Komitmen kerajaan Madani untuk memerangi rasuah yang telah menjadi endemik memulihkan keyakinan pelabur domestik dan asing dengan ketara, sekali gus membawa kepada peningkatan pelaburan baharu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kata, kebimbangan utama beliau dalam tempoh awal memegang jawatan tersebut ialah memulihkan reputasi negara terutamanya berikutan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
“Dalam tempoh awal, semuanya mengenai perkara itu. Bagaimana untuk menangani isu? Bagaimana pula dengan tadbir urus? Bagaimana dengan apa yang mereka anggap rasuah yang telah menjadi endemik, berdasarkan pengalaman 1MDB dan pelbagai skandal lain? Misalnya, pemimpin terdahulu, apabila menjadi Menteri Kewangan atau Perdana Menteri, menjadi bilionair.
“Ini perlu dihentikan,” kata beliau kepada CNBC
Anwar berkata, pelabur domestik dan asing mengiktiraf komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah, walaupun terdapat pengkritik yang menganggapnya terlalu berlebihan.
“Tanpa kepercayaan dan keyakinan, orang tak akan melabur dalam jumlah yang besar. Ini melainkan mereka ada pengaturan rasuah dengan anda, mereka akan meneruskannya. Bagaimanapun, ini perlu dihentikan. Amalan itu telah dihentikan walaupun kami masih meneruskan misi ini (kerana) perjuangan menentang rasuah perlu dilaksanakan sepenuhnya,” kata beliau.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menekankan kepentingan menarik pelaburan berimpak tinggi, terutamanya dalam kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.
Beliau mengakui Malaysia telah mencatatkan peningkatan pelaburan dalam pusat data disebabkan bekalan tenaga dan air yang mudah diakses tetapi menekankan keperluan untuk beralih tumpuan kepada teknologi yang lebih maju untuk meningkatkan status ekonomi negara.
“Nvidia, misalnya, menawarkan program yang maju untuk kecerdasan buatan, akan membolehkan kami mencapai tahap yang lebih tinggi,” kata beliau.
Anwar turut menekankan keperluan kepada merapatkan jurang kemahiran untuk menarik industri bernilai tinggi, dengan kerajaan menyasarkan untuk melahirkan 60,000 jurutera dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Universiti, kolej, politeknik serta institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) perlu bersedia dan berubah dengan mendapatkan institusi pendidikan formal ini untuk bekerjasama dengan sektor swasta,” katanya, merujuk kepada syarikat seperti Infineon yang melatih jurutera untuk mencapai keperluan khusus mereka.
Kestabilan politik adalah kunci kepada ekonomi
Kestabilan politik dan dasar kerajaan Madani yang meyakinkan terbukti berjaya menarik syarikat-syarikat teknologi besar global untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pada masa ini terdapat banyak perbincangan, tidak hanya antara syarikat-syarikat di negara serantau malah dunia berhubung perkara itu.
“Memang kalau nak sebut secara khusus, saya tidak boleh namakan sekarang kerana dalam proses perbincangan sehingga mencapai persetujuan dan disusuli dengan pengumuman rasmi. Saya yakin akan ada lebih banyak pengumuman pelaburan, bukan sahaja dalam bidang pusat data dan pengkomputeran awan, tetapi bidang lain di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Biz Day 2024 di Festival Kandungan Digital Malaysia (MYDCF) Biz Day 2024
Dalam pada itu, Kementerian Digital juga yakin dapat memperoleh lebih banyak pelaburan digital pada separuh kedua tahun ini selepas mencatat RM66.22 bilion pada separuh pertama tahun ini.
Jumlah itu mengatasi RM46.2 bilion yang dicapai bagi keseluruhan 2023, disokong oleh dasar mesra perniagaan Kerajaan Madani. Pelaburan tersebut juga telah mencipta 25,498 peluang pekerjaan bagi tempoh separuh pertama 2024, mengatasi 22,258 bagi tempoh sama tahun lepas.
Selain itu, Gobind turut menyambut baik pengumuman Oracle semalam untuk melabur dalam sektor kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan Malaysia yang disifatkannya sebagai satu petanda baik serta bukti keyakinan pelabur asing terhadap negara ini.
“Ini langkah amat baik dan kita akan terus berusaha menarik pelaburan dari serata dunia, meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama untuk diterokai industri antarabangsa jika mahu melabur di rantau ini. Saya juga berharap usaha ini dapat mengukuhkan lagi ekonomi kita dalam mencapai kemajuan di masa depan,” katanya.
Selain pelaburan syarikat teknologi utama dunia seperti Amazon Web Services, Microsoft dan Google sebelum ini, Oracle telah mengumumkan pembukaan pusat pengkomputeran awan awam pertamanya di Malaysia dengan pelaburan bernilai AS$6.5 bilion (RM28.3 bilion).
Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantarannya di platform X berkata keseluruhan projek diumumkan oleh syarikat itu sehingga kini melibatkan pelaburan yang dianggarkan bernilai AS$16.9 bilion (RM70.3 bilion).
Minat terhadap pelaburan di Malaysia memberi impak pada kedudukan Ringgit
Ringgit belum mencapai nilai saksama walaupun mencatatkan peningkatan berbanding dolar AS baru-baru ini dan muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia Tenggara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ia masih berada di bawah nilai sebenar (walaupun) pada kadar RM4.10 (berbanding dolar AS). Orang ramai tahu bahawa ia pernah berada pada kadar RM3.80 tetapi lebih baik ia mengukuh secara berperingkat tanpa campur tangan. Biarkan kuasa pasaran menentukan. Ia akan mencerminkan keyakinan terhadap dasar kerajaan dan cara kami melaksanakan pembaharuan,” kata beliau kepada NCBC
BMI Country Risk & Industry Research (BMI), unit Fitch Solutions, menyemak naik unjuran ringgit bagi akhir 2024 kepada RM4.00 berbanding dolar AS daripada RM4.55 sebelum ini, memaparkan prestasi cemerlang ringgit pada suku ketiga 2024.
Sebahagian penganalisis lebih optimis dan mengunjurkan ringgit akan mencecah RM3.55 berbanding dolar AS.
Walaupun mengakui ringgit yang lebih kukuh boleh mewujudkan kebimbangan dalam kalangan pengeksport berdasarkan Malaysia merupakan negara yang berorientasikan eksport, Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata perkara itu tidak begitu membimbangkan berikutan mata wang tempatan masih berada di bawah nilai.
“Ya, ia akan mewujudkan kebimbangan dalam kalangan pengeksport (tetapi) tidak begitu ramai dan tidak terlalu serius kerana ia masih berada di bawah nilai. Bagaimanapun, ia telah memberikan banyak manfaat kerana kita adalah negara perdagangan dan banyak mengimport dari luar negara,” kata beliau ketika ditanya sama ada ringgit yang lebih kukuh atau lemah akan memberi kelebihan kepada Malaysia.