Akibat kes COVID-19 yang semakin meningkat, penduduk buat PKPD sendiri

F1

Kempen #KitaJagaKita setakat ni amat diterima rakyat, dan selalu dijadikan sebagai suatu peringatan kepada ahli keluarga dan masyarakat. Walaupun dengan situasi politik dan ekonomi yang tak menentu ni, kita tetap teguh berdiri sesama rakyat. Ketika detik kritikal seperti nilah, kita dapat melihat wajah sebenar seseorang termasuklah bagaimana reaksi sesetengah pemimpin yang macam takde rasa salah dan mudah salahkan rakyat kembali.

Kali ni, kempen tersebut bukan setakat kempen yang hangat diselit dalam ciapan dan hantaran di media sosial. Semangat ‘rakyat jaga rakyat’ dibuktikan apabila para penduduk sendiri dah merancang kawalan kendiri terhadap kawasan perumahan mereka. Bagaimana mereka lakukannya?

Desa Puteri
Via Malaysiakini

Lepas buat ujian saringan dan disahkan ada positif COVID-19, penduduk buat PKPD sendiri

Pada awal Oktober, kita dah mulai melihat lonjakan kes hari demi hari di beberapa negeri termasuklah kat Selangor. Dahlah diduga takde air, kali ni Selangor turut dicabar lagi dengan risiko penularan pandemik sekali lagi. Di kompleks perumahan Desa Puteri dalam Bandar Puteri di Rawang, sorang penduduk dipercayai dah buat saringan dan didapati positif COVID-19.

Susulan dari usaha saringan kendiri penduduk tersebut, hal ni tak didiamkan je. Dalam tempoh menunggu keputusan tersebut sejak hari pertama sorang penduduk tu berani buat ujian pada 7 Oktober, para penduduk perumahan Desa Puteri mengambil keputusan yang besar. Kami rasa ni merupakan suatu yang amat perlu dipuji, walaupun diakui tindakan tersebut amat bergantung kepada budi bicara masyarakat setempat.

Desa Puteri1
Sunyi je Desa Puteri… Via Malaysiakini

Antara keputusan besar yang kami maksudkan adalah mereka terus buat ‘lockdown’ atau PKPD sendiri dari 7 Oktober lagi. Ternyata ia adalah satu tindakan yang tepat, sebab orang tersebut disahkan positif pada 9 Oktober. Selain dari tu, mereka turut buat ‘task force’ sendiri bagi membendung penularan pandemik tersebut ke kawasan yang lain.

Memang dah ada cadangan dan permintaan dari para penduduk agar kerajaan kenakan sekatan pergerakan kat kawasan mereka, namun tak mendapat apa-apa jawapan lepas tu. Akhirnya kena buat sendiri jugaklah gayanya dan mujurlah keputusan mereka turut mendapat perhatian daripada beberapa persatuan kebajikan dan wakil rakyat Kuang, Salehuddin Amiruddin.

“Para penduduk memberi kerjasama sepenuhnya- majoriti daripadanya tak keluar rumah selagi mereka takde urusan yang mustahak untuk keluar rumah. (Bantuan makanan) memberi kami kekuatan untuk bertahan selama dua minggu, untuk benar-benar duduk di rumah dan hanya keluar apabila perlu seperti pergi ke kerja.”- Joseph Ninting Jantin, pengerusi Persatuan Penduduk Taman Desa Puteri, seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Desa Puteri2
Via Malaysiakini

‘Task force’ tumpukan usaha bekerjasama jaga komuniti termasuklah adakan bacaan Yassin berjemaah dalam talian

Antara program yang dilaksanakan termasuklah pemantauan terhadap keluarga penghuni di sana atas permintaan ahli keluarga yang jauh dan bacaan Yassin secara berjemaah dalam talian sebagai salah satu pengisian penguat semangat. Dengan penutupan masjid, tentunya pengisian seumpama ni memang bagus jugak untuk para penduduk.

“Tiap-tiap malam memang baca Yasin termasuk mereka yang berada di hospital pun ikut serta. Apa saja masalah mereka, kita cuba beri motivasi. Ada yang mengadu minta tolong tengokkan keluarga (di rumah), semua kita jaga kebajikan dan bekalan makanan,”- Suryadi Mohamed, pengerusi Surau Al-Hidayah Desa Puteri, seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Meet Yassin
Penutupan masjid dan surau hanya bertukar ‘lokasi’ je. Ni contoh majlis online.. Via SchoolandCollegeListings

Selain tu, ‘task force’ ni jugak bertanggungjawab berkongsi maklumat penting kepada para penduduk dan mengagihkan bantuan makanan kepada mereka yang terpaksa dikuarantin. Kira-kira lebih 470 rumah telah dikenalpasti di bawah pemantauan kesihatan, termasuklah kontak rapat daripada beberapa pesakit yang dah positif.

Walau bagaimanapun, sorang penduduk tempatan kata dia terkilan sedikit dengan kelambatan tindakan kerajaan untuk membantu kawal penularan pandemik tersebut kat kawasan mereka. Langkah awal yang diambil oleh para penghuni sebenarnya boleh dilihat sebagai suatu tindakan yang berjaya memutuskan rantaian lain, lagi-lagi apabila 24 Oktober lalu, 31 orang residen disahkan positif daripada 2000 yang disaring.

Berikutan kewujudan kes baharu di Desa Puteri, Exco Kesihatan Awam Selangor Dr. Siti Mariah Mahmud kata kerajaan negeri akan buat lebih banyak saringan dengan kerjasama klinik Selcare di bawah seliaan kerajaan negeri. Pujinya lagi;

“Saya ada ke bilik gerakan yang ditubuhkan penduduk. Mereka buat kerja yang menakjubkan, mencatat semua kes berkaitan, alamat, dan hantar makanan kepada keluarga yang terjejas,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Perkara ni suatu langkah yang baik, tapi kami harap kerajaan negeri dan persekutuan sekali dapat teruskan dan mantapkan lagi usaha perang melawan pandemik. Rakyat tengah tajam memerhati ni…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *