Karier politik Datuk Seri R Ramanan boleh dikatakan bergerak pantas selepas berjaya memenangi kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sehingga memperoleh jawatan sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi sesi 2025–2028.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara berseloroh berkata, beliau dan bekas Naib Presiden PKR merangkap Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, mempunyai satu persamaan kedua-duanya pernah tewas kepada Ramanan.
Bagaimanapun, menurut bekas Menteri Kesihatan itu, segala kemungkinan boleh berlaku dalam dunia politik kerana ada kalanya seseorang boleh “memanjat tangga” dengan cepat, begitu juga sebaliknya.

“Kebarangkalian Ramanan ‘panjat’ sehingga menjadi Presiden PKR, itu saya tidak mahu komen kerana ia parti orang lain. Tetapi mungkin beliau telah melalui fasa di mana kenaikannya agak pantas, menang di Sungai Buloh dan kalahkan saya.
“Kemudian, beliau menang jawatan Naib Presiden PKR baru-baru ini. Saya pun ada hantar mesej kepada Nik Nazmi dan beliau membalas, ‘kita ada persamaan iaitu sama-sama dikalahkan oleh Ramanan’. Memang ada masa kita naik cepat dan turun pun cepat. Itu semua bergantung kepada bagaimana kita mengurus kejayaan,” katanya.
Ada gosip politik yang mengatakan KJ akan masuk semula ke dalam dunia politik
Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi kemungkinan pengunduran Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Kabinet sekiranya beliau tewas dalam pemilihan parti itu baru-baru ini. Ia kerana, kedudukan Rafizi sebagai Menteri Ekonomi dalam Kabinet bakal diisi oleh Datuk Seri Johari Ghani, yang kini memegang portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi.
Sumber dalaman parti memaklumkan kepada sebuah media, kerusi Johari pula akan diisi oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang bakal dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.
“Untuk makluman, ‘CV’ Khairy telah pun dihantar kepada Jabatan Perdana Menteri (PMO) baru-baru ini dan perkara ini telah disahkan. Namun begitu, pelantikannya sebagai menteri masih memerlukan pertimbangan dari sudut kesediaan UMNO, walaupun beliau bukan lagi ahli parti tersebut setelah dipecat sebelum ini. Perlantikan Khairy adalah atas kuota teknokrat dan tidak mewakili mana-mana parti tetapi aspek penerimaan dan sensitiviti parti-parti dalam kerajaan perpaduan, khususnya UMNO tetap perlu diambil kira,” kata sumber itu.
Dalam pada itu, satu lagi perubahan dijangka melibatkan tempat Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang telah mengumumkan peletakan jawatan petang tadi. Difahamkan, kerusi kosong itu bakal digantikan dengan Datuk Seri R. Ramanan, yang baru-baru ini memenangi jawatan Naib Presiden PKR. Ramanan ketika ini ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi manakala tempat beliau pula dijangka digalas oleh Adam Adli, yang kini Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS).

Sementara itu, jawatan Adam Adli berkemungkinan akan diambil alih oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim, yang turut dikhabarkan akan dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.Namun pada masa sama, bagi portfolio Kementerian Ekonomi, beberapa nama sedang dipertimbangkan selain Johari termasuk bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican.
Di peringkat negeri, Perdana Menteri dilaporkan akan mengekalkan dua Menteri Besar PKR iaitu Datuk Seri Amirudin Shari di Selangor dan Datuk Seri Aminudin Harun di Negeri Sembilan. Mereka diberi kebebasan untuk menentukan barisan Exco masing-masing berdasarkan keputusan pemilihan peringkat Cabang.
“Dua Menteri Besar ini juga merupakan calon berpotensi untuk menganggotai Kabinet Persekutuan pada masa akan datang,” ujar sumber itu lagi.
Di Selangor, Exco yang tewas dalam pemilihan Cabang dan Pusat ialah Dr Fahmi Ngah.
Sumber memaklumkan, usul penggantian beliau dijangka dibentangkan dalam mesyuarat negeri yang akan datang, dengan beberapa nama disebut sebagai calon pengganti seperti Azmizam Zaman Huri, Izuan Kassim dan Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih popular dengan panggilan Altimet.
KJ nafikan gosip tersebut, kata sekarang tengah sibuk
Di tengah-tengah khabar angin mengenai rombakan kabinet, bekas menteri Khairy Jamaluddin menolak spekulasi bahawa dia mungkin dilantik semula menyertai kabinet. Sebaliknya, Khairy memberitahu wartawan bahawa dia mahu menumpukan perhatian kepada beberapa perniagaan dan projek yang masih berjalan.
“Saya cuma boleh cakap, ketika ini saya ada banyak projek yang belum selesai dan perlu diuruskan. Saya juga agak gembira dengan apa yang dilakukan ketika ini, jadi sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini, tak terfikir untuk kembali ke dunia politik,” katanya
Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel program The Healthcare Forum 2.0: Counting The Cost of Care: Can Malaysia Make Healthcare Affordable Again?” di Auditorium, Kompleks Pengurusan Penyelidikan & Inovasi, Universiti Malaya (UM), di Kuala Lumpur

Khairy ditanya mengenai khabar angin bahawa dia mungkin dilantik ke kabinet selepas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan. Ditanya sama ada dia terbuka terhadap kemungkinan tersebut dan bagaimana dia akan memberi respons jika ditawarkan jawatan, Khairy sekali lagi menegaskan dia sudah pun terikat dengan beberapa komitmen terdahulu.
“Komitmen-komitmen itu memerlukan masa dan perhatian saya. Sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini, saya akan sibuk. Selepas itu, kita boleh bincang. Kita tengok nanti macam mana. Buat masa ini saya memang sibuk,” ujarnya.
Difahamkan, dalam kalangan ahli Umno, khabar angin mengenai kemungkinan Khairy kembali aktif dalam politik mula tersebar sejak dia dipecat daripada parti itu pada Januari 2023. Mengesahkan bahawa perbincangan seumpama itu memang ada, Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros berkata, sekiranya Khairy kembali menyertai kerajaan, ia berupaya memulihkan imej kerajaan yang semakin merosot, terutama selepas keputusan pemilihan PKR baru-baru ini.
Bagaimanapun, dia berkata laluan politik Khairy tidak mudah, memandangkan Umno masih diterajui presiden parti sekarang, Ahmad Zahid Hamidi.
Khairy dipecat daripada Umno kerana dikatakan melanggar disiplin parti, dan sebagai sebahagian usaha pembersihan yang dilakukan Ahmad Zahid. Pada pilihan raya umum (PRU) lalu, bekas ahli parlimen Rembau itu gagal merampas kerusi Sungai Buloh daripada PKR, yang dimenangi oleh R Ramanan, timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi sekarang.