Dr Kamarul keluarkan kenyataan berbaur fitnah, terpaksa minta maaf. Ini bukan kali pertama

F1

Sebagai ahli akademik, sifat kritikal dan melakukan kajian sebelum mengeluarkan sesuatu pendapat sepatutnya tertanam pada jiwa mereka. Untuk mendapatkan gelaran akademik, sudah tentu proses itu akan menuntut seseorang menjadi orang yang berdisiplin dalam menyiapkan kajian akademik. Yalah, bagi mereka yang dah pernah tulis thesis, korang tahulah macam mana payahnya kita nak cari sumber dan justifikasikan kajian kita – kalau tak nak kena pancung masa pembentangan tadi.

Betul tak tuan professor? Via Giphy

Oleh sebab tu kami kata, proses-proses sepatutnya mematangkan ilmu dan peribadi ahli akademik. Yalah, apabila kita dengar orang ada gelaran macam “Dr” atau “professor” – mesti kita akan fikir orang ni gempak gila, sebab dah lalui proses menuntut ilmu yang panjang. Cuma, nampaknya gelar akademik ni tak menjamin apa-apa; sebab masih ada ahli akademik yang cakap tanpa semak fakta, atau kerana kebencian dirinya terhadap sesuatu individu/kumpulan, dia berlaku tak adil.

Baru-baru ni, dikatakan ada kumpulan akademik yang menyatakan sokongan terbuka kepada kerajaan Perikatan Nasional, jumlahnya dalam 115 ahli akademik. Kenyataan terbuka seperti ini dari ahli akademik bukanlah sesuatu yang sihat, sebagai ahli akademik – mereka sepatutnya bersifat bipartisan. Jika mereka ingin menyokong mana-mana parti politik, sepatutnya jubah dan topi ahli akademik kena ditanggalkan. Lagipun, nak jadi kerajaan perlukan 112 kerusi Parlimen, bukan sokongan ahli akademik.

Dr Kamarul buat cerita tak betul, akhirnya kena minta maaf kepada Che Asmah

Semalam Malaysia DateLine laporkan Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff dah mohon maaf kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Yayasan Kebajikan Negara, Datin Che Asmah Ibrahim sebab lakukan kenyataan berbaur fitnah tentang dana kepada pelarian Rohingya. Kamarul dalam kenyataannya akui dakwaannya pada 30 April lalu sebagai “tak benar, kelihatan berunsur fitnah serta tidak berasas”. Inilah yang kami maksudkan – ahli akademik yang main cakap lepas je.

Disebabkan ahli akademik ni buat platao, dia dah cemarkan sekali gelar “ahli akademik” yang disanjung tinggi oleh masyarakat. Kamarul ni kata, dia terpengaruh dengan asakan dan desakan yang tak berasas tanpa buat semakan terlebih dahulu tentang maklumat yang dia dapat. Kami sakit hati betul apabila orang yang siap ada PhD buat sesuatu tanpa lakukan semakan. Kalau orang yang terpelajar macam ni tak buat semakan berita, macam mana kita nak harap rakyat biasa tak kongsikan berita palsu?

Fahmi Fadzil 0702
Ini status Facebook yang kami maksudkan tu. Tengoklah berapa ramai yang kongsikan. Via FB

Oleh sebab tu, dia dah mohon maaf dan beri jaminan tak akan mengulangi hal tu lagi pada masa akan datang. Cuma, benda ni bukanlah kali pertama dia buat tuduhan tanpa periksa kebenaran cerita tu, sebelum ni dah pernah hampir disaman (kami akan cerita lepas ni). Che Asmah yang jadi mangsa fitnah dalam kenyataannya sedia maafkan permohonan bekas Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia UUM tu.

“Saya sedia memaafkan permohonan dari sedara semuslim saya Dr Kamarul Yusuf yang telah menyebarkan berita tidak benar dan kelihatan berunsur fitnah terhadap saya melalui laman FB beliau Kamarul Yusoff pada 30 April 2020. Bagi mereka yang saya tidak kenal dan mereka juga tidak kenal saya tetapi telah sama-sama like & ‘share'(316 kali) posting tersebut atas tujuan tertentu dan mencerca, mencelaka dengan penuh kebencian, harap maklum bahawa kenyataan tersebut adalah tidak benar dan berunsur fitnah. Sesungguhnya dosa manusia kepada Allah boleh dipohon ampun dariNya tetapi dosa sesama manusia harap fikirlah sendiri,” – Che Asmah, melalui hantaran Facebooknya

Che Asmah bukanlah mangsa fitnah pertama Kamarul, sebelum ni Mujahid pun dah kena

Macam yang kami kata tadi, kes ni bukanlah kes pertama yang melibatkan Kamarul ni. Beberapa tahun lepas, saman fitnah yang difailkan Dr Mujahid Yusof Rawa terhadapnya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi. Ia berlaku setelah Kamarul Zaman ni mohon maaf dan menyatakan kekesalan terhadap artikel bertajuk “Dr Mujahid antara kuda tunggangan terbaik DAP” yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya pada 25 Mei 2017.

Kamarul Zaman yang baca kenyataan maaf di hadapan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad kata dia kesal dengan penerbitan artikel tu.

“Saya dengan rendah diri dan suci hati tanpa sebarang paksaan memohon maaf kepada Mujahid atas penerbitan artikel itu. Saya dengan ini juga menarik balik artikel itu dan berjanji tidak akan menerbitkan kembali artikel berkenaan mahu pun apa-apa kenyataan yang seumpama dengannya,” – Kamarul, seperti yang dilaporkan AWANI

Peguam Mohd Fitri Asmuni yang mewakili Mujahid beritahu mahkamah bahawa melalui penghakiman persetujuan yang dicapai, kedua-dua pihak dah setuju nak tarik balik tuntutan saman utama dan tuntutan balas tanpa sebarang perintah berhubung kos. Kenyataan yang dibacakan Kamarul Zaman tu akan diterbitkan dalam akaun Facebook peribadinya dan ia adalah penyelesaian akhir dan muktamad.

Asyik nak fitnah orang je kerja dia. Via Giphy

Dalam saman yang difailkan pada 13 Julai 2017 tu, Mujahid kata Kamarul Zaman menuduh Mujahid sebagai kuda tunggangan DAP dan telah menjejaskan imej, reputasi, kedudukan dan kerjayanya sebagai umat Islam, anggota Parlimen, dan pemimpin parti. Mujahid tuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta, termasuk ganti rugi keterlaluan atau teladan untuk libel.

Jangan disebabkan setitik nila, rosak susu sebelanga. Ahli akademik kena bertanggungjawab

Seperti yang kami dah kata kat atas, ahli akademik yang tak bertanggungjawab seperti inilah yang sering membawa kerosakan kepada masyarakat kita. Selalunya mereka ada imej yang baik di mata masyarakat, apa yang mereka katakan kemungkinan besar akan diikuti dan dipercayai oleh orang ramai. Kalau mereka jenis yang tak bertanggungjawab dan suka fitnah orang; cuba bayangkan berapa banyak dah orang dia sesatkan? Kami harap mereka yang tengah memakai jubah ahli akademik akan selalu berhati-hati dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan atau pandangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *