Khabib bersara dengan rekod bersih, rupanya bapanya juga bekas ahli bela diri

Fr
Khabib bersara dengan rekod bersih, rupanya bapanya juga bekas ahli bela diri

Bagi yang tak mengikuti perkembangan sukan MMA, korang mesti sekurang-kurangnya pernah terjumpa nama ni kat media sosial dan buku: Khabib Nurmagomedov. Lepas pertembungan hangatnya dengan Conor McGregor, kami tengok ramai semakin mengenali Khabib. Lantaran dia jugak adalah ahli sukan beragama Islam yang begitu besar potensinya, ramai jugak yang tumpang bangga dengan kejayaan Khabib menumpaskan lawan di gelanggang MMA.

728 X 90

Namun perlawanan terakhirnya, iaitu lepas menang menentang Justin Gaethje; dia umumkan persaraannya dari gelanggang sukan MMA dengan rekod bersih tak pernah kalah sejak 2008. Tu suatu perkara yang amat menakjubkan, dan sempena ‘meraikan’ juara ni… kami ringkaskan sedikit bagaimana perjalanannya sebagai seniman bela diri campuran (mixed martial arts) hinggalah tahun ni.

Khabib Ufc
Ni lah Khabib… Via Berita Harian

Umur 9 tahun dah bergusti dengan beruang, Khabib adalah Muslim pertama berjaya menang gelaran juara UFC

Latar belakang Khabib sebenarnya banyak mendedahkan dirinya kepada sukan mempertahankan diri. Anak kelahiran Dagestan, Rusia ni selalu tampil dengan topi Papakha yang merupakan sebahagian dari pakaian tradisi etnik Avar. Dia membesar dalam kalangan keluarga yang besar, dan lepas berpindah ke Kirovaul, bapanya membuka sebuah gimnasium sekaligus menjadi pusat latihan mempertahankan diri di sana.

Minatnya terhadap seni mempertahankan diri semakin besar apabila dia sendiri mulai dilatih bergusti di bawah tunjuk ajar bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov. Bapanya pun sebenarnya bekas atlet bela diri dan bekas tentera yang turut menerima latihan seni bela diri Sambo dan Judo semasa perkhidmatannya dulu. Rupanya bukan calang-calang orangnya yang latih Khabib.

Khabib Abdulmanap
Khabib bersama arwah bapanya, Abdulmanap… Via Wikimedia

Selain berguru dengan bapanya, dia jugak berguru dengan beruang ye. Memang dah menjadi ‘tradisi’ anak-anak etnik Avar untuk belajar gusti, termasuklah terpaksa bergusti dengan beruang. Tak pastilah beruang tu saiznya besar macam mana… tapi kita dah boleh bayangkan betapa berani dan sukarnya nak lawan dengan haiwan ganas dari hutan.

Ketika umurnya mencapai 12 tahun, dia dahpun siap latihan dalam gusti lalu meneruskan latihan pada umur 15 tahun dalam Judo. 2 tahun kemudian, dia belajar Sambo daripada bapanya. Kebetulan pada waktu tu jugak, bapanya turut bekerja sebagai jurulatih Sambo untuk pasukan kebangsaan Dagestan dan melatih beberapa atlet bela diri Sambo di Makhachkala.

Bermula September 2008, dia menceburi sukan MMA dan menjadi juara dalam Atrium Cup dan ProFC. Rekod tersebut sudah pasti menarik perhatian pihak UFC yang kemudiannya menandatangani 6 perlawanan di gelanggang UFC bermula 2012. Banyak betul ranjau duri yang melingkari perjalanan Khabib di UFC, namun detiknya memegang gelar juara UFC tiba pada 2018 selepas mengalahkan Al Iaquinta.

“Jangan hina agama, jangan hina negara saya”, Khabib dan McGregor tetap didenda lepas insiden bergaduh

Conor McGregor dikenali ramai bukan setakat kerana bakat dan kemahirannya di gelanggang seni bela diri. Dia jugak dikenali ramai kerana dilihat mempunyai sikap yang kasar, terburu-buru dan mudah marah. Jadi apabila Khabib bertembung dengan McGregor, perlawanan bersejarah tu begitu penting buat para peminat MMA kerana dari satu sudut, kita melihat sorang pejuang yang tak pernah kalah dan McGregor, pejuang kasar yang bengis.

Berbanding Khabib jugak, nama McGregor lebih terkenal sebab banyak buat promosi untuk UFC dan turut menjadi duta produk-produk lain termasuklah arak. Namun sebelum pertembungan tu jugak, khabar angin menyatakan bahawa sebenarnya kumpulan McGregor dah awal-awal nak ‘takut-takutkan’ Khabib dengan menyerang bas yang dinaikinya.

Dalam pertembungan Khabib vs McGregor, McGregor kalah sehingga Khabib mendakwa McGregor sempat merayu agar tak bunuh dia dalam perlawanan tu ketika lehernya dikunci, menyebabkan McGregor mengalah dan ‘tapped out’. Apa yang terjadi lepas tu lebih menaikkan darah; kumpulan McGregor memaki dan sengaja nak buatkan kumpulan Khabib marah apabila dah sentuh bab agama dan negaranya.

Khabib meluahkan rasa geramnya lepas insiden dirinya meluru ke kawasan McGregor, dipercayai nak tumbuk beberapa anggota yang sokong kem McGregor.

“Saya cuma manusia biasa, tapi saya tidak faham bagaimana orang boleh bercakap tentang (saya) melompat ke dalam gelanggang apabila dia (McGregor) bercakap tentang agama saya, bercakap tentang negara saya, bercakap tentang bapa saya dan dia datang ke Brooklyn dan rosakkan bas dan hampir membunuh beberapa orang (penumpang) di dalamnya. Apa benda ni?”- Seperti yang dilaporkan TheUndefeated.com

Keputusan yang diambil Nevada State Athletic Commission (NSAC) untuk menggantung dan mendenda kedua-duanya pun terlihat berat sebelah jugak, sebab Khabib digantung 9 bulan dengan denda $500,000 manakala McGregor cuma digantung 6 bulan dengan denda $50,000. Khabib akhirnya membuka mulut dan memutuskan untuk tak ingin lagi bertanding di Nevada.

Setelah menang melawan Gaethje, buku rekod bersih tak pernah kalah ‘ditutup’

Dengan gelar nama “the Eagle”, atau Helang, perlawanan melawan Justin Gaethje baru-baru ni merupakan perlawanan pertamanya untuk tahun ni dan jugak merupakan perlawanan terakhirnya. Katanya usai perlawanan;

“Saya juara UFC unggul dan belum pernah ditewaskan dengan rekod 13-0 (dalam UFC) dan 29-0 keseluruhan dalam karier profesional MMA saya. Saya berjanji kepada ibu saya yang ini adalah pertarungan terakhir. Saya tidak mungkin akan ke sini lagi (gelanggang) tanpa bapa saya,”- Seperti yang dilaporkan Berita Harian

Conor McGregor dan Christiano Ronaldo antara atlet terkenal yang mengucapkan tahniah atas kemenangannya, sekaligus turut mengucapkan takziah atas pemergian bapanya. Dengan tercetusnya pandemik yang mengorbankan ribuan nyawa termasuklah Abdulmanap Nurmagomedov, ni jugak menjadi titik dimana sang helang jugak perlu terbang akhirnya.

2 minggu sebelum pertarungan ni, dah ramai boleh meneka keputusannya untuk bersara walaupun ketika tu, belum ada kenyataan rasmi darinya sehingga lepas pertarungan tersebut tamat dengan kemenangan teknikal knockout.

“Saya burung helang, saya mahu terbang. Apabila tiba masanya saya akan mati. Tetapi sebelum saat itu tiba, saya mahu terbang. Saya mahu bebas. Saya ingin melakukan apa yang saya mahu. Saya ingin meluangkan masa dengan keluarga, rakan-rakan, orang-orang saya. Saya mahu hidup di kampung saya. Saya tidak mahu meletakkan sasaran besar di hadapan saya. Dalam masa terdekat, karier saya akan berakhir,”- Seperti yang dipetik Berita Harian.

Kami di ORANGKATA pun nak ambil kesempatan ni untuk ucapkan tahniah atas kemenangan Khabib seterusnya berjaya mengekalkan rekod bersih tanpa kalah, dan takziah atas pemergian bapanya, Abdulmanap. Tahun ni nampaknya tahun yang sangat mencabar untuk kita, ditambah lagi dengan lebih ramai atlet kesukaan ramai memutuskan untuk undur diri dari arena sukan masing-masing. Apapun, selamat bersara dan terbanglah sejauhnya, Khabib “the Eagle” Nurmagedov; undeated, undisputed.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top