Siapa yang tak kenal dengan nama Cristiano Ronaldo? Bintang bola sepak Juventus dan Portugal yang bertaraf selebriti ini bukan sahaja popular kerana kehebatannya di atas padang, tetapi juga kerana sikap pemurah dan suka melakukan kerja-kerja amal.
Sempena menyambut Ramadan tahun ini, bintang penyerang Portugal itu telah menyumbang AS$1.5 juta (RM6.26 juta) kepada Palestin menerusi Yayasan Kebajikan Onwadan. Ronaldo telah menyumbang AS$1.5 juta kepada rakyat Palestin di Gaza.
Perdana Menteri umum biasiswa bernilai RM11.48 juta
Hal ini bukan asing memandangkan Ronaldo memang prihatin terhadap nasib anak-anak Palestin. Pada November 2012 ketika Gaza berdepan bedilan bom rejim Zionis Israel, Ronaldo melelong trofi Kasut Emas yang dimenangi sebagai Penyerang Terbaik Eropah musim itu untuk disumbangkan kepada Palestin. Pada Mac 2013, dalam aksi kelayakan Piala Dunia, dia enggan bertukar jersi dengan pemain Israel kerana tidak mahu menyimpan baju yang memaparkan bendera negara itu.
Sebut tentang Palestin, pastinya sangat dekat dengan Malaysia. Semalam, YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan tawaran biasiswa kepada pelajar Palestin di 11 buah universiti tempatan swasta dan satu universiti awam. Biasiswa bernilai RM11.48 juta berkenaan akan ditawarkan kepada pelajar melalui Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), di bawah inisiatif Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
Melalui biasiswa ni, ia akan membuka peluang kepada pelajar Palestin melanjutkan pelajaran pada peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah. Universiti yang dimaksudkan ialah Universiti Antarabangsa Albukhary, Universiti Mahsa, Kolej Universiti Islam Perlis, Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Universiti UCSI, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Sunway, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Pengumuman itu dibuat di Puspanitapuri, Putrajaya, sejurus selepas majlis Iftar anjuran PCOM yang turut dihadiri oleh isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, bekas pengerusi Hamas Khalid Meshaal dan Pengerusi PCOM Muslim Abu Umar. Pengumuman itu bagaimanapun telah menimbulkan pelbagai reaksi rakyat yang mempersoalkan bagaimana bantuan itu akan memanfaatkan ekonomi negara.
Nampaknya tindakan kerajaan ni dikecam netizen…
Ramai netizen yang mengecam kerajaan, tanpa benar-benar memahami mekanisme pemberian biasiswa tersebut. Meskipun melibat satu universiti awam (UUM), sebenarnya semua universiti terbabit perlu berusaha mencari dana sendiri dan ini tidak melibatkan geran kerajaan. Justeru, adalah tidak tepat untuk mendakwa bahawa wang rakyat dibelanjakan dengan salah.
Tambahan pula, kita memang sudah sekian lama membantu saudara kita, tanpa mengira latar belakang mahupun warna kulit. Kemanusiaan tidak mengenal sempadan geografi, itulah yang dianjurkan oleh Islam, khususnya menerusi peristiwa penghijrahan Muhajirin dan dibantu oleh Ansar, dari kota Mekah ke kota Madinah.
Malahan, pada 1990-an, Malaysia turut membantu rakyat Bosnia yang dizalimi, dengan menyediakan Sekolah Bosnia ABIM di Bangi dan memberikan biasiswa kepada pelajar negara bergolak tersebut, di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak.
Malaysia turut menghantar pasukan pengaman yang digelar ‘Malaysian Battalion’ (MALBATT). Penyertaan MALBATT dalam tugas pengaman di Bosnia adalah merupakan kali pertama angkatan tentera kita melaksanakan tugas di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di benua Eropah. Barisan Bertindak Bosnia (PBB) ditubuhkan pada 1994 merangkumi pelbagai Badan Masyarakat Madani (CSO) termasuklah ABIM, Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Kita mungkin tak mampu bekalkan senjata kepada Palestin. Malah kita juga mungkin belum mampu menghantar tentera untuk pergi berjuang di sana. Justeru, biasiswa ini adalah satu bentuk bantuan kemanusiaan yang akan memanfaatkan kepentingan Malaysia dan Palestin untuk jangka panjang. Kita tidak boleh mengambil pendirian tutup mata dan telinga terhadap konflik kemanusiaan yang dihadapi negara lain.
Kita kadang-kadang terlalu sibuk kecam orang lain, tanpa melihat diri kita
Semoga dengan usaha ini, hubungan Malaysia dan Palestin akan terus kukuh dan ia merupakan sebahagian daripada komitmen diplomatik negara dalam mendukung perjuangan rakyat Palestin. Selaras dengan hasrat untuk menjadi negara maju, Malaysia sewajarnya terus menjadi peneraju penting dalam membantu negara-negara berkonflik.
Kita duk kecam Donald Trump sebagai rasis, kita duk keji rejim Israel sebagai zalim, tapi kita lupa – sifat itu juga sebenarnya ada dalam diri kita, bilamana kita merasakan kita tidak perlu membantu golongan yang susah, hanya kerana mereka bukan rakyat negara kita, atau lebih parah, tidak sebangsa dengan kita. Ayuh tolak perkauman sempit jauh-jauh, ke gaung yang paling dalam.