Kini Malaysia pilih laksanakan kerja fleksibel berbanding kerja 4 hari seminggu, ini ceritanya

kerja ofis2

Sejak Mei lalu, idea kerja dari rumah (Work From Home) dan pelaksanaan kaedah hibrid membuka semula ruang untuk kita telusuri kembali pilihan kerja 4 hari seminggu yang pernah disebut dulu. Sebelum pandemik lagi, idea pilihan kerja 4 hari seminggu memang agak kontroversial juga sebab ramai beranggapan, kita akan jadi kurang produktif. Kalau kurang produktiviti, ini mungkin boleh dijadikan alasan untuk tak laksanakan peningkatan paras gaji minima nanti.

Tapi lepas pandemik berlaku, banyak kerja yang dulu perlu dilakukan dalam suasana pejabat rupanya terbukti boleh je diselesaikan kat rumah sendiri dengan teknologi moden yang ada sekarang. Semakin ramai yang sokong kerja 4 hari seminggu, lagi-lagi selepas beberapa negara dah mula cuba pendekatan tersebut dalam industri kerja diorang.

Kat Malaysia pulak, idea kerja 4 hari seminggu masih lagi terus dalam fasa perbincangan. Kerajaan pun masih lagi mempertimbangkan cadangan tersebut. Namun begitu, Malaysia nampaknya lebih cenderung berikan pilihan kerja fleksibel dan kurangkan had jam bekerja berbanding idea kerja 4 hari seminggu. Ikuti ringkasan kami berkenaan isu tersebut…

kerja ofis
Via Malaysianow

Banyak syarikat luar negara cuba laksanakan sistem kerja 4 hari seminggu, ramai masih bantah

Pada Mei lalu, Astro Awani melaporkan bahawa firma dan kerajaan seluruh Asia kini sedang cuba laksanakan idea tempoh bekerja 4 hari seminggu. Ini kerana ada kajian mendapati bahawa waktu bekerja yang ada sekarang dilihat memberi kesan buruk kepada kesihatan pekerja, malah ia tak dapat janjikan produktiviti yang tinggi. Contohnya, beberapa syarikat gergasi Jepun seperti Hitachi dah umumkan diorang akan laksanakan sistem tersebut kepada 15,000 pekerjanya dalam tahun kewangan ni.

Beberapa syarikat lain di Asia, seperti Alami di Indonesia pun mengorak langkah pertama dalam pelaksanaan sistem kerja 4 hari. Untuk pengetahuan korang, Alami ni merupakan syarikat pembiayaan antara rakan setara (P2P) yang agak popular di sana.

Bagi Alami, sistem kerja 4 hari seminggu mampu tambahbaik tahap kesihatan mental dan produktiviti pekerja. Di Korea Selatan pula, sebuah syarikat berasaskan pendidikan iaitu Eduwill pulak kata diorang dah laksanakan sistem ni sejak 2019. Perubahan ni jugak dicetuskan kerana ada kajian yang menunjukkan bahawa walaupun negara ASEAN ni membudayakan kerja lebih masa… kadar produktiviti kita tetap 81% lebih rendah dari Amerika Syarikat.

labourproductivity
Via The Asean Post

Benda ni bukan benda baru sebenarnya. Sebelum pandemik lagi, eksperimen kerja 4 hari seminggu atau usaha nak pendekkan tempoh bekerja dalam seminggu memang dah dibuat kat negara Eropah. Iceland pernah cuba buat pada 2015 dan 2019. Sweden pun ikut buat jugak pada 2019. Namun setakat ni, hanya Emiriah Arab Bersatu (UAE) je yang berani laksanakan waktu bekerja paling singkat di dunia – hanya empat hari setengah seminggu, berkuatkuasa pada 1 Januari tahun ni.

Kat UAE, waktu kerja antara Isnin hingga Khamis bermula jam 7.30 pagi hingga 3.30 petang. Pada hari Jumaat pulak, waktu bekerja bermula pada jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari. Bahkan bagi pekerja kerajaan, diorang ada pillihan untuk bekerja dari rumah pada Jumaat dan susun jadual waktu bekerja ikut masa yang fleksibel.

Walaupun begitu, masih banyak pihak di Malaysia yang bantah idea ni. Salah satu sebabnya adalah jumlah cuti umum di Malaysia ni antara terbanyak di dunia. Urusan perniagaan di sektor swasta dan kerajaan pulak tertakluk pada cuti-cuti ni. Kalau nak buat kerja 4 hari seminggu, tidakkah ia akan ganggu kelancaran operasi sesebuah organisasi?

Itu persoalan yang diajukan oleh sorang staf Harian Metro, Syah Rul Aswari Abdullah dalam artikel siaran 9 Julai 2022. Cadangan ni turut tak disokong oleh Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MUTC), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Macam-macam jugak sebab yang diorang utarakan sebagai alasan untuk tak sokong idea pengurangan hari bekerja. Cuepacs kata, lebih baik fokus pada isu pekerjaan. MUTC kata tak praktikal sebab ni bermakna, waktu kerja mesti dipanjangkan bagi memenuhi tempoh kerja 45 jam seminggu yang dimaktubkan dalam Akta Kerja 1955. FMM pulak kata, ia akan tingkatkan kos operasi bila majikan kena bayar gaji lebih masa (overtime). Gerakan beralasan, ini akan buat produktiviti negara merosot.

Ini berbeza dengan dapatan kaji selidik oleh Qualtrics. Dilaporkan, kebanyakan responden percaya, bekerja empat hari seminggu meningkatkan keseimbangan hidup bekerja (86 peratus), kesejahteraan mental (82 peratus) dan produktiviti (83 peratus) selain membuatkan mereka rasa lebih setia kepada majikan. Nada yang lebih positif diutarakan oleh wakil Institut Kajian dan Pembangunan Polisi (IRDP), Ammar Atan. Katanya, ia idea baik dan harus dipertimbangkan – namun mungkin perlu eksperimen bagi uji keberkesanannya dahulu di Malaysia.

Kini boleh mohon Aturan Kerja Fleksibel (AKF), jam kerja dikurangkan kepada 45 jam seminggu

Satu berita baik dahpun diumumkan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim pada Jun lalu. Para pekerja dibenarkan mohon aturan kerja fleksibel (AKF) kepada majikan masing-masing, dengan buat surat permohonan berkenaan kepada majikan sama ada memohon perubahan waktu bekerja, hari bekerja dan perubahan tempat kerja. Majikan pulak perlu beri jawapan dalam tempoh 60 hari.

“Dalam surat jawapan bertulis majikan kepada pekerja, mereka perlu nyatakan sama ada menerima permohonan atau menolak permohonan dengan alasan yang perlu dinyatakan,” – seperti yang dilaporkan Berita Harian

Bagaimanapun, keputusan kerajaan ni takdelah mengikat majikan untuk akur pada permohonan tersebut. Perkara ni amat bergantung kepada kesesuaian agensi serta syarikat masing-masing. Terbaharu, pindaan Akta Kerja tentang pengurangan waktu kerja mingguan akan turut berkuatkuasa pada 1 September nanti, sekali dengan polisi AKF tadi.

Dalam Akta Kerja 1955, pengurangan had waktu kerja mingguan akan ditetapkan daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu. Ini akan membolehkan pekerja guna susunan waktu bekerja yang lebih fleksibel.

Apabila ditanya oleh Senator Nasir Hashim berhubung pendirian kerajaan dalam soal kerja 4 hari seminggu, katanya:

“Setakat hari ini, tiada cadangan atau libat urus untuk pihak kementerian laksanakan berhubung kerja empat hari seminggu,”- seperti yang dilaporkan Bernama

Kami berharap suatu hari nanti, mungkin kita boleh kembali pertimbangkan semula idea kerja 4 hari seminggu atau sekurangnya, memberi insentif kepada para majikan untuk memperkenalkan idea fleksibiliti dalam budaya kerja diorang.

bekerja
Via Portal Berita RTM

Disebabkan ramai pekerja ni dah rasa macam mana konsep hibrid atau kerja dari rumah… tentulah secara tak langsung, sesetengah pekerja rasa lebih aman dan mampu mengecapi kehidupan seimbang antara kerja dan hidup seharian. Isu tekanan kerja dan kesihatan mental kini semakin penting untuk kita selesaikan agar tak menyumbang kepada gejala yang lebih teruk macam apa yang berlaku kat negara lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *