Lelaki ni lari sejauh 42.2 KM dalam masa kurang dari 2 jam…

Eliud Pecah Rekod Tamat

Siapa boleh bayangkan manusia dapat lari sejauh 42.2 km dalam masa kurang dari 2 jam? Untuk yang dah biasa lari ataupun suka berjoging sekalipun, nak lari sejauh 5km pun kena kerap berlatih dulu untuk sampai kurang dari 30 minit. Fuh… bukan senang! Apatah lagi bila nak buat rekod baharu, banyak persediaan kena dibuat.

Untuk Eliud Kipchoge,  dengan rekod lari maraton terdahulunya (2 jam 1 minit 39 saat) nak cabar kata-kata orang sekaligus buktikan dia boleh buat rekod baharu, iaitu di bawah 2 jam.

Idea gila nak buat rekod tu sejak 1940-an lagi…

Idea ni bukanlah suatu yang baru-baru je timbul. Rupanya sejak 1940-an lagi, sudah ramai yang nak cuba pecahkan rekod lari di bawah suatu tempoh masa yang ditetapkan. The Economist jelaskan sejarah percubaan nak pecah rekod ni dimulakan pada 1954, iaitu apabila Roger Bannister lari jarak 1 batu (1.61 km) dalam masa kurang dari 4 minit. Kemudian, Jim Hinnes pada 1968 pecah rekod lari 100 meter di bawah 10 saat. Masa ni, semua berani cuba buat rekod larian dengan jarak pun tetap tak kurang dari 2 km.

Roger Bannister Atlet Pecah Rekod Dunia
Nampak betul muka puas hati Roger Bannister bila sampai ke garisan penamat. Via The New York Times

Pada 2014, barulah ada atlet maraton yang nak buat rekod lari terpantas iaitu Dennis Kimetto. Di Berlin, atlet maraton ni buat rekod lari 42.2 km dalam masa 2:02:57 saat, sekaligus pecahkan rekod awalnya dalam Chicago Marathon dengan 2:03:45 saat. Ketika ni ramai kata manusia tak boleh lari sepantas tu terutamanya dengan jarak sejauh 42.2 km. Tapi Dennis Kimetto ni, dah berlatih 4 tahun sebelum buat rekod maraton dunia yang baharu.

Lari jangan tak lari. Via Giphy

Kalau nak tengok rekod-rekod larian dengan 10 catatan masa terpantas, memang dah ‘normal’ sangat kalau cecah 2 jam. Misalnya, atlet maraton Belayneh Densamo dari Ethiopia di Rotterdam pada 1988 dah awal lagi catat masa 2 jam 6 minit 50 saat, ia jadi suatu rekod dunia yang ramai nak pecahkan. Sampai ke tahun ni, catatan terpantas untuk larian maraton dah rekod banyak larian yang dihabiskan dalam masa 2 jam je.

Eliud Kipchoge bakat Kenya yang gagah…

Siapa Eliud Kipchoge? Untuk korang yang tak kenal, dia ni sebenarnya antara pelari jarak jauh yang hebat. Kalau tengok rekod larian maraton, nama dia selalu naik kat tangga teratas dengan catatan masa tak lebih dari 4 jam. Manakala ikut kedudukan dunia, dia dah pertahankan kedudukannya sebagai pelari maraton nombor satu dunia selama 41 minggu dan kini berada di tangga ke-enam.

Siapa Eliud Kipchoge
Penuh fokus wajah Eliud. Via Athletics Africa

Semakin tua, semakin hebat. Tu yang kami dapat simpulkan bila tengok balik rekod-rekod lamanya kat laman web rasmi International Association of Athletics Federations (IAAF). Daripada larian jarak jauh 1500 meter pada 2006, hinggalah ke rekod dunia pada 2019; nampak sangatlah dia memang atlet berdisiplin dan sangat tekun memperbaiki prestasi dirinya.

Lahir pada 5 November 1984 di Kenya, pemuda ni dah jatuh cinta dengan sukan larian sejak dia di bangku sekolah lagi. Seorang tak yang mudah mengalah, dia mula bergiat aktif sejak usianya 18 tahun dan selalu ikut acara larian jarak jauh iaitu dalam 1500m, 5000m, 10,000m dan maraton.

Dia dah kalahkan banyak pelari ternama seperti Hicham El Guerrouj dan Kenenisa Bekele dan merangkul pingat emas dalam Kejohanan Dunia 2003.

Kat Olimpik pula, dia dah rangkul pingat perak dan gangsa pada 2004 dan 2008. Namun pada 2012, dia dan pengurusnya, Patrick Sang putuskan untuk beralih arah daripada perlumbaan Olimpik kepada perlumbaan maraton pula. Dia dah menang 10 daripada 11 perlumbaan, dan menang pingat emas dalam Olimpik Marathon pada 2016.

Gian pecah rekod nak buktikan manusia boleh…

Prestasi Eliud Kipchoge menarik perhatian Nike untuk lancarkan projek Breaking2, satu program nak uji kemampuan 3 orang pelari maraton untuk satu soalan – bolehkah manusia tamatkan maraton dalam masa 2 jam? Pemilihan Nike untuk jawab benda ni memang ketat. Para pelari terpilih adalah Eliud sendiri, Zersenay Tadese, Lelisa Dedisa. Ni barisan pelari yang memang dah berpengalaman dalam dunia maraton.

Hasilnya, rekod Eliud adalah yang terpantas daripada 2 orang pelari tu dengan catatan masa 2:00:25. Fuh…laju tu. Tapi bagi Eliud, catatan masa ni agak mengecewakan sedikit sebab dah terlebih 25 saat pula. Program Breaking2 Nike boleh dikatakan agak berjaya jugalah sebab sedikit sebanyak, kita dah boleh bayangkan bahawa manusia pun boleh lari sepantas tu apatah lagi dengan jarak lebih dari 40 km tanpa berhenti.

“I learned a lot from my previous attempt, and I truly believe that I can go 26 seconds faster than I did in Monza two years ago,”- Eliud Kipchoge, dilaporkan oleh Runner’s World

Tengok betapa semangatnya Eliud. Program Breaking2 yang dianjurkan Nike pada 2017 tu betul-betul menanam rasa nak buat percubaan tu sekali lagi. Pada 2018, dia pecahkan lagi rekod rasmi Dennis Kimetto iaitu 2:02:57 dengan catatan lari di Berlin, 2:01:39. Yang Nike buat dulu tu tak dikira rasmi sebab bukan pertandingan. Cuma rekod tu tetaplah orang kenang di bawah nama Eliud.

Ada apa dengan 2 jam sampai orang bersungguh nak pecahkan?

Ada sebab sebenarnya kenapa pelari maraton nak sangat pecahkan rekod lari maraton di bawah 2 jam. Selain dari nama kena angkat dalam sejarah dunia maraton macam Roger Bannister, sebahagian lagi bermatlamatkan nak pecahkan kenyataan lama yang diramalkan oleh para saintis sukan. Kata mereka, manusia tak boleh lari kurang dari 2 jam dalam maraton apatah lagi jika tak berhenti-henti langsung.

Via Giphy

Ikut kajian Simon D. Angus yang diterbitkan dalam Medicine & Science in Sports & Exercise pada Julai 2019, dunia maraton akan lihat rekod lari di bawah 2 jam hanya akan tercapai pada tahun 2032 dalam kategori lelaki. Kejayaan Nike dan Eliud nak mendekati catatan 2 jam pun macam dah nampak susah, apatah lagi nak lari di bawah 2 jam. Runner’s World rumuskan juga kajian Simon bahawa walaupun program Breaking2 oleh Nike tu baik, tapi ia tak realistik kalau nak dilihat kat dalam perlumbaan maraton yang sebenar.

Tak peduli rekod atau tidak, Eliud pantang menyerah…

Namun Eliud Kipchoge tak peduli sangat pun dengan kajian Simon. Satu lagi cabaran disahutnya, kali ini dinamakan Ineos 1:59 Challenge. Dengan hashtag #NoHumanIsLimited, Eliud ada impian lagi besar dari setakat rangkul emas dan pingat kemenangan kat pertandingan maraton: dia nak buat rekod pertama, semegah rekod sejarah orang yang pernah sampai ke Bulan.

Penuh tekun dia berlatih kat Kenya dan memilih Vienna sebagai tempat dia nak cuba semula pecah rekod baharu dunia. Kerana dia juga nak jayakan benda yang dilihat mustahil dilakukan oleh seorang manusia, Ineos 1:59 Challenge memang sedia macam-macam strategi supaya boleh kekalkan kelajuan pelari gagah ni.

Kalau Nike sedia beberapa inovasi peralatan sukan untuk para pelari dunia dalam Breaking2, Ineos 1:59 hanya fokus untuk Eliud semata-mata. Daripada persediaan makanan, latihannya sejak Mei 2019, kiraan catatan ramalan untuk pemilihan tempat dan strategi perletakan 41 orang pacemakers serta tukang beri minuman bergerak supaya Eliud tak payah berhenti nak ambil minuman.

Persediaan-persediaan ni bukan nak lari maraton, jadi IAAF tak boleh kira ni sebagai catatan rasmi. Namun rekod catatan Eliud dalam Ineos 1:59 Challenge membuktikan manusia boleh lari di bawah 2 jam dalam jarak maraton. Senyuman gembiranya juga boleh dianggap senyuman dari seluruh manusia, bersama meraikan kejayaan memecah batasan fizikal yang kononnya mustahil sebelum Breaking2 dari Nike dan Ineos Challenge ni.

Eliud Kipchoge Pecah Rekod Dunia
Via Slate

Manusia boleh buat selagi ada keupayaan dan kesungguhan

Kejayaan Eliud ni buatkan ramai orang terinspirasi, sama ada kat dunia maraton tu sendiri dan untuk masyarakat seluruh dunia. Jika ada kesungguhan dan keupayaan, manusia boleh buat benda yang tak terduga. Kita juga boleh buktikan Malaysia juga punyai pelari maraton yang segagah Eliud jika diberi keyakinan, latihan dan peluang secukupnya untuk bina serta asah potensi anak muda. Kalau Eliud kena buktikan manusia boleh lari di bawah 2 jam, kita kena buktikan dulu orang Malaysia ni laju sebenarnya. Betul tak?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *