Kerajaan Perpaduan perlu diteruskan, ini komen pemimpin politik

f1 min (21)

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota penting sebagai pembuka jalan bagi gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) terus bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, berkata oleh itu, kedua pihak perlu mengekalkan kerjasama untuk terus sama-sama memenangi pilihan raya dan mentadbir bersama. Katanya, kerjasama demi perpaduan adalah kunci kejayaan PH-BN.

“Bagi mengekalkan kestabilan negara serta mencapai lonjakan ekonomi kedua Malaysia, di samping menjamin masa depan tanah air tercinta, Kerajaan Perpaduan perlu bertanding bersama pada PRU16.

“Malah, usaha perlu dimulakan awal bagi membolehkan pertandingan satu lawan satu di semua kerusi pada PRU16. Johor adalah medan pilihan raya yang penting. Ia mempunyai 26 kerusi Parlimen, menjadikannya negeri di Semenanjung (Malaysia) yang paling banyak kerusi.

“Gabungan PH dan BN di Johor menguasai 24 daripada 26 kerusi ini. Ini adalah asas kekuatan kuasa politik Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, Kerajaan Perpaduan mentadbir bersama, menang dan kalah pilihan raya bersama, dan mahu bersama-sama membina negara demi generasi akan datang.

Katanya, setelah lebih 22 bulan, Kerajaan Perpaduan kekal teguh dan berjaya memerintah dengan baik.

“Pada PRU 2022, ketiga-tiga gabungan – PH, BN dan Perikatan Nasional (PN) gagal mendapat majoriti mutlak untuk membentuk kerajaan. Atas titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional bersetuju untuk bekerjasama bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Untuk mengukuhkan kedudukan, PH perlu tarik undi Melayu

Parti Amanah Negara (AMANAH) bersama rakan gabungannya dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP, perlu mencari jalan untuk menarik sokongan pengundi Melayu sebagai persiapan mendepani pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) beberapa bulan lalu adalah bukti ‘gelombang hijau’ selaku fenomena politik yang dikaitkan dengan sokongan pembangkang, perlahan-lahan menyusup ke beberapa negeri.

Beliau berkata, semua parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan juga tidak boleh memandang ringan selepas Perikatan Nasional (PN) berjaya menembusi Selangor dengan memenangi bilangan signifikan kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) ketika PRN lalu.

“Saya terkejut ketika PN menang 22 kerusi (dalam PRN lalu), yang mana ia hampir membolehkan gabungan itu mengambil alih (pentadbiran kerajaan negeri di) Selangor.

“Ketika PRN juga, majoriti undi Melayu di Selangor pergi kepada gabungan pembangkang.

“Untuk itu, menjadi tanggungjawab AMANAH dan rakan-rakan termasuk DAP untuk duduk bersama, bincang, fikir dan bentuk strategi bagaimana untuk memenangi undi Melayu (dalam PRU akan datang),” katanya ketika berucap sempena pelancaran Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan di Kepong

Yang turut hadir Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli dan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad.

PRN berlangsung di enam negeri pada 12 Ogos lalu menyaksikan status quo apabila parti mewakili Kerajaan Perpaduan mengekalkan penguasaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala PAS bersama rakan gabungannya dalam PN di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

PRN sama turut menyaksikan PH dan Barisan Nasional (BN) kehilangan banyak kerusi di Selangor.

Meskipun usaha menarik undi Melayu mencabar, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yakin parti mewakili Kerajaan Perpaduan mampu untuk mengekalkan penguasaan dalam PRU-16.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, ia disebabkan sokongan kuat rakyat terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sabah, selain PH dan BN di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Namun, beliau menegaskan semua parti gabungan perlu bekerja keras untuk memenangi hati pengundi di negeri majoriti Melayu seperti Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Di empat negeri ini, kita hanya ada seorang Ahli Parlimen iaitu di Sungai Petani (Dr Taufiq Johari dari PKR).

“Jika kita tak mahu menang banyak kerusi dari empat negeri ini dalam PRU16, maksudnya sokongan daripada Melayu terhadap kita ibarat ‘tempang’ dan ‘pincang’.

Umno kelihat gembira untuk meneruskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata cadangan Barisan Nasional (BN) meneruskan kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) sekiranya matlamatnya adalah demi mensejahterakan rakyat yang disuarakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Pengerusi BN wajar disokong, mengambil kira rekod prestasi gabungan parti membentuk Kerajaan Perpaduan yang ‘beroperasi’ dalam keadaan harmoni dan lancar.

Malah, sepanjang pentadbiran Kerajaan Perpaduan, beliau juga tidak mengesan berlaku sebarang sabotaj mahupun unsur tikam belakang sesama sendiri.

“Apa yang penting jika formula Kerajaan Perpaduan menghasilkan natijah yang membawa kepada kestabilan dan kesejahteraan rakyat, maka ia wajar diteruskan. Ia bukan asing kerana sebelum ini pernah wujud kerajaan campuran selepas pilihan raya 1969 sebelum terbentuk kerajaan BN pada 1974. Lagi pun Kerajaan Perpaduan memerlukan tempoh lebih selesa untuk menampakkan hasil daripada dasar yang dirancang setelah melalui zaman peralihan politik yang sukar dan sering diganggu,” katanya

Dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang julung kali dianjurkan di Perak semalam, Ahmad Zahid mengemukakan ‘permohonannya’ yang mahukan kerjasama antara BN dan PH yang kukuh diteruskan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Justeru, Pengerusi BN itu menasihatkan Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, untuk memastikan keserasian antara kepemimpinan kedua-dua parti bukan sekadar kelihatan dalam kalangan ahli politik, namun mesti dipamerkan akar umbi peringkat bahagian dan cawangan.

Mengulas lanjut kerjasama dua blok gabungan parti politik itu, Mohd Puad berkata kelangsungan hubungan antara BN-PH banyak bergantung beberapa faktor, antaranya keserasian terutama dalam kalangan pemimpin utama kedua-dua belah pihak.

Katanya, keserasian itu mesti dibentuk berasaskan kepercayaan, tolak ansur, perundingan dan konsensus.

“Soal perbezaan pendapat seperti dalam isu pelantikan ahli majlis dan ketua kampung adalah biasa, bahkan boleh selesai melalui perundingan. Sebab itu penubuhan sekretariat Kerajaan Perpaduan di Bangunan UMNO adalah bukti kesungguhan dan kejujuran politik oleh semua parti politik yang terlibat. Kejujuran Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera Februari nanti sudah tentu mengukuhkan lagi kerjasama PH-BN. Ia akan menjadikan kerjasama itu lebih relevan dan boleh kekal,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *