Sekumpulan pekebun durian yang terlibat dalam pertikaian tanah dengan kerajaan Pahang mendakwa pihak kerajaan melanggar perintah mahkamah apabila menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King.
Penasihat Save Musang King Alliance (Samka) Chow Yu Hui berkata anggota Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang bersama kakitangan Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah serta polis telah masuk ke kebun durian di Sungai Klau, Raub sekitar jam 11 pagi semalam untuk menebang pokok-pokok berkenaan.
“Apabila pekebun kembali untuk memeriksa kebun sekitar jam tiga petang, mereka dapati kebanyakan pokok durian Musang King yang ditebang berusia antara 30 hingga 40 tahun – hasil titik peluh berdekad lamanya. Pasukan penguat kuasa datang tanpa sebarang notis awal dan terus menebang pokok-pokok tersebut, menyebabkan kesukaran yang amat besar kepada para pekebun,” kata ahli Parlimen Raub
Chow mendakwa tindakan tersebut melanggar perintah Mahkamah Rayuan yang dikeluarkan pada 28 Mei tahun lalu, yang melarang sebarang perobohan struktur atau penebangan pokok durian di tanah yang terlibat dalam pertikaian sementara perbicaraan sedang berjalan, kecuali dengan kebenaran mahkamah.

“Kami akan memulakan tindakan undang-undang untuk memastikan kerajaan negeri bertanggungjawab, menuntut pampasan atas kerosakan, dan mempertahankan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Chow menyeru pihak berkuasa agar menghentikan penebangan pokok durian dan menghormati perintah mahkamah, sambil menegaskan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan pagi sema;am boleh dianggap menghina mahkamah.
Dia juga menggesa kerajaan supaya menangani isu tersebut secara lebih berperikemanusiaan melalui dialog terbuka, bukannya melalui “pengusiran secara kejam”.
Beberapa laporan polis telah diterima, termasuklah tangkapan
Tiga laporan polis telah diterima berhubung tindakan penguatkuasaan ke atas kebun durian haram di kawasan Sungai Ruan, Raub.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abd Rahman berkata, laporan tersebut berkait dengan dakwaan tindakan menghalang penjawat awam dalam menjalankan tugas, yang difailkan oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).
“Kita terima tiga laporan termasuk daripada pihak UPNP pada 10 April lalu apabila penguatkuasaan disekat laluan oleh sekumpulan pekebun durian haram. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya
Penduduk Raub Bentong yang mendakwa anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan UPNP kena sekat dengan penduduk Sungai Klau. Difahamkan sekumpulan pekebun itu diketuai Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui. Mengulas lanjut, Mohd Shahril berkata, pihaknya yang dibantu PGA berjaya mengawal keadaan tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Katanya, kira-kira 50 pekebun telah bertindak menghalang laluan dengan membawa kain rentang bagi menunjukkan ketidakpuasan hati kerana penguat kuasa memusnahkan tanaman yang didakwa telah ditanam sekitar 30 tahun lalu.
“Jadi, kita dan PGA Batalion 7 telah berjaya mengawal keadaan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Shahril menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam mana-mana himpunan bantahan operasi pemusnahan tanaman pokok haram di daerah Raub.
“Hormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan berkenaan permohonan semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah oleh pekebun durian musang king di daerah Raub pada Julai tahun lalu,” katanya.
Ahli Parlimen (AP) Raub, Encik Chow Yu Hui, dan Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Encik Wilson Chang, ditahan polis pada 14 April, bagi membantu siasatan kerana didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan kebun durian haram di Raub, Pahang.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata mereka ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub pada petang 14 April.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas,” katanya, lapor Astro Awani.
Difahamkan, Encik Chow yang juga Penasihat Samka dan Encik Chang hadir ke IPD Raub pada 4 petang 14 April untuk dirakam keterangan, sebelum ditahan.
Kes pencerobohan tanah milik kerajaan Pahang bagi tanaman durian turut mendapat perhatian Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, yang menegaskan tanah di Pahang tidak boleh diceroboh sewenang-wenangnya dan tindakan sewajarnya harus dikenakan kepada mereka yang terlibat.
Sultan Abdullah turut meminta supaya rakyat menjadi ‘mata dan telinga’ untuk beliau dalam menyalurkan maklumat mengenai isu pencerobohan tanah di Pahang.
SAM harap pihak berkuasa tidak tunduk kepada tekanan politik
Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa penguat kuasa agensi kerajaan di Pahang tidak tunduk dengan tekanan mana-mana ahli politik dalam isu pencerobohan pekebun durian di Sungai Ruan, Raub.
Pegawai Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman, berkata kerajaan harus mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang didapati menceroboh hutan simpan kekal serta tanah kerajaan negeri.

Menurutnya, pembukaan tanah secara haram bukan sahaja berisiko merosakkan ekosistem alam sekitar, malah tidak menyumbang walau satu sen kepada pembangunan ekonomi kerajaan negeri.
“Hutan simpan kekal penting sebagai kawasan tadahan air, namun apabila pihak tidak bertanggungjawab menceroboh untuk pertanian, penggunaan baja dan racun yang tinggi akan diserap tanah dan ikut mengalir ke dalam sungai, pihak pengurusan air pula terpaksa mengeluarkan kos yang lebih banyak untuk merawat sungai tercemar.
“Dalam Seksyen 10 Akta Perhutanan Negara 1984 menggariskan tujuan hutan simpan kekal antaranya untuk tadahan air, perlindungan hidupan liar atau pengeluaran kayu, jika diwartakan sebagai hutan simpan maknanya kerajaan boleh dapat hasil dengan cara pembalakan yang selektif.
“Tetapi kalau diteroka secara haram, satu sen pun kerajaan tak dapat hasil. Rugi kepada biodiversiti dan ekosistem persekitaran, keduanya kerugian pada kerajaan negeri kerana tak dapat hasil langsung,” katanya