Satu benda yang kami rasa telah disedari oleh parti-parti politik di Malaysia ni – menjadi kerajaan tidaklah semudah yang difikirkan. Kami yakin, ada di antara mereka akan fikir; jadi kerajaan ni kerjanya cuma tahu mengarah, dan apabila arahan yang dia berikan tak diterima – dia akan marah-marah. Dia fikir game jadi kerajaa ni; arah, arah, lalu marah-marah. Memandangkan parti politik utama di negara kita dah rasa keadaan jadi kerajaan, mereka akan sedari perubahan atau memperkenalkan undang-undang akan mengambil masa dan memerlukan proses yang panjang.
Untuk jadi pembangkang peranan yang dimainkan berbeza, kerjanya cuma membangkang dan kerajaan pulak akan selalu berada pada posisi bertahan. Dia macam inilah, mana lagi susah nak buat; kritik dasar negara atau perkenalkan dasar baharu? Sudah tentu nak kritik lagi senang. Cuma, jangan salah faham – kritikan daripada pembangkang amat diperlukan untuk memastikan semak imbang berlaku. Kita tak mahu lagi kerajaan bertindak tanpa ada persidangan Parlimen, kerana perbincangan sihat di antara pembangkang dan kerajaan diperlukan untuk perkenalkan dasar atau akta yang baik.
PAS kini ada peranan yang berbeza dalam isu RUU355, sudah tidak boleh berapi-api
Isu pelaksanaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU355 merupakan topik yang hangat diperkatakan sekarang. Lebih-lebih lagi, PAS dah berjaya jadi sebahagian dari kerajaan, mesti ramai yang ternanti-nanti – bila agaknya pindaan ini akan dilakukan, sebab semasa jadi pembangkang, PAS amat “berapi-api” nak lakukan pindaan ni.
Bagi MP Kubang Kerian, PAS yang dah jadi sebahagian dari kerajaan tak perlu lagi mainkan peranan untuk desak dalam sesuatu perkara sebaliknya mengemukakan cadangan. Mengulas mengenai usul dalam mesyuarat agung PAS kawasan-kawasan katanya, banyak usul yang dikemukakan bersifat pembangkang sedangkan PAS kini adalah kerajaan.
“Sekarang kita kerajaan, kalau kita desak maknanya kita desak kita, kalau kita marah, kita marah kita. Maka selain mendesak pihak pemerintah, pendekatan mengemukakan cadangan apa yang patut kita buat sebagai kerajaan, apa yang patut kita buat. Contoh dalam isu RUU355, menjadi pembangkang mudah. Dalam parlimen mendesak usul gubal peraturan, RUU355 untuk dilaksanakan sebab (kita) pembangkang. Pembangkang tak perlu fikir perkara-perkara kaedah, sistem, peraturan-peraturan itu bukan kerja kita, itu kerja kerajaan,” – Tuan Ibrahim, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini
Dia turut kata, kalau dulu suruh saja, tapi sekarang sebab kita kerajaan maka prosedur itu kita terpaksa tempuh sebab kita yang mengurus. Dulu berapi-api, memanglah dulu berapi sebab pembangkang, dulu berapi. Tapi sebagai kerajaan kita berapi juga, berapi kepada siapa? Dulu kita bergaduh dengan pak cik itu sebab pak cik itu tak jadi bapa mertua kita. Tiba-tiba jadi pak mertua lainlah caranya. Apa khabar pak cik, smart hari ini, begitu, tambahnya.
Kewujudan ahli politik yang tawarkan naratif rasis disebabkan ia masih “dibeli” oleh para pengundi
Macam yang dikatakan oleh Tuan Ibrahim tu, jadi pembangkang memang akan ada semangat yang membara nak kritik kerajaan. Kami Cuma sedih satu benda je – apabila isu keagamaan atau bangsa digunakan secara berlebihan semasa diorang jadi pembangkang; ia akan mendorong kepada pergeseran di antara kaum dan mampu untuk ganggu keharmonian yang kita miliki pada hari ini. Kadang-kadang ahli politik ni bukan boleh bawak bincang, dia sanggup gunakan apa jua cara untuk pastikan dia dapat undi, termasuklah meletakkan masa hadapan negara dalam bahaya.
Kami rasa lepas ni ahli-ahli politik kena biasakan diri kritik dengan lebih cermat, sebab kritikan-kritikan diorang ni akan dibangkitkan semula sekiranya diorang jadi kerajaan. Bagi yang selalu lepak dekat media sosial, mesti dia perasan akan ada orang selalu komen “hello, saya dari masa hadapan”. Ia terjadi kerana ada pihak yang nak beri peringatan kepada ahli politik yang berkuasa tentang kritikan atau janji mereka semasa jadi pembangkang dulu.
Cuma itulah, masalah ahli-ahli politik yang macam ni – diorang ada pengikut yang boleh tahan ramai jugak. Kalau korang tengok ada ahli politik yang perangai teruk atau rasis, korang tak boleh marah sepenuhnya dengan ahli politik tu. Diorang jadi macam tu, sebab pengikut-pengikut diorang impikan pemimpin yang macam tu. Benda ni simple, ahli politik selalunya akan bentuk diri diorang ikut acuan pengikutnya. Kalau pengikutnya tak boleh terima pemimpin yang tak cerdik, mesti ahli politik tu akan cuba jadi cerdik.
Apa yang kita boleh buat sebagai rakyat adalah sentiasa pastikan kita nilai ahli politik ni bukan semata-mata dengan ucapan diorang yang mengoda, tapi dengan tindakan diorang selepas berkuasa. RUU355 ni cuma contoh mudah, bagaimana sesuatu isu yang dekat dengan jiwa rakyat (agama atau bangsa) digunakan sebaiknya untuk dapat sokongan politik. Apabila telah berkuasa, barulah dijelaskan bahawa dulu mereka lebih bersemangat kerana tengah jadi pembangkang.
Akhirnya, setelah menjadi kerajaan diorang sedar ia memerlukan lebih banyak masa. Apa yang lebih penting lagi; usaha seperti ini memerlukan rundingan di antara pemimpin pembangkang dan kerajaan kerana memerlukan pindaan Perlembagaan. Persoalan utama yang akan muncul – sejauh mana RUU355 yang dahulu terlihat sebagai agenda utama PAS akan diberikan perhatian dalam Perikatan Nasional? Sama-sama kita nantikan.
Berhati-hati ketika nak janjikan sesuatu, sebab nanti ia akan dituntut dan dipersoalkan
Di antara nasihat agama yang sering kita dengar adalah – berhati-hatilah ketika berbicara, kerana segala percakapan kita akan diperhitungkan di kemudian hari. Kami rasa nasihat ini sesuai kita berikan kepada pemimpin-pemimpin politik yang gemar menggunakan agama dan bangsa sebagai alat untuk meraih sokongan. Diorang kena tahu, semua percakapan mereka akan diperhitungkan, tak perlu tunggu di hadapan tuhan, cukup ketika menjadi kerajaan.