Kota Madani mungkin bukan nama yang sesuai untuk projek rakyat

f1 min (8)

Sebuah pembangunan strategik dikenali sebagai Kota Madani bakal direalisasikan di Putrajaya melibatkan keluasan 41 hektar sekali gus menandakan satu langkah besar ke arah memperkukuhkan imej bandar itu sebagai model pembangunan mampan dan inklusif.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa berkata, projek berintensiti tinggi dan vertikal itu akan menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk serta menggabungkan elemen kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital canggih dan sistem mobiliti hijau.

kota m
Via Malaysia Madani

Menurutnya, pembinaan Kota Madani selari dengan visi Bandar CHASE yang menekankan aspek keterangkuman, kemampanan dan teknologi.

“Hari ini saya berkesempatan membentangkan konsep pembangunan Kota Madani kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Projek ini merupakan satu pelaburan strategik jangka panjang dalam merangka agenda pembangunan mampan negara,” katanya

Tambah beliau, majlis pecah tanah projek Kota Madani dijadual berlangsung pada 26 Jun ini.

Wan Saiful seru berhenti membazir wang rakyat

Kerajaan perlu menghentikan amalan menggunakan slogan pentadbiran sebagai nama inisiatif seperti projek Kota Madani di Putrajaya bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat. Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah yang lebih baik ialah sekiranya projek-projek kerajaan menggunakan penjenamaan yang lestari serta nama yang kekal tanpa berubah meskipun berlaku pertukaran pentadbiran.

Menurutnya, banyak wang rakyat terpaksa dibazirkan apabila slogan kerajaan berubah dan pelabelan turut diubah.

“Kerajaan perlu mencari nama lain bagi projek Kota Madani di Putrajaya. Sebelum ini kita melihat pelbagai inisiatif dijenamakan dengan slogan kerajaan semasa. Wang kerajaan bukan milik individu pemimpin. Ia milik rakyat, termasuklah yang tidak menyokong pemimpin itu. Maka apabila wang rakyat dibelanjakan, ia mesti mencerminkan pemilikan merentasi fahaman politik,” katanya

Sebelum ini, sebuah pembangunan strategik dikenali sebagai Kota Madani bakal direalisasikan di Putrajaya melibatkan keluasan 41 hektar, sekali gus menandakan satu langkah besar ke arah memperkukuhkan imej bandar itu sebagai model pembangunan mampan dan inklusif.

Tambah Wan Saiful, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semua pemimpin hari ini serta yang akan datang diseru agar tidak terperangkap dalam sifat narsisis yang hanya merugikan kerana kos sebenar ditanggung rakyat.

“Saya tahu kerajaan akan guna skrip biasa mereka iaitu ‘perkara itu kerajaan dulu pun dah buat. Sebagai jawapan awal, saya mahu katakan bahawa apa guna jadi pemimpin jika perkara salah amalan terdahulu mahu diteruskan?” soalnya.

dsc 0684
Wan Saiful. Via Utusan

Selain Wan Saiful, Ahli akademik berpendapat sesuatu projek tidak seharusnya terikat kepada slogan mana-mana kerajaan, merujuk projek ‘Kota Madani’ yang diumumkan Putrajaya, kelmarin. Mohd Zairul Noor dari Universiti Putra Malaysia berkata penamaan sesuatu projek sepatutnya bersifat ‘merentasi masa’ dan tidak terikat pada satu-satu era pemerintahan, bagi memupuk penerimaan meluas dan mengelakkan pembaziran apabila bertukar kerajaan.

“Ini dapat menjamin kestabilan dasar, memelihara penerimaan awam dan mengelakkan penjenamaan semula yang merugikan sumber kewangan negara apabila berlaku perubahan pentadbiran,” kata pensyarah Fakulti Reka Bentuk dan Senibina

Mengambil contoh slogan pentadbiran Najib Razak, timbalan dekan ini berkata inisiatif berjenama ‘1Malaysia’ digantikan apabila berlaku pertukaran kerajaan.

“Inisiatif seperti 1Malaysia dan slogan-slogan terdahulu menjadi contoh bagaimana papan tanda, dokumen rasmi dan elemen visual lain terpaksa digantikan — menelan kos yang besar dan membazirkan sumber awam. Bagi sebuah negara yang sedang menuju ke arah pengurusan fiskal berhemah, kebergantungan kepada ‘simbol politik’ dalam penjenamaan wajar dielakkan.” katanya

Zairul bagaimanapun berkata istilah Madani itu sendiri berakar daripada perkataan Arab yang merujuk kepada ketamadunan atau peradaban, dengan konsep ‘madaniyah’ sering dikaitkan dengan pembinaan masyarakat berasaskan ilmu, nilai, dan keadilan.

“Sekiranya pemilihan istilah ini didasarkan kepada semangat ketamadunan dan bukan semata-mata kepada slogan politik semasa, maka justifikasinya boleh diterima secara akademik dan dasar, asalkan disokong oleh naratif pembangunan yang inklusif,” katanya.

Bagi ahli MPP PKR, Kota Madani tidak sama sekali membawa pembaziran

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak keras dakwaan bahawa projek pembangunan Kota Madani di Putrajaya akan membawa kepada pembaziran wang rakyat. Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Sivamalar Genapathy menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tak berasas dan bersifat politik murahan yang memperlekehkan dasar pembangunan kerajaan.

“Nama Madani tidak pernah dicipta untuk mengangkat mana-mana individu. Ia merupakan teras dasar pentadbiran negara hari ini, yang menekankan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa banyak wang rakyat terpaksa dibazirkan apabila slogan kerajaan berubah dan pelabelan turut diubah.

Menurut Sivamalar, dakwaan bahawa Kota Madani adalah ‘Kota Anwar’ mencerminkan kejahilan terhadap dasar pembangunan bandar dan satu percubaan terdesak untuk mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan rakyat. Beliau berkata, Kota Madani adalah projek berimpak tinggi yang dirancang khusus untuk menyelesaikan isu perumahan penjawat awam di Putrajaya, yang telah sekian lama terabai.

28616325 947673172075848 5434893654824877291 o
Sivamalar Genapathy. Via Keadilan Website

“Laporan Ketua Audit Negara 2021 mendedahkan hampir 18,000 penjawat awam masih menunggu untuk menduduki kuarters kerajaan, namun tiada projek baharu dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, projek itu akan menyediakan 10,000 unit kuarters yang boleh menempatkan sehingga 30,000 penduduk, sejajar dengan komitmen kerajaan dalam memenuhi keperluan asas penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara.

Tambah beliau, hampir 90 peratus penduduk Putrajaya merupakan penjawat awam, justeru keperluan perumahan mereka harus menjadi keutamaan dalam sebarang dasar pembangunan bandar.

Mengulas mengenai reka bentuk projek, Sivamalar menjelaskan bahawa Kota Madani dibina sebagai model pembangunan bandar inklusif dan mampan, dengan segala kemudahan asas seperti sekolah, tadika, medan selera, dewan komuniti dan perbankan boleh diakses dalam jarak berjalan kaki selama 15 minit dari kediaman.

“Kota Madani bukan untuk golongan elit, bukan sindrom pencakar langit. Ia adalah penyelesaian konkrit untuk rakyat yang selama ini terpinggir daripada akses perumahan berkualiti di pusat pentadbiran negara,” jelas beliau lagi.

Beliau turut menyifatkan kenyataan Wan Saiful sebagai usaha politik lapuk yang hanya menghalang inisiatif kerajaan untuk membawa perubahan dan manfaat kepada rakyat.

“Jika benar beliau prihatin terhadap rakyat, seharusnya beliau menyokong usaha ini. Rakyat tidak perlukan retorik, tetapi penyelesaian sebenar,” tegas Sivamalar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *