Isu boikot barang bukan Muslim, ini pandangan beberapa tokoh

Sdss

Sejak akhir bulan lalu, ada seruan untuk orang Islam agar boikot produk bukan bumiputera, benda ni paling menonjol terutamanya kat media sosial. Perkara ni muncul kat tengah-tengah isu kaum dan agama yang semakin panas sejak isu Dr Zakir Naik dan tulisan Jawi muncul. Kempen boikot tu telah mengundang pelbagai pihak untuk berkongsi pandangan diorang.

Hari ni kami cuba melihat beberapa komentar daripada individu yang kami rasakan sesuai untuk dapat perhatian lebih ramai pihak. Antaranya…

Dibimbangi kempen macam ni akan beri kesan yang tak baik pada peniaga Muslim…

Salah satu pandangan individu yang kami nak ambik datang daripada Ustaz Wan Ji. Dia berpandangan latar belakang kempen ni bermula dari isu yang libatkan sentimen perkauman dan agama yang dimainkan oleh sesetengah kelompok dan parti politik.

Ustaz Wan Ji. Via MalaysiaKini

Selain tu, dia kata; jika kita buat kempen utamakan barangan Muslim, dikhuatiri syarikat bukan Muslim pulak akan buat kempen utamakan pekerja bukan Muslim. Takpun, peniaga kecil Muslim yang pembekal barangan jualannya adalah bukan Muslim, bimbang diorang berikan sedikit tekanan kepada peniaga Muslim dengan letakkan harga yang sedikit mahal dari kebiasaan.

Kalau benda ni terjadi, kempen memboikot ni hanya akan memangsakan peniaga Muslim yang bergantung dengan pembekal bukan Islam. Ustaz Wan Ji juga bimbang kalau-kalau kempen ni tak akan membawa kita ke mana-mana. Tetapi, hanya meninggalkan kesan tak baik pada hubungan kaum dan penganut agama dalam negara.

Antara poster yang viral. Via FB

Dalam hadis, ada diceritakan; nabi diminta oleh sahabat untuk lakukan penetapan harga kat pasaran. Masa tu, nabi tak mahu tetapkan harga di pasaran seperti yang diminta oleh sahabat, kerana mahu biarkan perjalanan harga barang berlaku dalam persaingan pasaran secara sihat.

Hadis ni dapat respons dan komentar dari ramai ilmuwan. Antara komentarnya adalah; apabila wujud persaingan dalam pasaran, sudah pasti setiap peniaga akan berusaha memastikan barangan diorang dibeli. Antara mekanisme yang mereka lakukan, diorang pastikan barangan jualan diorang tu ada kualiti, dan diusahakan mendapat harga yang murah.

Sebenarnya nabi dah perkenalkan konsep persaingan dari dulu lagi…

Konsep persaingan ni jugaklah yang diperkenalkan oleh nabi ketika baginda SAW mula-mula dilantik jadi ketua kerajaan Madinah. Baginda wujudkan pasar untuk Muslim supaya diorang bersaing secara sihat dengan pasar yang dikuasai Yahudi – iaitu dengan berikan tawaran yang berkualiti kepada masyarakat Madinah.

https://www.youtube.com/watch?v=h3k9fqSx8DE

Sebagai pembeli, sudah tentu kita mahu produk yang ada kualiti. Ditambah pulak dengan harga yang murah. Apabila seseorang peniaga Muslim jual produk yang tak ada atau kurang kualiti, ditambah pulak dengan harga yang mahal, barangan jualannya tak jadi pilihan orang ramai. Kalau penjual bukan Muslim jual dengan harga berpatutan dan berkualiti, sudah tentu produk tu kita akan pilih.

Dengan sebab tu, Ustaz Wan Ji berpandangan kempen yang sewajarnya dilakukan oleh Muslim adalah wujudkan produk yang berkualiti, bukan memilih produk Muslim.

Via Utusan

Seorang penjual nasi lemak yang produknya tak dibeli, perkara utama yang perlu dia lakukan adalah muhasabah dan cari punca produknya tak dibeli. Bagi memastikan nasi lemaknya dibeli, dia patut berusaha memastikan nasi lemaknya lebih sedap dari nasi lemak di kedai lain. Ditambah pula, dengan menawarkan harga nasi lemak yang murah.

Berfikir kunci kejayaan. Via Giphy

Macam tu jugaklah dalam persaingan ekonomi. Ketika kita gagal dalam persaingan, untuk atasi benda tu, bukan dengan menunggang nama agama, seperti jenamakan produk sebagai “makanan sunnah”, “produk islamik” atau sebagainya. Tindakan yang perlu adalah mengambil sikap produktiviti – mengemukakan produk yang lebih berkualiti berbanding orang lain.

Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim kata kempen boikot barang bukan Muslim tak patut wujud…

Bagi Tun Mahathir Mohamad pulak, tindakan boikot produk bukan Islam adalah tindakan orang yang cetek fikiran. Dia kata gerakan seperti tu tak akan datangkan kesan yang besar, malahan ia akan mengundang api kemarahan je.

“Mungkin ada yang cetek fikiran, dia buat benda yang semacam tu tak berkesan, buat apa? Boikot ini satu senjata yang tak berkesan, cuma akan timbulkan kemarahan sahaja. Jadi jangan boikot barang sesiapa pun,” – Tun Mahathir, seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani

Bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim pulak, dia kata kempen boikot produk bukan Islam adalah perbuatan yang tak sihat dan boleh timbulkan perbalahan antara kaum. Sebaliknya, dia kata kempen promosikan produk halal boleh diterima tetapi tidak boleh diterima kalau babitkan boikot produk tertentu.

“Kalau tujuannya mempromosi produk halal, itu boleh diterima. Tetapi tindakan sebegini (boikot) boleh menimbulkan perbalahan dan membabitkan isu antara kaum. Ia tidak sihat. Konotasi perkauman yang digunakan (dalam kempen) pada saya tidak sihat dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini,” – Anwar Ibrahim, seperti yang dilaporkan Berita Harian

Cuma, bagi PAS kempen ni bersifat inklusif dan kompetitif…

Bagi PAS pulak, diorang tegaskan kempen yang mengajak pengguna utamakan barangan muslim adalah tindakan inklusif dan kompetitif dalam konteks perniagaan dan perlu dilihat secara positif. Setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan kata kajian menunjukkan kempen sokong produk muslim akan bawa kesan positif kepada limpahan ekonomi yang lebih luas.

“Ia pastinya akan banyak membantu usahawan IKS (industri kecil dan sederhana) dan luar bandar serta menjadikannya lebih berdaya saing. Di samping itu ia akan memberikan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat terutama golongan belia yang kini ramai tidak berpekerjaan,” – Takiyuddin Hassan, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini

Takiyuddin. Via MalaysiaKini

Takiyuddin juga kata; kempen ni akan membawa kepada kitaran ekonomi ummah (termasuk bukan Islam) yang lebih progresif umpamanya dalam hal zakat, sedekah, waqaf dan seumpamanya.

Setiap orang ada pendirian masing-masing, tapi kalau kami utamakan kualiti dan harga…

Duit yang ada kat dompet dan akaun bank korang adalah duit hasil titik peluh korang, jadi kami takde hak nak suruh korang buat apa dengan duit korang tu. Cuma, bagi kami – apabila beli sesuatu barangan, kami akan perhatikan pada harga dan kualiti. Kalau produk tu guna ‘jenama Islam dan Melayu’, tapi tak berkualiti, kami tak beli.

So, apa yang penting untuk peniaga Melayu, Muslim, dan Bumiputera adalah untuk meningkatkan kualiti produk dan memastikan harga produk/servis diorang berpatutan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *