonny Bill Williams, legenda ragbi All Blacks-New Zealand, telah meluahkan kesedihannya menerusi satu video yang penuh emosi sebagai tanda sokongan terhadap mangsa-mangsa tembakan di masjid di Christchurch tersebut. Beliau yang juga seorang peninju profesional yang menganut agama Islam, menzahirkan kesedihannya sehingga tidak dapat menahan daripada mengalirkan air mata.

“Baru saja mendengar berita itu dan saya tidak dapat menggambarkannya dengan kata-kata tentang bagaimana perasaan saya sekarang,” kata Williams di dalam video itu.

“Saya mendoakan kesejahteraan keluarga mangsa yang terlibat, terdapat hampir 30 orang yang terbunuh. Saya mendoakan kesejahteraan kepada semua yang terbunuh hari ini di Christchurch… kalian semua kini di dalam syurga, katanya lagi. “Saya sangat, sangat sedih perkara ini terjadi di New Zealand.”

Williams merupakan salah-seorang daripada 20 pemain ragbi di dunia yang pernah menjulang Piala Dunia Ragbi ‘Union’ sebanyak dua kali.

Dasar imigresen New Zealand yang salah menyebabkan pembunuhan ni?

Ketika seluruh dunia sedang terkejut serta dilanda kesedihan, Senator Queensland, Fraser Anning dikecam kerana memberikan komen yang sangat jelik berkenaan pembunuhan tersebut. Dalam kenyataan medianya yang mendapat kritikan hebat di media sosial, Fraser menyatakan bahawa serangan tersebut adalah reaksi kepada ketakutan yang semakin meningkat terhadap bertambahnya jumlah penduduk Muslim di dalam masyarakat Australia dan New Zealand. Beliau mendakwa bahawa faktor sebenar yang menyebabkan pertumpahan darah itu adalah kerana dasar imigresen New Zealand yang salah.

Kenyataan kontroversinya. Via Imgur

Tak semua netizen sebodoh dan sejahil Fraser. Rami Ismail telah mempopularkan tanda pagar #PeacefulMosques dengan mengesyorkan kepada pengguna Twitter Muslim untuk mengongsikan apa yang biasa berlaku di masjid ketika mereka mengunjunginya, dan menggalakkan netizen bukan Islam untuk retweet.

Antara perkongsian yang menarik adalah, ‘setiap kali Hari Raya Aidilfitri, orang dewasa akan berdiri di masjid dan memberikan duit kepada kanak-kanak sebagai hadiah kerana bangun seawall jam 5 pagi.’ Selain itu, ‘Kami selalu menganjurkan program ‘pot luck’ di masjid kami setiap bulan.’ Begitu juga ini, ‘Perkara paling tidak aman yang berlaku di masjid, adalah bila ada yang mencuri selipar anda selepas solat.’

Perdana Menteri New Zealand kata golongan imigran adalah sebahagian daripada mereka

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern telah mengeluarkan kenyataan yang kebanyakan mangsa adalah kelompok imigran yang jadikan New Zealand sebagai rumah diorang. Malangnya, benda yang mengerikan dah terjadi kepada mereka. Perdana Menteri New Zealand tu sempatkan sampaikan mesej, kelompok ini adalah sebahagian daripada mereka – dan kempen #theyareus semakin mendapat sambutan.

“Apa yang telah berlaku di Christchurch adalah satu keganasan luar biasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini, tidak ada tempat di New Zealand, dan kebanyakan mereka yang terlibat adalah ahli komuniti imigran dan New Zealand adalah rumah mereka,” – PM New Zealand

Selain tu, ada lagi seorang selebriti muslim Australia yang turut menyampaikan mesej kepada dunia yang dia tak terkejut dengan aksi-aksi keganasan macam ni. Sebabnya budaya islamphobia dan menyalahkan imigran terhadap benda ni semakin menjadi-jadi. Termasuklah senator Australia yang kata Islam ni agama fasis.

“Dari semua perkara yang boleh saya katakan malam ini-bahawa saya, saya takut, dan dipenuhi dengan rasa tidak punya harapan – hal yang paling tidak jujur boleh saya katakan adalah saya terkejut. Saya tidak terkejut. Tidak ada apa-apa tentang apa yang berlaku di Christchurch hari ini yang mengejutkan saya. ” – Waleed

Cuba tengok analisis dia tentang kejadian mengerikan ni;

 

Kejadian ni perlu mendapat kecaman yang luas, ia adalah kelakuan pengganas!

Selaku rakyat Malaysia yang prihatin, tanpa mengira apa juga agama serta fahaman politik, kita perlu mengutuk sekeras-sekerasnya kejadian tembakan ke atas umat Islam yang ingin mengerjakan solat Jumaat di Masjid Al-Noor serta Masjid Linwood di bandar raya Christchurch, New Zealand. Malah, kenyataan rasmi Wisma Putra juga menyatakan tragedi ini turut mengakibatkan kecederaan kepada dua orang rakyat Malaysia yang turut berada di tempat kejadian.

Paling utama, netizan di Malaysia perlu bersikap matang dan rasional, serta tidak terlalu teruja untuk menjadi orang pertama yang paling awal menyebarkan video serta berita tanpa mengetahui kesahihannya. Sebenarnya, memang itulah yang dimahukan oleh pengganas-pengganas tersebut: video, gambar serta spekulasi berkenaan jenayah yang mereka lakukan, disensasikan.

Fokuslah, bertenang serta sama-sama kita doakan keselamatan dan kesihatan mangsa-mangsa yang terlibat. Hormatilah sensitiviti keluarga mangsa yang terlibat. Jangan cetuskan sebarang spekulasi dan khabar angin yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum di negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *