Isu persaraan Tengku Maimun, ramai suarakan pandangan

f1 min (17)

Ahli Parlimen Pembangkang mempersoalkan tindakan kerajaan yang masih gagal memuktamadkan keputusan berhubung pelanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan. Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan sepatutnya berbuat demikian lebih awal sebelum tarikh persaraan wajib mereka, selaras kelaziman amalan kehakiman sedia ada.

“Kebiasaan dalam sistem kehakiman menunjukkan pelanjutan perkhidmatan bagi hakim-hakim tertinggi yang menghampiri umur persaraan wajar dipertimbang dan dimuktamadkan segera selaras peruntukan nyata dalam Perlembagaan bagi memastikan kelangsungan, kestabilan dan keyakinan terhadap institusi kehakiman.

Selain menjadi amalan yang diterima pakai sekian lama, tidak keterlaluan jika dikatakan menjadi hak bagi Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Besar dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan diberi pertimbangan munasabah pelanjutan perjawatan mereka demi kebaikan perkhidmatan, sama seperti yang pernah dilakukan terhadap hampir semua hakim tertinggi sebelum ini,” katanya

Dalam pada itu Takiyuddin turut mempersoalkan ketelusan dan niat sebenar kerajaan selain bimbang wujud potensi gangguan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara. Malah ujarnya, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihak berkuasa yang masih tidak membuat sebarang pengumuman atau penjelasan berhubung perkara berkenaan amat mendukacitakan.

whatsapp image 2023 07 31 at 9.28.49 am
Takiyuddin. Via Kosmo!

“Lebih membimbangkan sekiranya keputusan tersebut ada kaitan dengan kemelut yang dikatakan wujud dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) berhubung calon-calon bagi jawatan-jawatan tertinggi badan kehakiman. Jika benar, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang dan pemisahan kuasa antara cabang eksekutif dan kehakiman,” tegasnya.

Justeru Ahli Parlimen Kota Bharu itu menggesa Perdana Menteri tampil memberi penjelasan terbuka berhubung perkara tersebut secara adil dan telus dengan berpandukan Perlembagaan serta amalan kehakiman yang mapan. Beliau menegaskan, badan kehakiman tidak boleh dijadikan medan permainan politik atau kepentingan sempit mana-mana pihak selain maruah dan kebebasan institusi itu perlu dipertahankan tanpa kompromi.

Sebagai rekod, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dijangka bersara pada 30 Jun apabila mencapai umur persaraan wajib iaitu 66 tahun.

chief justice tun tengku maimun tuan mat sb 07 theedgemalaysia 0 0
Tengku Maimun. The Edge Malaysia

Selain Tengku Maimun, turut belum menerima lanjutan ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan. Abang Iskandar dijangka bersara pada 1 Julai manakala Nallini akan bersara pada 21 Ogos depan selepas masing-masing mencapai umur persaraan wajib.

Mengikut Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, hakim Mahkamah Persekutuan boleh diberi lanjutan perkhidmatan selama enam bulan selepas mencecah umur 66 tahun, tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Peguam Malaysia gesa umumkan pelantikan baru, Arul PSM kritik Anwar

Majlis Peguam Malaysia menggesa kerajaan segera mengumumkan sebarang pelantikan baharu atau lanjutan tempoh Ketua Hakim Negara mengikut Perlembagaan dan proses Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bagi mengekalkan keyakinan awam terhadap institusi kehakiman.

Gesaan itu dibuat selepas timbul kebimbangan apabila tiada pengumuman rasmi dikeluarkan sedangkan tempoh perkhidmatan penyandang akan berakhir. Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab, jawatan Ketua Hakim Negara bukan sekadar simbolik, sebaliknya teras kepada integriti, kebebasan dan kelancaran keseluruhan sistem kehakiman.

“Kegagalan menangani isu ini tepat pada masanya mencerminkan kelemahan tadbir urus dan boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat, sekali gus membuka ruang kepada spekulasi,” katanya

Mohamad Ezri menegaskan Majlis Peguam tidak pernah melobi mana-mana individu untuk dilantik atau dilanjutkan tempoh perkhidmatannya, sebaliknya berpegang kepada prinsip memelihara institusi kehakiman. Tambahnya, isu berkenaan bukan berhubung sokongan terhadap individu tertentu, tetapi tuntutan ketelusan dan kepatuhan kepada amalan demokrasi berperlembagaan.

bar3 1742041496
Via Berita Harian

Beliau memaklumkan negara sebelum ini mempunyai teladan jelas dalam melantik pemangku atau membuat peralihan kepimpinan kehakiman lebih awal, menjadikan situasi terkini sebagai luar biasa dan berbahaya.

“Ketiadaan keputusan rasmi memberi ruang kepada khabar angin dan menghakis keyakinan awam, sesuatu yang sepatutnya boleh dielakkan,” jelasnya

Dalam pada itu beliau turut merujuk kenyataan Perdana Menteri pada Isnin yang menolak sebarang usaha melobi lanjutan jawatan Ketua Hakim dan menekankan keperluan melindungi badan kehakiman daripada politisasi.

“Majlis Peguam menyokong sepenuhnya prinsip supaya pelantikan kehakiman bebas daripada tekanan politik atau luar. Bagaimanapun, majlis ini mengingatkan agar kebimbangan sah berhubung kelewatan institusi tidak disamakan dengan cubaan mempolitikkan proses pelantikan. Kebebasan kehakiman bukan sekadar slogan tetapi mesti dipertahan melalui tindakan tegas dan keputusan yang membina kepercayaan, bukannya kecurigaan,” tegasnya.

Sementara itu, keengganan Perdana Menteri Anwar Ibrahim melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat adalah satu pengkhianatan, tegas Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan.

Dia memuji ketua hakim wanita pertama negara itu sebagai salah seorang yang terbaik, dengan menyatakan bahawa dia tidak pernah tunduk kepada tekanan eksekutif dan sentiasa berkongsi pandangannya tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Dia boleh mengambil jalan yang lebih mudah, mungkin juga mendapat pelanjutan, namun dia memilih pendirian berprinsip yang kebanyakan rakyat Malaysia hormati,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Mempersoalkan jika Malaysia sedang dilanda satu lagi krisis kehakiman sejak penyingkiran Salleh Abas sebagai ketua hakim negara dan lima hakim Mahkamah Agung pada 1988, Arutchelvan mengkritik sikap berdiam diri Pakatan Harapan (PH) berhubung perkara itu.

dbhelcgumaarlhm
Arul. Via Twitter (X)

“Sikap berdiam diri gabungan yang kononnya reformis ini amat membimbangkan. Apa yang berlaku kepada hati nurani demokrasi DAP, Amanah, dan PKR, ini adalah parti-parti yang pernah memperjuangkan kebebasan kehakiman ketika menjadi pembangkang.

“Adakah mereka sudah begitu berpaut dengan kuasa sehingga kini berselindung di sebalik istilah ‘prerogatif perdana menteri’?” soalnya.

Arutchelvan berkata terdapat banyak kekecewaan terhadap Anwar sejak dia menjadi perdana menteri, dan tindakannya sering diwajarkan dengan alasan survival politik.

“Namun keengganannya melanjutkan tempoh perkhidmatan Tengku Maimun akan menjadi pengkhianatan kepada badan kehakiman dan negara. Populariti Anwar akan melonjak dalam sekelip mata sekiranya dia mengekalkan Tengku Maimun, kerana Tengku Maimun suar harapan untuk integriti institusi. Sebaliknya, Anwar telah menguasai taktik berpegang teguh kepada kuasa – satu pengajaran yang mungkin dipelajari daripada (bekas perdana menteri Dr) Mahathir (Mahathir).

“Tiada siapa menjangka Mahathir sebagai seorang demokratik atau reformis, tetapi kami meletakkan harapan kami kepada Anwar: bekas pemimpin pelajar yang dipenjarakan di bawah ISA, diserang dalam tahanan, dan dipenjarakan atas tuduhan yang dibuat oleh Mahathir dan kami percaya Malaysia telah bergerak ke hadapan sejak serangan eksekutif terhadap kebebasan kehakiman pada 1988,” tambahnya.

Anwar menjawab semua soalan berkenaan kritikan terhadap beliau

Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas dakwaan cubaan untuk melobi kerajaan melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Dalam ucapannya di Jabatan Perdana Menteri pagi ini, dia menggelar langkah itu sebagai percubaan untuk mempolitikkan badan kehakiman dan menegaskan ia tidak sepatutnya berlaku dengan institusi bebas seperti itu.

download (2)
Anwar. Via MalaysiaKini

“…tentang penjawat awam, atau hakim, mana-mana pegawai yang tiba tempoh persaraan dia, dia ada prosedur dia. Tempoh persaraan, tidak automatik bila bersara, tidak automatik sambung.

“Dalam keadaan ini, saya ditegur, makna ada satu kempen, mesti sambung orang ini, jangan sambung orang ini.

“Ini bermakna jadi institusi yang sepatutnya berintegriti dan bebas itu dipolitikkan. Bila jadi wacana umum politik, makna kalau tak sambung, kumpulan ini setuju, kalau sambung kumpulan ini setuju, jadi tak wajar lagi,” kata Anwar

Anwar secara sinis berkata jika amalan sebegitu dibenarkan kerajaan, mereka akan melihat penjawat awam lain seperti Ketua Setiausaha Negara (KSN) mula melobi untuk mengekalkan jawatan mereka.

“Jadi kalau saya esok, penjawat awam, KSN sebelum enam bulan habis, dia kempen habis-habisan, kalau tak sambung khianat.

“Kumpulan yang tak setuju dengan dia pula akan kata kalau sambung khianat. Tapi tak pernah berlaku begitu dan tak harus berlaku begitu,” tegas Anwar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *